Sensual Che'Nelle

Che’Nelle tidak lupa Malaysia


Che’Nelle mahu muziknya berkembang dengan lebih cantik dan diterima ramai.


WAJAHNYA persis gadis yang memiliki darah campuran. Hitam manis warna kulitnya menjadikan dia kelihatan unik dan berbeza sekali. Malah album debutnya yang berjudul Things Happen For A Reason senang sekali meraih perhatian peminat muzik antarabangsa walaupun penyanyi yang menggunakan nama Che’Nelle sebagai nama komersial ini masih terlalu baru.

Selepas single sulungnya I Fell In Love With The DJ berkumandang di corong-corong radio, dia pantas sekali mengatur langkah.

Tuahnya nampak menjadi apabila bernaung di bawah label gergasi, Virgin Records yang banyak melahirkan nama-nama besar antaranya Janet Jackson, Lenny Kravitz dan Ben Harper.

Bercerita mengenai penglibatan Che’ Nelle dalam bidang seni suara, sebenarnya sangat menarik.

Penyanyi genit ini dikesan bakatnya oleh Charles Dixon seorang pemuzik veteran Amerika yang secara kebetulan melayari ruang mencari rakan popular, My Space.


CHE’NELLE bertuah dinaungi Virgin Records.


Charles bukan sekadar membaca biodata malah turut mendengar karya muzik hasil garapan Che’Nelle, lalu tertarik dan membawa karya tersebut ke Virgin Records.

Tidak lama selepas itu, Che’Nelle di terbangkan ke Los Angeles (L.A), seterusnya menandatangani kontrak enam buah album bersama Virgin Records.

Bunyinya seperti terlalu mudah dan cepat, bukan? Realitinya tidak semudah yang disangkakan.

Pelajar Akademi Seni Persembahan Australia Barat ini mengakui dia sememangnya memasang impian untuk bergelar penyanyi dan merasa amat bertuah kerana kini impiannya itu telah termakbul.

Baru-baru ini, dia hadir ke Malaysia kerana terlibat dalam konsert ulang tahun 8TV ke empat.




Pastinya peluang bertemunya di belakang pentas walaupun hanya 15 minit tidak mungkin dilepaskan begitu sahaja.

Ramai tidak mengetahui penyanyi antarabangsa pemilik nama Cheryline Lim ini merupakan anak Malaysia.

Ini kerana wanita ini dilahirkan di Kota Kinabalu, Sabah tetapi menghabiskan usia remajanya di luar negara.

“Saya lahir di Malaysia dan sempat membesar seketika di sini. Semasa berumur 10 tahun keluarga saya telah berpindah ke Perth, Australia,’’ jelas Che’ Nelle berkongsi cerita mengenai dirinya.

Lama di luar negara bagaimanapun tidak bermakna dia telah lupa kepada negara kelahiran sendiri.

Dia dan keluarga akan balik ke kampung dua tahun sekali untuk melawat saudara mara di sini.

Malah dalam keselesaan berbahasa Inggeris, sesekali dia masih lagi berbicara dalam bahasa Melayu dengan gaya orang Sabah.

Bagi Che’ Nelle, peluang untuk mengadakan persembahan di negara kelahiran sendiri adalah lebih bermakna, apatah lagi ini merupakan persembahan secara besar-besaran yang pertama buatnya di Malaysia.

“Seronok sangat berada di sini dan berkenalan dengan beberapa penyanyi tempatan. Mungkin selepas ini saya akan berkunjung dengan lebih kerap lagi,” jelasnya yang turut memasang impian untuk melahirkan album dalam bahasa Melayu untuk pasaran tempatan suatu masa nanti.


CHE'NELLE seronok berada di Malaysia.


Ia pastinya tidak akan dilakukan dalam masa terdekat ini, kerana untuk mengadakan satu konsert solo Che’ Nelle sedar dia mengambil kira pelbagai perkara dan mungkin mengambil sedikit masa.

“Itu akan berlaku jika kerjaya saya sudah benar-benar kukuh. Saya tahu ini hanyalah impian sahaja, tidak tahu sama ada ia akan terlaksana atau pun tidak. Dan jika ia menjadi kenyataan saya ingin sekali berduet dengan penyanyi ternama Malaysia,’’ katanya, mengharap.

Memperjuagkan muzik rytmchic dalam albumnya, ia menggabungkan pelbagai elemen muzik, seperti reggae, hip hop, pop, dan r&b.

Tidak sesekali membuat sekatan ke atas muzik yang dihasilkan, Che’Nelle mahu muziknya berkembang dengan lebih cantik dan diterima ramai.

“Apa yang terdapat dalam album, sebenarnya lahir sepenuhnya daripada lubuk hati saya,” jelasnya lagi yang mencipta 10 buah lagu untuk album sulungnya itu.

Sebelum beredar untuk melakukan persediaan akhir konsert 8TV pada malam itu dia sempat sekali lagi mengatakan: “Saya sayangkan negara saya dan jangan risau, saya pasti kembali lagi.”