Kualiti peserta kurang menyerlah


SARAH raih tempat ketiga tercorot.


SELEPAS minggu yang ‘membosankan’, rata-rata peserta One In A Million 2 (OIAM 2) masih belum menampakkan peningkatan malah ada yang tampil lebih teruk berbanding persembahan minggu pertama.

Entah apa silapnya, kualiti peserta yang mengisi program realiti terbitan 8TV ini kurang menyerlah berbanding musim sebelumnya dan lebih mengejutkan dua daripada peserta yang dikatakan berpotensi disingkirkan pada pembuka tirai minggu kedua.

Norazrinna Azahar (Rina) dan Shahron Hussein (Rony) menjadi peserta terawal meninggalkan hasrat mengecapi ganjaran wang tunai berjumlah RM1 juta, walaupun Rony sebelum merupakan penyanyi dan Rina pula pernah menjuarai program realiti terbitan stesen televisyen lain.

Penyingkiran kedua-dua peserta ini mengejutkan tuan badan tetapi bukan kepada para juri tetap OIAM, Paul Moss dan Syafinaz Selamat.

“Mereka berdua adalah antara peserta paling bagus musim ini. Mungkin mereka tidak dapat sampai ke peringkat akhir atas sebab tertentu tetapi saya tidak sangka mereka akan terkeluar pada minggu pertama,” jelas Syafinaz pada sidang media selepas siaran langsung program ini.

Kenyataan ini Syafinaz juga disokong oleh Paul, “Ini bukan kali pertama dua peserta terbaik disingkirkan pada minggu pertama.

“Corak undian program realiti agak ‘pelik’ kerana ada sesetengah peserta yang tidak akan diundi oleh penonton.”

Rony yang kelihatan lebih tenang bagaimanapun sudah menjangkakan keputusan pada malam itu. Cuma dia tidak ‘berpuas hati’ dengan mentaliti pengundi Malaysia yang lebih mementingkan rupa paras daripada bakat.

“Selepas dua kumpulan peserta turun dari pentas, saya tahu saya akan disingkirkan kerana dipanggil bersama Iz dan Mark. Mereka berdua mempunyai ramai peminat. Dan saya pula kurang diberi perhatian.

“Rasanya faktor yang menyebabkan saya disingkirkan adalah rupa paras saya. Walaupun saya pernah menyanyi sebelum ini tetapi saya tidak popular.

“Maka rupa paras penting untuk memungut undi di Malaysia,” kata Rony yang menyampaikan lagu Aku Mau minggu lalu.

Bagi Rina yang masih belum bersedia untuk meninggalkan pentas OIAM 2, dia menitiskan air mata semasa menyampaikan lagu terakhir, Hurt dan juga pada sidang media.

“Saya sebenarnya sangat bangga untuk berada dalam top 12. Daripada beribu-ribu orang yang menghadiri uji bakat, saya terpilih. Namun, saya sedih kerana terpaksa tinggalkan kawan-kawan saya. Mungkin rezeki saya sampai di sini sahaja dan mungkin penonton tidak dapat menerima suara saya,” kata Rina.

Turut berada di tangga ketiga tercorot adalah penyanyi bersuara lantang, Siti Sarah.

Biarpun mampu menampilkan persembahan terbaik selama dua minggu tetapi kedudukannya sedikit pun tidak terjamin.

“Ingatkan saya yang keluar tadi. Tapi saya sudah bersedia untuk sebarang keputusan. Saya sedih kerana Rina dan Rony terpaksa pulang hari ini kerana mereka berdua berbakat.

“Namun, ini semua rezeki dan nasib masing-masing. Saya tahu berbakat tidak menjanjikan kemenangan dan saya sudah bersedia,” tambah Sarah.

Bersiaran secara langsung dari Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, konsert kedua OIAM 2 berjalan lancar tanpa kontroversi, kejutan, drama dan boleh dikelaskan terlalu ‘biasa’.

Mungkin pertandingan ini masih terlalu awal dan belum dihangatkan. Sungguhpun begitu, penentuan siapa yang akan membawa pulang habuan RM1 juta masih terletak 100 peratus di tangan pengundi.

Kepada anda yang tidak pasti siapa untuk mengundi, ikuti komen juri terhadap 10 peserta ini sebagai panduan.