GUA selepas Kerana Karina

ZAMAN kian menuju arah globalisasi. Selautan teknologi mula memperlihatkan gelombangnya kepada pengguna terutama golongan muda yang gemar bereksperimen dengan perkara baru dalam konteks kehidupan.

Dengan ketibaan era teknologi maklumat dan komunikasi tidak terjangkau ini, semuanya boleh dilakukan sepantas mungkin dengan jari, malah apa jua yang diingini sudah tersedia di depan mata sesingkat waktu.

Lalu, tidak hairanlah timbulnya pelbagai portal di setiap pelosok halaman internet menyediakan maklumat serba ringkas dalam memberikan pengetahuan dan hiburan menarik buat tatapan khalayak.

Salah satunya, gua.com.my (GUA) yang menampilkan informasi-informasi berkaitan dunia hiburan dan gaya hidup masa kini yang disampaikan melalui jaringan internet kepada pengguna di seluruh negara tanpa sempadan.

Lebih menarik, peminat juga berpeluang melihat drama rantaian internet pertama seumpamanya di Malaysia, Kerana Karina dibintangi oleh Marsha Milan Londoh, Sazzy Falak, Zizan Nin dan Elaine Daly yang ditayangkan beberapa bulan lalu.

Tahun baru 2008 yang menginjak langkahnya beberapa hari lalu sudah pun mengemudi dengan lancar, justeru GUA terus bergerak selangkah ke hadapan dengan menampilkan siri terbarunya, Malaysiantalents.com.


KARYAWAN GUA, (dari kiri) Michael D’Oliviero, M. Zulkifli, Chelsia Ng, Douglas Lim, Joanna Bessey, Anne Low dan Gavin Yap


Bakal menemui ramai tidak lagi, ia menceritakan perihal lucu aktor popular dan berbakat, Douglas Lim yang mempunyai bermacam-macam ragam dan kerenah dalam mengusahakan syarikatnya.

Menurut Pengurus Besar Portal Gaya Hidup GUA, M. Zulkifli Abdul Jalil, drama itu mengisahkan rentetan kehidupan Douglas yang menjadi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah agensi pencarian bakat, Malaysiantalents.com.

“Perjalanan hidup Douglas akan berkisar cara dia mendapatkan muka-muka baru untuk diketengahkan, meyakinkan selebriti yang sudah memahat nama dan kejayaan dalam industri untuk menyertai empayarnya.

“Ia turut memperlihatkan stail Douglas menguruskan showbiz bersama klien, cuba memikat hati artis wanita dan menghasilkan pelbagai filem yang hit,” katanya ketika majlis pelancaran Malaysiantalents.com di TV3 Theatrette, Damansara, Selangor baru-baru ini.

Begitu teruja dengan peningkatan GUA yang semakin menunjukkan ‘belang’ sejak beberapa bulan lalu, M. Zulkifli memberitahu, Malaysiantalents.com terbentuk atas kejayaan Kerana Karina yang memperolehi respons membanggakan sebelum ini.

“Malaysiantalents.com menjadi siri kedua yang dipersembahkan selepas Kerana Karina, malah GUA kini sibuk mencari karya-karya baru dan segar untuk dimasukkan dalam laman web.

“Setakat ini, kami masih mempertimbangkan beberapa kertas cadangan yang mengandungi siri dalam bahasa Melayu dan Inggeris untuk disiarkan dalam GUA.

“Tak kisah jika ia datang dari produksi kecil mahu pun besar, GUA menerima usul itu dengan tangan terbuka asalkan ia berkualiti dan memenuhi cita rasa penonton,” jelasnya yang sedang membuat penilaian terhadap 15 kertas cadangan dari individu-individu yang berminat.

Sempat mencelah, GUA masih membuat penyelidikan dan kajian lebih terperinci tentang sasaran audiens kerana sudah tentunya menjadi matlamat GUA untuk memberikan intipati bermutu kepada peminat.

“Justeru, musim kedua Kerana Karina akan disambung tidak lama lagi disebabkan ia diterima baik umum, malah cakera video digital (DVD) drama itu selama 20 episod akan dihimpunkan menjadi satu.

“Dengan durasi penuh satu jam setengah, ia akan dilancarkan Februari ini sebelum munculnya Kerana Karina 2,” akui M. Zulkifli lagi dengan perancangan GUA.

Malaysiantalents.com menampilkan 15 episod dan setiap satunya selama empat minit itu membariskan pelakon-pelakon hebat tanah air antaranya ialah Elaine Daly, Gavin Yap, Chelsia Ng, Hansen Lee dan Nell Ng.

Siri komedi yang diterbitkan Popiah Pictures itu boleh disaksikan di GUA setiap hari Selasa dan Khamis mulai 15 Januari ini.