Hajat Megat Junid termakbul


ZIELA (kanan) menenangkan ibu mertuanya, Azmah Abdullah yang mengucup jenazah Megat Junid (gambar kecil) sambil diperhatikan oleh Faizah (tiga dari kiri) di Kelana Jaya semalam.


KUALA LUMPUR - Isteri Allahyarham Tan Sri Megat Junid Megat Ayub, Puan Sri Faizah Shuaib bersyukur kerana dapat menunaikan permintaan terakhir Allahyarham agar pengurusan jenazahnya dilakukan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), pasukan paling disayangi Megat Junid (gambar kecil).

Sambil berterima kasih kepada pasukan itu yang melakukan semua urusan pengebumian Allahyarham termasuk menyembahyangkan jenazah serta mengetuai bacaan talkin, Faizah berkata pesanan itu disampaikan kepadanya semasa Allahyarham sedang sakit.

"Semasa dia sakit dulu dia ada beri amanat meminta jabatan yang paling disayanginya iaitu jabatan polis uruskan segala-galanya apabila dia meninggal dunia, dan saya bersyukur dapat menunaikan amanat itu," katanya selepas pengebumian Allahyarham di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara di sini semalam.

Faizah berkata, Allahyarham suaminya juga meminta beliau menjaga anak-anak dengan baik termasuk dua anak dengan isteri kedua iaitu Norzilah Jalil (Ziela Jalil).

"Anak-anak saya semua dah lepas, cuma Ziela ada dua lagi anak yang masih bersekolah. Saya telah berpesan pada Ziela supaya menganggap kami seperti keluarga. Janganlah lepas ini hubungan putus sebab anak-anaknya masih anak suami saya," katanya.

Faizah berkata, pada saat-saat akhir allahyarham, pertuturannya sukar difahami sekalipun tangannya masih boleh bergerak.

Sementara itu, bekas Setiausaha Akhbar Allahyarham, Abdul Hanim Abdul Malik memberitahu, Allahyarham ada memintanya air zam zam ketika beliau melawatnya pada pukul 6.30 petang semalam.

Ketika itu menurut Abdul Hanim, Allahyarham memegang erat tangannya dan kelihatan menangis kerana terharu apabila beliau mengunjunginya.

"Saya berada di sisinya sehingga pukul 10 malam dan timbul perasaan sedih dan sebak untuk meninggalkan Allahyarham seolah-olah saya tidak akan berjumpa dengannya lagi," katanya ketika ditemui di kediaman Allahyarham di No.2, Jalan SS7/3 Kelana Jaya semalam.

Megat Junid, 65, meninggal dunia di Pusat Perubatan Pantai pada pukul 5.25 pagi semalam akibat kanser.

Bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna itu menghembuskan nafas terakhirnya di sisi kedua-dua isterinya Faizah dan Norzilah dan semua anaknya.

Allahyarham dikesan mengalami kanser prostat kira-kira setahun lalu dan ketika itu ia sudah berada pada peringkat keempat. Selepas itu, bekas Ketua Penerangan UMNO itu menjalani rawatan membuang ketumbuhan pada kelenjar prostat di Singapura.

Tidak lama selepas itu, beliau dimasukkan ke Pusat Perubatan Pantai pada 19 November 2007 bagi mengeluarkan darah beku dari dalam perut.

Jenazah Allahyarham kemudian dibawa ke kediamannya sebelum dikebumikan di tanah perkuburan Islam Bukit Kiara selepas solat Zuhur.