Aksi Hikayat Putera Shazlan


Anak wayang yang cilik


KETIKA adik-adik kita bersiap-sedia untuk memulakan sesi persekolahan tahun 2008, lima kanak-kanak ini sibuk ‘berlakon’ di sebuah taman permainan di Ampang Hilir, Kuala Lumpur. Mereka tidak mengeluh berjemur di bawah matahari sekalipun ia merupakan hari pertama permulaan tahun baru.

“Kan lebih bagus kalau tidur di rumah?” saya ajukan persoalan untuk mengetahui isi hati si kecil yang sudah siap berpakaian seperti seorang ahli silap mata. Cuma ahli silap mata ini nampak lebih comel dalam kostum serba hitam dan diikat dengan selendang labuh berwarna merah jambu di belakang leher. Kononnya, ala-ala superman!

“Saya tak suka tidur. Lagipun, saya tidak mudah penat dan seronok dapat bermain dengan kawan-kawan,” ujar Farhana Qismina Supandi yang membahasakan dirinya sebagai ‘Sweet’.

Sweet sebenarnya gelaran yang diberikan kepada Farhana selepas dia mula aktif berlakon. Rakan sepasukan yang mengerumuninya ternyata suka dengan gelak ketawa Farhana yang unik. “Cuba dengar ketawanya,” sampuk Nasiruddin Nasir, seorang lagi pelakon kanak-kanak yang memegang watak sampingan dalam rancangan televisyen yang bertajuk Hikayat Putera Shazlan.

Disiarkan setiap hari Ahad pada pukul 3 petang di Astro Ceria, Hikayat Putera Shazlan mengupas kisah seorang budak yang menjadi yatim piatu selepas kematian kedua-dua ibu bapa. Dia yang tinggal dengan seorang mak cik, pak cik dan anak perempuannya, terjumpa sebuah buku yang diwasiatkan oleh ibu bapanya. Buku itu, pada hakikatnya adalah sebuah naskhah yang mempunyai kuasa magis dan berupaya untuk memberi objek-objek ajaib seperti topi, periuk, jam, tali pinggang karate dan sebagainya.

Berkonsepkan sebuah drama komedi kanak-kanak, siri ini baru sahaja memasuki musim pertama yang mengandungi 26 episod. Pada minggu lalu, episod kelima telah disiarkan dan kini, pengarahnya, P. Prem Anand Pillai, 27, sibuk membuat rakaman untuk episod 12 hingga 20.

Drama ini banyak mengutarakan mesej-mesej yang bersifat positif, membina dan mendidik penonton untuk menanamkan sifat-sifat yang murni sambil berhibur dengan lawak jenaka yang diselitkan menerusi watak pelakon-pelakon cilik ini.

Pemilihan pelakon cilik ini telah berlangsung sejak lewat tahun lalu apabila beberapa pusingan sesi uji bakat diadakan di Filmscape Sdn. Bhd. di Mutiara Damansara, Petaling Jaya. Dari situ, kesemua pelakon-pelakon cilik ini dipilih berdasarkan kepada kepetahan berbahasa Melayu dan kebolehan berlakon secara semula jadi.


Kesemua pelakon cilik ini dipilih berdasarkan kepada kepetahan berbahasa Melayu dan kebolehan berlakon secara semula jadi.


Hasilnya, watak terpenting iaitu Shazlan jatuh kepada Shafimie Saedon, 10, dari Kota Damansara, watak Aaron dipegang oleh Chan Qi Feng, 12, dari Subang Jaya, watak Sathiya dilakonkan oleh Nasiruddin Nasir, 11, dari Kampung Pandan, watak Lydia dipegang oleh Ili Mariah Mohd. Sharif, 12, dari Subang Jaya dan sudah tentu Farhana sebagai Fasha dari Kampung Baru.

Shafimie dan Nasiruddin mengenali satu sama lain sejak berlakon dalam drama, Malam Tujuh Likur. “Berbanding dengan kakak saya, saya gemar menari dan berlakon,” ungkap Nasiruddin yang nampak kelakar apabila cuba menghidupkan lakonannya menari bersama Aaron sambil menghumbankan dirinya ke kiri dan kanan.

Nasiruddin mula aktif semasa berusia enam tahun apabila dia menyertai Jabatan Kebudayaan dan Kesenian untuk menjayakan filem Tentang Bulan dan terbaru, Brain Scan yang bakal ditayangkan pada tahun ini.

Sejauh mana pun minat berlakon dalam program televisyen dan juga teater seperti Tasik Chini, Nasiruddin mengaku dirinya tidak pernah lalai mengikuti pelajaran di sekolah. Lagipun, dia memastikan agar pembahagian masanya adalah seimbang dan aktiviti berlakon dilakukan pada masa lapang atau di musim cuti sekolah.

