Tiga hari daki tangga 30 kali


MOHD NOOR MAT AMIN mengakui mendaki tangga dan gunung ada banyak perbezaannya.


DI sebalik kerancakan pertandingan KL Tower International Forest Towerthon Challenge 2008, seorang individu sedang berusaha untuk melakukan satu rekod yang boleh dibanggakan.

Mohd Noor Mat Amin, seorang jurugambar dari Utusan Malaysia cuba melakukan Pendakian Solo 50 Menara Kuala Lumpur untuk membolehkan namanya terpahat dalam Malaysia Book of Records.

Rekod ini baru ini memerlukan Mohd Amin mendaki anak tangga sebanyak 50 kali selama tiga hari berturut-turut bermula dari pukul 10 pagi 1 Januari dan berakhir pada 3 Januari, pukul 12 tengah malam.

"Sebenarnya, perancangan ini timbul berikutan pendakian Gunung Kinabalu yang juga sebanyak 50 kali pada tahun lalu. Jadi, saya terfikir apa yang hendak dibuat pada tahun ini.

"Kemudian, saya teringat kepada Menara KL dan terus hubungi Datuk Zulkifli. Mujurlah reaksi yang diterima cukup positif. Persiapan yang dibuat adalah last minute, tidak sampai sebulan pun.

"Saya ada membuat latihan menaiki menara, selain turun dan naik tangga. Kalau sediakan mental dan fizikal dengan baik, insya-Allah tiada masalah," kata Mohd Amin tenang.

Apakah perbezaan antara mendaki gunung dengan memanjat tangga menara? Mohd Noor memberitahu, kedua-duanya memiliki pro dan kontranya tersendiri.

"Dua-dua pun susah. Tetapi kalau panjat gunung boleh lihat pemandangan hijau sekeliling. Sedangkan kalau naik tangga menara, cuma nampak tangga dan simen sahaja.

"Apa yang penting ialah mental mesti kuat. Secara puratanya masa yang diambil untuk mendaki menara ialah antara 35 minit hingga 40 minit, sewaktu turun pula ialah 10 minit hingga 15 minit," katanya yang berjaya menamatkan hanya 30 pendakian. Pada pendakian ke-30 isteri dan anaknya yang berusia tiga tahun turut mendaki sebagai tanda sokongan. Rekod ini akan dihantar ke pihak Guiness World Records untuk pengiktirafan.

Mohd Noor juga berasa berbesar hati atas sokongan yang diberikan oleh Utusan Malaysia yang membenarkannya mengambil cuti.