Peserta OIAM2 dikecam


PERSEMBAHAN peserta OIAM2 pada minggu ini mengundang kemarahan juri.


TIDAK menunjukkan peningkatan positif, lapan peserta yang masih meneruskan perjuangan dalam gelanggang program realiti One In A Million 2 (OIAM2) terus dikecam dengan komen negatif.

Mungkin lontaran kritikan yang dilemparkan oleh juri tetap Paul Moss dan Syafinaz Selamat sudah ‘biasa’ didengar.

Namun, prestasi yang ditunjukkan oleh kesemua peserta tidak dapat menahan kata-kata pedas itu keluar daripada mulut juri.

Malah minggu demi minggu, pelbagai nasihat telah diberikan. Apa yang dilihat hanya satu lagi persembahan mengecewakan.

Ada yang menyalahkan para juri kerana tidak mahir memilih peserta tetapi Syafinaz sendiri yakin dengan penilaiannya.

“Jangan buat kami kelihatan bodoh sebab kami yang pilih anda (peserta). Jadi lakukan lebih baik minggu depan,” kata Syafinaz pada penghujung program ini yang berlangsung pada malam Jumaat lalu di Sri Pentas 2, Shah Alam.

Kenyataan itu sebenarnya tidak begitu mengejutkan kerana ramai penonton yang membandingkan peserta musim pertama dan kedua. Malah banyak suara sumbang yang mempertikai kredibiliti juri semasa memilih peserta top 12.

“Ramai orang cakap peserta tahun lalu lebih baik. Tetapi sebenarnya peserta tahun ini mempunyai bakat tersendiri.

Cuma mereka perlu ‘ditolak’ kerana agak lembap. Mereka belum menunjukkan taring.

“Saya bukan menyatakan mereka tidak bagus. Mereka memiliki potensi dan sebab itulah mereka berada di sini. Cuma mereka mengambil masa yang panjang dan ini menyebabkan kami (juri) kelihatan bodoh,” jelas Syafinaz pada sidang media selepas siaran langsung.

Penjelasan Syafinaz disokong oleh Paul yang memberitahu peserta tahun ini pada hakikatnya lebih ‘pelbagai’ dan mempunyai ruang untuk berkembang.

“Tahun ini kami memang mendapat pelbagai jenis penyanyi. Apa yang penting adalah mereka mempunyai ruang untuk berkembang. Ada yang bersuara lembut dan ada yang bersuara keras.

“Tidak semestinya penyanyi yang bersuara lantang sahaja dikira penyanyi bagus. Contohnya Iz seorang penghibur yang bagus. Mereka boleh mencapai tahap penyanyi profesional tetapi semua itu tidak dapat dirasai lagi.”

Bukan bermaksud untuk menghujani peserta dengan komen pedas, Paul turut menyatakan mereka ingin memberikan pujian tetapi persembahan peserta terlalu menghampakan.

“Contohnya seperti Intan. Kami ingin memberikan kata-kata perangsang kerana memikirkan dia memerlukan sesuatu yang positif untuk membina keyakinannya.

“Tetapi kami perlu jujur dengan penonton. Maka dia perlu menerima kritikan dan belajar,” jelas Paul lagi.

Iz tersingkir kerana imej?

Dilabelkan sebagai peserta ‘kekwat’ kerana latarbelakang keluarga yang kaya, ramai tidak menjangkakan penyingkiran Khairullah Ezuan Sulaini (Iz) kerana yakin ‘kekayaan’ keluarganya mampu menjanjikan tempat dalam program ini.

“Bukan saya tidak yakin tetapi pada setiap persembahan saya tahu saya berkemungkinan akan disingkirkan kerana ini adalah corak program realiti. Lagipun saya telah mengecapi lebih daripada apa yang saya impikan.

“Saya sebenarnya cuma inginkan pendedahan. Faktor disingkirkan sebenarnya saya juga tidak begitu pasti. Saya cuma mahu menunjukkan personaliti dan bakat nyanyian saya,” kata Iz yang menjadi peserta keempat disingkirkan dari OIAM2.

Ramai juga berpendapat komen yang diberikan oleh Paul mengenai penampilan Iz minggu lalu yang lebih menjurus kepada sifat ‘gay’ sedikit sebanyak menyumbang ke atas penyingkiran kali ini.

“Rasanya bukan sebab apa yang dikatakan oleh Paul kerana rakyat Malaysia mempunyai peserta kegemaran mereka. Saya sebenarnya membawa perwatakan baru dalam dunia hiburan.

“Apa pun saya akan terus menjadi diri saya sendiri kerana saya memang sukakan fesyen. Saya akan berpakaian sebegini walaupun pergi ke pasar,” jelas Iz yang menggemari muzik R&B dan jazz.