The Girls beralih angin


THE GIRLS dari kiri - Bella, Zura dan Maya.


SUATU ketika dulu, mereka pernah disenaraikan dalam Malaysia Book Of Records sebagai penyanyi kumpulan wanita India pertama di Malaysia walaupun seorang anggotanya berketurunan Melayu.

Ditubuhkan pada tahun 2001, mereka meraih populariti menerusi album Tamil berjudul, Manasukul (Dalam Hati) di kalangan peminat muzik pelbagai kaum sehinggakan album tersebut berjaya terjual mencecah 30,000 unit.

Lebih membanggakan apabila album mereka itu berjaya memenangi pelbagai anugerah dalam industri muzik Tamil iaitu Album Pop Terbaik, Lagu Terbaik, Penyanyi Wanita Terbaik, Kumpulan Baru Terbaik, Penerbit Terbaik dan Album Terbaik.

Itulah The Girls. Kini, mereka beralih angin pula dengan menghasilkan album berbahasa Melayu berjudul Sentuhan. Bukan itu sahaja perubahan ketara mereka. Dua orang anggotanya turut bertukar kerana mempunyai komitmen keluarga masing-masing.

Hanya Zuraidah Kamaruddin atau Zura sahaja yang masih setia dengan The Girls dan imejnya kini lebih rugged, diikuti dengan dua ahli barunya, Khadijah Sulaiman (Maya) yang berimej lovely dan Nurnabilah Yusof (Bella), lebih kepada Groovy.

Sentuhan segar muzik yang berkonsepkan pelbagai jenis genre seperti balada, irama Malaysia, pop rock, rock, dangdut dan world music menjadi pertaruhan kemunculan pertama mereka di persada muzik tempatan.

“Jika melihatkan kepelbagaian konsep yang dibawa, ini tidak bermaksud yang kami masih terkapai-kapai mencari konsep muzik yang diinginkan.

“Dengan memasukkan pelbagai jenis genre muzik, ia lebih memudahkan kami untuk membuat persembahan mengikut tema yang ditetapkan,” ujar Zura.

Menyiapkan album baru mereka itu dalam tempoh dua tahun, The Girls bukan sekadar mahu menjanjikan kelainan dari segi muzik, tetapi apa yang dibawakan mereka adalah sesuatu muzik yang segar didengar.

Dengan menggunakan kerjasama komposer terkenal, Ismail Nawab, Maharani, Sutera dan Nasir Nawab, sebanyak 10 lagu telah dihasilkan dalam album tersebut.

Selain mula merintis populariti dengan lagu Sentuhan di corong-corong radio, lagu-lagu lain seperti Sri Kandi Puteri, Rock Sampai Pagi, Mat Rempit, Biarkan Ku, Terhegeh-Hegeh, Cinta Crossline, Ya Habibul Ya Arjuna, Jangan Jangan Jangan dan Gadis Remaja pasti menarik perhatian pendengar.




Menurut Bella, penggunaan pelbagai jenis elemen yang jarang-jarang sekali digunakan oleh artis berkumpulan dianggap memberikan satu keistimewaan berbeza dari segi penyampaian dan penghayatan mereka.

“Percubaan kami menerusi lagu Sentuhan di radio ternyata mendapat sambutan yang positif daripada peminat,” ujar Bella yang berperwatakan lemah lembut ini.

Tambahnya, ia bersesuaian untuk semua pendengar sama ada dewasa, remaja mahupun kanak-kanak. Album ini dinilai memberi kesegaran baru kepada pendengar muzik mainstream.

Sementara itu, Penerbit Eksekutif Top Ten Music Production yang juga penerbit album Sentuhan, Nasir Datuk Ahmad Nawab berkata, The Girls akan kembali tampil dengan album Tamil selepas album Sentuhan kerana sudah ada ramai pihak yang berminat untuk mendengar kumpulan jelitawan ini menyanyikan lagu-lagu Tamil.

Selain menyanyi, The Girls juga merupakan duta produk kecantikan dan kesihatan Wahdini. Zura yang merupakan pengasas produk Wahdini berkata, mereka turut mempunyai salon kecantikan mereka sendiri yang sudahpun dilancarkan lima bulan lalu.

Mengenai perancangan seterusnya, kesemua anggota kumpulan ini yang menyanyi sepenuh masa berhasrat untuk terus memenuhi undangan persembahan yang diterima dan pada masa yang sama, meneruskan agenda promosi album terbaru ini.




Di samping undangan persembahan pentas, menjelang March nanti kumpulan ini juga terbang ke Australia untuk mengadakan persembahan. Bagi peminat setia mereka, nantikan kemunculan album baru mereka di pasaran pada awal bulan Februari.

Dalam pada itu, dijangka pada awal bulan Mac, The Girls bakal menjelajah ke seluruh negara untuk mempromosikan album Sentuhan.

“Rasanya seperti tidak sabar untuk menjelajah ke seluruh negara dalam memperkenalkan lagu-lagu kami,” ujar Zura bersemangat.

Selain itu, para peminat boleh menyaksikan temu bual mereka dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia pada bulan hadapan.

Walaupun boleh dikatakan sebagai ‘orang baru’ dalam industri hiburan, ketiga-tiga mereka berharap, album kedua mereka mampu bersaing seperti album kumpulan-kumpulan lain.

Ketika ditanya, sudahkah mereka bersedia dengan segala kritikan atau kontroversi yang bakal dihadapi kelak, Maya menjawab: “Kami sudah pun bersedia dari semua aspek. Kami menerima setiap kritikan dengan hati yang terbuka tetapi kalau boleh, kami tidak mahu kontroversi yang mungkin boleh merosakkan imej kami, keluarga dan syarikat rakaman.”


ALBUM Sentuhan dijangka bakal melonjakkan nama The Girls.