Memandangkan dia agak bertuah kerana mendapat pendedahan di kedua-dua layar kaca dan di pentas, Nasiruddin pantas melahirkan rasa teruja berlakon di atas pentas berbanding program televisyen. “Kalau program TV, selalu ada cut cut. Kena ulang (lakon) banyak kali. Kalau di atas pentas, terus lakon seperti yang dilatih,” katanya beria-ria.

Seperti Sathiya dalam Hikayat Putera Shazlan, Nasiruddin juga kuat makan. Dia tidak malu untuk mengakunya. Mengenai masa depan, katanya, dia teringin menjadi seorang penyampai radio sehebat Farah Fauzana dan Faizal Ismail dari Hot FM. Jika tidak, dia hendak menjadi seorang arkitek termasyhur atau seorang pengawai polis yang berdedikasi. “Saya suka tugas-tugas yang mencabar,” jelasnya yang tidak menunjukkan niat kekal menjadi seorang pelakon sepenuh masa.

Sungguhpun masih mentah dan ada dalam kalangan mereka yang tidak mempunyai pengalaman berlakon di hadapan lensa kamera, namun, kanak-kanak ini pandai bersikap ‘profesional’. Seperti orang dewasa, mereka memberi komitmen yang terbaik dan memastikan tidak mendukacitakan daddy (rujukan yang diberi oleh kanak-kanak ini kepada Prem).

Shafimie mungkin yang paling muda dalam kumpulan ini dan memegang watak utama, namun, dia tetap menunjukkan kesopanan apabila mencari ruang untuk menjenguk dan sempat bersalam walau sesibuk mana pun perlu berlatih. Apabila Prem menyuruh mereka berehat minum petang, Shafimie, dengan sifat keanak-anakkannya yang tebal leka bermain domino dengan seorang ‘kakak’ dari krew penggambaran.

Qi Feng yang pertama kali berjinak dalam dunia lakonan, tidak merasakan dirinya popular. Mengapa? Jawapannya ialah setakat ini dia belum menerima panggilan telefon dari kawan-kawan. Begitupun, Qi Feng tidak menyangkal hidupnya sedikit berubah. “Sekarang saya kena belajar lebih masa agak tidak tercicir dalam pendidikan,” katanya yang sememangnya aktif menyertai pertandingan menari dan syarahan.

Farhana dan Ili Mariah pula dilihat penulis cukup serasi. Di samping mempunyai pengalaman berlakon dan saling melengkapi satu sama lain dalam penceritaan Hikayat Putera Shazlan, mereka berkongsi pendapat yang sama terhadap daddy yang digambarkan sebagai mesra kanak-kanak.

“Dia tak marah tapi bagi arahan secara tegas dan jelas. Dia layan kami seperti kanak-kanak dan kadangkala bermain UNO dengan kami. Dia yang selalu menang tapi adalah sesekali bagi kami menang,” luah Ili Mariah sambil dipersetujui oleh Farhana.

“Ada masanya kami terpaksa balik lepas pukul 12 malam tetapi tak rasa penat. Seronok sampai tak sedar masa berlalu,”ujarnya.

Dalam realiti, Ili Mariah aktif dalam sukan lumba lari, lompat jauh dan lompat tinggi. Selain itu, dia membuat penampilan dalam pementasan Bunga Raya manakala Farhana berlakon dalam Manjalara, Kasih dari Syurga dan Kasih Suci.


ABBY menerima didikan Prem


Sementara itu, Prem sebagai seorang pengarah yang cukup berpengalaman melalui arahan drama Manjalara, Jojo's Ticket to Wellbeing, Doop dan lain-lain, melihat pembikinan drama Hikayat Putera Shazlan sebagai satu cabaran baru.

Sebelum ini, dia tidak pernah bekerja dengan kumpulan pelakon yang rata-ratanya terdiri daripada kanak-kanak. Penggunaan efek juga ditingkatkan untuk menyampaikan visual secara berkesan.

“Setakat ini, tak ada masalah dan penggambaran berjalan dengan lancar. Kami biasanya berkumpul di rumah Shazlan yang terletak di Ampang untuk rakaman indoor dan keluar ke lokasi pada hari-hari tertentu,” katanya yang gembira kerana drama ini tercatat dalam senarai 10 program televisyen terhangat di antara rancangan-rancangan tempatan yang disiarkan di Astro.

Turut menjayakan lakonan ini ialah pelakon popular drama bekas Gerak Khas, Abby Abadi, 30, yang menjadi Mak Som atau ibu kepada watak yang dibawa oleh Farhana dan Fasha. Katanya: “Dalam drama ini, saya adalah mak cik Shazlan yang jahat. Suka marah-marah tapi tak marah macam dalam drama lain. Marah seperti kartun, main-main sikit.

“Seronok juga berlakon dengan kanak-kanak ini. Saya selalu buat homework, berlatih menghafal skrip dan imbangkan dengan lakonan si kecil,” katanya yang percaya tidak sesuai membawa watak ‘penggoda’.