Gulai pilihan kenduri

Gulai batang pisang adalah antara masakan kampung yang cukup popular di sebelah utara Semenanjung. Ia selalunya boleh ditemui pada majlis kenduri kahwin.


gulai ini wajar diketengahkan di majlis-majlis korporat di bandar besar.


Gulai batang pisang adalah antara masakan kampung yang masih popular terutama di majlis kenduri kahwin di negeri Jelapang Padi, Kedah. Gulai yang dicampur dengan daging ini, pasti menjadi rebutan dan lazimnya akan habis dahulu berbanding lauk-pauk lain semasa kenduri.

Masakan ini jarang ditemui di restoran dan kedai makan walaupun ia mendapat sambutan hangat daripada orang ramai. Gulai batang pisang, gulai kawah, gulai nangka, gulai ikan talang masin, gulai rebung dan kerabu pucuk paku adalah antara masakan kampung Kedah yang biasanya hanya boleh ditemui pada majlis kenduri kahwin.

"Kalangan generasi sekarang tidak pernah menikmati keenakan gulai batang pisang. Malah, tidak mustahil kalau dihidangkan, mungkin ada yang berasa pelik atau tidak menyangka rupa-rupanya batang pisang juga boleh dimakan," kata Hamid Mat, 70.

Hamid memilih gulai batang pisang, selain masakan lain seperti kurma daging untuk dihidangkan kepada tetamu pada majlis perkahwinan anaknya, Mohamad Nizam, 28, dan pasangannya Habibah Kassim, 28, di Kampung Paya, Kodiang, Kedah baru-baru ini.


""


Lazimnya, pokok pisang hutan yang tumbuh liar di kawasan berbukit menjadi pilihan untuk digunakan dalam masakan ini. Pokok pisang hutan tidak ditanam kerana buahnya tidak boleh dimakan kerana mempunyai banyak biji. Namun, batangnya lebih enak untuk dijadikan hidangan masakan.

Hanya pokok pisang hutan yang masih muda iaitu belum berbuah diambil umbutnya iaitu bahagian tengah batang pisang untuk dimasak.

Menurut seorang pakar mencari dan mengambil batang pisang hutan, Hashim Awang, 73, pokok pisang jenis ini juga menjadi pilihan kerana jumlahnya yang banyak dan mudah diperoleh.

"Pokok pisang hutan ini tidak payah ditanam, banyak mana mahu ambil pun boleh dan ia memang cukup untuk berapa ramai tetamu yang diundang," katanya.

Selepas pokok pisang ditebang, batang pisang itu perlu dikoyak kulitnya untuk mengambil umbut (batang di dalam) yang masih lembut. Walaupun terpaksa meredah belukar, hutan dan mengharungi anak sungai, semangat gotong-royong yang masih diamalkan penduduk membuatkan tugasan mengambil batang pisang hutan itu agak mudah dan menyeronokkan.

Ketika meredah rimba, mereka turut mendapatkan hasil hutan lain seperti pucuk paku, rebung dan pokok tepus yang umbutnya cukup enak dibuat ulam.

Menyentuh teknik menyediakan gulai batang pisang, pakar menu itu, Samsudin Ismail, berkata, ia tidak banyak berbeza dengan gulai lain.

"Umbut batang pisang dimasukkan ke dalam kawah apabila daging hampir separuh masak. Jika batang pisang dimasukkan lebih awal, ia akan menjadi terlalu lembut," kata Samsudin yang biasanya menjadi ketua tukang masak pada majlis kenduri di kampung tersebut.

Pada majlis itu, ramai tetamu yang ditinjau mengakui masakan tersebut memang sedap dan menyelerakan.

Bagi anak kampung yang bekerja atau menetap di kota, sudah tentu kepulangan mereka ke kampung cukup bermakna apabila berkesempatan menikmati keenakan gulai batang pisang.

"Sudah lama saya tidak pekena (makan) gulai batang pisang yang menjadi kegemaran saya sejak kecil. Di bandar... mana ada masakan ini," kata Ismail Husin, 49, seorang guru yang bertugas di Kuala Lumpur.

Berikutan itu, anak muda mahukan masakan kampung orang Kedah ini terus dipertahankan bukan sahaja di majlis kenduri kampung malah patut dijadikan menu pilihan pada majlis-majlis rasmi anjuran badan-badan kerajaan di bandar-bandar besar. - Bernama