Blogger terhebat

Ada apa pada blog Saharil Conteng, yang menerima anugerah Blog Terhebat dan Terbaik dari Anugerah Geng Jurnal 2007?


Saharil Hasrin Sanin


MELEWATI laman saharil.com, bertempek logo anugerah itu di pangkal lajur sisi kiri laman. Rupanya tidak tumpah seperti logo anugerah filem - bersayapkan dua ranting daun-daun kecil di kiri dan kanan nama itu.

Laman ini memuatkan satu kotak besar tempat pengendali web berkarya, sama ada dengan menulis, melukis, menconteng, meletakkan gambar foto, teks atau prosa, tipografi, segala macam 'repekan' atau adunan. Pandangan pertama sudah dikesan perbezaan laman itu berbanding blog atau laman web kebanyakan.

Di bawah kotak itu dibahagi kepada tiga lajur yang terdiri daripada dua lajur yang diisi oleh hos dan satu lajur besar yang menempatkan komen-komen pengunjung atau pengikut laman web tersebut.

Terang, ringkas dan berwarna-warni, kotak komentar yang didahului gambar ikon dan nama gelaran pilihan sendiri mendominasi laman.

Seorang pengikut setia laman ini mengatakan di situlah letaknya kekuatan blog ini.

"Betul. Saya akuinya. Itulah yang unik tentang blog ini. Ia dibina oleh pengunjung yang meninggalkan komen bagi setiap entri," ujar penulis atau hos blog ini, Saharil Hasrin Sanin, 32.

Nah, buat penggemar hasil tulisan berkualiti, nama ini pastinya sudah tidak asing lagi. Menempa nama sebagai penulis seawal ketika di bangku sekolah menengah, karya anak muda kelahiran Pontian, Johor, ini pernah banyak kali mengisi majalah dan akhbar.

Cerpen pertama beliau yang diterbitkan majalah Dewan Siswa pada tahun 1991 memenangi Hadiah Sastera Siswa pada tahun tersebut iaitu ketika beliau berumur 16 tahun.

"Saya menulis dalam diari sejak di sekolah rendah. Saya isinya dengan segala perkara yang unik atau apabila saya mempunyai mood untuk menulis," terangnya apabila menyentuh tentang entri Nostalgia Makanan yang berisi grafik ringkas berupa cucur udang, kacang putih berbalut surat khabar, sagun dan gula tank.

Melengkapkannya bersama tulisan yang senang dibaca, pengunjung dengan mudah dapat mengaitkan masukan itu dengan pengalaman peribadi masing-masing.

Antara masukan yang mendapat reaksi balas paling 'meriah' ialah Bual Binatang di mana Saharil yang mengalami transformasi kepada sebuah robot, menemu ramah haiwan dalam bentuk sinikal namun cukup mencuit hati.

Ketam yang baran, monyet yang sukar untuk duduk diam dan kura-kura yang terus kalah dalam lumba lari menjadi antara subjek 'perbincangan' yang dipersonafikasikan ini.

Dekonstruksi Hikayat Lama juga popular di kalangan pembaca. Mengolah kisah dongeng seperti Rapunzel, Singapura Dilanggar Todak, Batu Belah Batu Bertangkup dan banyak lagi dengan penyudah yang di luar dugaan, pembaca akan memberi reaksi yang pelbagai, lantaran kreativiti Saharil yang realistik.

Sehinggakan ada yang bertanya sama ada pemuda ini pernah merasakan dirinya berbeza berbanding orang lain.

"Saya fikir tidak ada sesiapa yang merasakan diri mereka sama seperti orang lain. Kita semua unik dari segi pemikiran," ujar bekas pelajar Sekolah Alam Shah, Cheras (sekarang di Putrajaya) ini.

Bukan sekadar karangan berunsur emosi gembira, Saharil turut memasukkan elemen sedih dalam sisi episod hidupnya semasa kecil.

Pada pandangan permukaan, pasti ramai memikirkan beliau lebih kerap memilih spektrum pengkaryaan yang mikro kerana menyentuh subjek yang spesifik.

Tetapi jika dihayati, subjek berkenaan sebenarnya relevan, cukup mendalam dan menular, menyentuh banyak subjek cabangan.

Menariknya, bidang penulisan cerpen, blog dan kolum-kolum dalam majalah atau akhbar beliau menunjukkan tiga darjah pengkaryaan yang berbeza. Banyak menggunakan unsur humor dan realis dalam Saharil Conteng, anak muda ini sering tampil dengan identiti gothik dalam cerpen-cerpennya.

"Saya memang nak bezakan (antara ketiga-tiganya) untuk menunjukkan bahawa semua orang mempunyai sisi yang berbeza dalam diri mereka sendiri.

"Melukis adalah seni halus yang apabila kita menconteng, ia bersifat katartik. Ia dapat menggambarkan apa yang kita cuba sampaikan dengan lebih cepat, tetapi ia tidak menjelaskan segala-galanya.

"Menulis pula dapat memberi gambaran tentang sesuatu dengan lebih terperinci, tetapi ia terikat dengan peraturan bahasa dan terhad kalau kita mahu menjadikannya simbolik," jelas Saharil.

Secara peribadi, pemenang Hadiah Sastera Darul Takzim 2007 ini mengambil luka dan duka sebagai sesuatu yang indah.

"Seperti pemikiran orang Jepun, mereka tidak menerima sebuah pasu yang cantik sebagai sesuatu yang menarik. Sebaliknya pasu yang pecah lebih membawa nilai," ulasnya yang gemar kepada unsur darah, kematian, sains, sastera, fiksyen dan keagamaan.

Bagaimanapun, lewat hari ini lukisannya-lukisannya lebih banyak menyimpan maksud yang tersirat. Bersifat perwakilan, Saharil lebih betah membiarkan pengunjung mengupas sendiri lapisan-lapisan maksud yang ada pada karya-karyanya itu.

"Pengunjung bebas untuk membuat tafsiran sendiri menggunakan idea dan pendapat mereka. Sebenarnya mereka memberi dimensi kepada karya-karya saya," kata graduan bidang Kejuruteraan Industri di Universiti Cardiff, United Kingdom ini.

Saharil pernah mendapat ruangan tetap dalam akhbar dan majalah seperti Berita Minggu, Mingguan Malaysia, majalah Siasah, Dewan Budaya, Perempuan, serta majalah-majalah santai seperti URTV, EH! dan InTrend.

Biarpun terlibat dalam dunia penulisan sejak remaja, hanya baru-baru ini 'popularitinya' sebagai pengkarya mencanak naik setelah beliau berkarya menggunakan blog. Susulan daripada itulah, beliau dihujani jemputan dan tawaran, khususnya oleh majalah, untuk menulis dan melukis, termasuk sebuah komik.

Seronok mengembara dan mengambil gambar, anak muda yang suka merujuk Sasterawan Negara, A. Samad Said sebagai 'guru' ini bakal tampil dalam antologi cerpen New Malaysian Essays 1 yang bakal dilancarkan pada 16 Februari ini.

Kepada mereka yang mahu berjumpa empat mata dengan Saharil dan lima lagi penulis ternama, dijemput ke Annex, Pasar Seni, Kuala Lumpur pada pukul 8 malam.