Si mata-mata jenayah maya
Kes Altantuya, Lingam pencetus dimensi baru forensik digital negara

SIAPA yang tidak tahu kes melibatkan video klip peguam Datuk V.K. Lingam dan kamera litar tertutup (CCTV) Altantuya Shaaribuu yang hangat diperkatakan kini. Namun tidak ramai yang tahu insan yang kadangkala mengambil masa berminggu-minggu untuk merungkai kesahihan bukti kes berprofil tinggi itu.

Di sebalik pengaruh siri penyiasatan televisyen popular CSI yang menampilkan pelakon seperti Gary Sinise, Melina Kanakaradey Bonaseva dan Anna Belknap, negara kita tidak ketinggalan memiliki penyiasat forensik digital ‘alam maya’.

Wartawan AMREE AHMAD dan MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM menyelami ‘dunia’ penyiasat forensik digital bersama Ketua Forensik Digital CyberSecurity, Aswani Fadillah Mohd. Ariffin, 38, di pejabatnya di Seri Kembangan, Selangor baru-baru ini.


ASWANI FADILLAH


KOSMO! Ahad: Anda tidak gentar menjadi saksi pada perbicaraan yang mendapat liputan meluas seluruh negara kini?

ASWANI FADILLAH: Sebenarnya pihak forensik digital, CyberSecurity bekerjasama dengan semua pihak terutamanya pihak polis dan Badan Pencegah Rasuah (BPR) bagi setiap kes yang memerlukan bantuan kami.

Setakat ini, pihak pengurusan hanya memberi autoriti kepada saya dan seorang lagi pakar forensik digital, Mohd. Zabri Adil Talib untuk menjadi saksi pada perbicaraan mahkamah daripada 20 orang kakitangan yang terdapat dalam bahagian kami.

Merujuk kepada soalan anda, saya harus bersedia 100 peratus. Jika tidak lidah akan kelu berbicara saat orang menumpukan perhatian pada saya.

Bagaimana memastikan bahan bukti dalam keadaan baik?

Sebenarnya imej digital yang disimpan dalam kad memori tidak akan rosak sekiranya dipindahkan ke mana-mana termasuk komputer peribadi memandangkan bukti itu dalam bentuk elektronik. Ia akan kekal kerana pemindahan itu dibuat secara keseluruhan dalam bentuk yang tepat.

Isu ketulenan dan keaslian fail serta imej yang disalin dan dipindah tidak timbul kerana semuanya adalah tulen sekalipun ditukar kepada format berbeza.

Kami juga mendapat pengiktirafan daripada Piawaian Teknologi Kebangsaan iaitu sebuah pertubuhan yang membuat piawaian dan mengesahkan semua peralatan forensik.

Macam mana pula alatan yang digunakan?

Saya tidak memilih alatan sebenarnya. Saya akan menggunakan setiap alatan yang dapat memudahkan siasatan yang dijalankan. Apa yang penting, penganalisis itu sendiri harus berfikiran analitikal dan yakin untuk merungkai kesulitan yang dihadapi.

Disebabkan itu ada yang tidak bercuti sehingga dua minggu dan bekerja sehingga lewat malam bagi memastikan kami bersedia dengan siasatan yang teliti dan rapi.

Berapa lama tempoh yang diberi untuk mengendalikan satu-satu kes?

Sebetulnya tiada tempoh masa yang diberikan tetapi saya dan rakan bersedia setiap masa apabila mendapat arahan.

Berapa peruntukan yang dikeluarkan pihak kerajaan bagi menangani ancaman dunia siber kini?

Tiada fakta yang tepat sebenarnya. Jika 2002, bekas Menteri Tenaga, Komunikasi dan Multimedia, Datuk Amar Leo Moggie menyatakan Malaysia mengalami kerugian RM22 juta kerana terpaksa menyelesaikan pelbagai masalah akibat ancaman dan serangan berkaitan ICT, saya yakin angka itu bertambah dari semasa ke semasa.

Setakat ini, seluruh dunia membelanjakan AS$9 bilion bagi menyediakan peralatan untuk menangani ancaman berkaitan ICT dan saya yakin kerugian yang dialami melebihi angka tersebut.

Bagaimana pula kadar kenaikan jenayah siber setiap tahun?

Jenayah meningkat setiap tahun pada perkiraan 40 hingga 50 peratus. Ini berdasarkan teknologi yang semakin berkembang serta kadar jenayah berjalan seiring dengannya. Selain itu, penjenayah semakin licik dengan teknologi. Kita harus sama memantapkan diri dengan ilmu teknologi setiap masa.

Apa pendekatan digunakan penjenayah siber kini?

Penjenayah sekarang bijak. Mereka tidak akan berbincang melalui telefon dan berjumpa semata-mata. Mereka turut menggunakan kod tertentu yang sukar difahami dan kita memerlukan masa untuk mengesan dan mengambil tindakan.

Bagaimana harapan saudara mengenai masa depan dunia forensik digital?

Selaras dengan peningkatan kes-kes yang melibatkan ICT, saya berharap kerajaan dapat menubuhkan Mahkamah Digital seperti di Amerika Syarikat untuk memastikan segala prosiding dapat dilakukan dengan segera dan lebih cekap.