Gaduh kerana berebut lelaki


RAKAMAN klip video aksi tiga pelajar perempuan yang bergaduh dalam sebuah sekolah di Dungun, Terengganu baru-baru ini.


DUNGUN – Semuanya gara-gara pelajar lelaki bernama Judin.
Itulah punca sebenar pergaduhan `ala kung fu’ di kawasan belakang sebuah sekolah dekat sini melibatkan tiga pelajar perempuan baru-baru ini.

Salah seorang pelajar sekolah berkenaan, Ijah (nama samaran) ketika ditemui KOSMO! semalam berkata, kejadian berlaku ketika pelajar pulang dari sekolah kira-kira 3 petang.

“Saya tak tengok kejadian tu, tapi kawan-kawan heboh bercakap pasal perkara ini keesokannya dan ia dikatakan berpunca sebab berebut seorang pelajar lelaki,” katanya.

Pelajar itu berkata demikian menjelaskan punca kejadian pergaduhan pelajar ala kung fu yang berlaku di sebuah sekolah seperti laporan muka depan KOSMO! semalam.

Menurutnya, pelajar lelaki dikatakan bernama Judin berusia 17 tahun itu menuntut di sebuah sekolah di Bukit Besi.

“Pelajar yang tidak beruniform itu (dalam rakaman klip video) dari sekolah lain yang datang dengan bermotosikal bersama seorang rakannya.

“Sampai di sekolah dia bergaduh dengan dua pelajar sekolah ini yang juga adik-beradik. Salah seorang daripadanya pelajar tingkatan empat,” jelasnya.


SEORANG pelajar menunjukkan rakaman klip video pergaduhan menggunakan telefon bimbitnya di Dungun semalam.


Menurutnya, kira-kira 30 orang pelajar menyaksikan kejadian itu dan terdapat tidak kurang tiga pelajar merakam insiden menggunakan telefon bimbit.

Bagaimanapun katanya, dia tidak mengenali pelajar tersebut tetapi menurut cakap-cakap rakannya kedua-dua pelajar sekolahnya itu sudah diambil tindakan oleh pihak sekolah.

“Saya tidak pasti sama ada pelajar itu kena buang sekolah atau sekadar digantung sementara,” katanya.

Dalam pada itu, tinjauan KOSMO! di sekolah berkenaan mendapati kawasan sekolah itu lengang kerana masih bercuti sempena perayaan Tahun Baru Cina dan hanya akan dibuka hari ini.

Bagaimanapun, tinjauan di sebuah kawasan berhampiran makmal komputer di kawasan belakang sekolah yang mempunyai sebuah pintu pagar kecil menyerupai kawasan berlakunya pergaduhan itu seperti dalam klip video yang tersebar itu.

Sementara itu seorang pelajar yang hanya ingin dikenali sebagai Man , 17, berkata, klip video itu sudah tersebar selepas mendapat tahu ramai rakannya di tempat lain juga telah melihatnya.


INILAH kawasan yang didakwa medan pergaduhan tiga pelajar (bulatan) dalam sebuah sekolah di Dungun.


Beliau mengakui bahasa lisan seorang penonton dalam klip video biasa digunakan masyarakat Hulu Terengganu terutama yang tinggal di pinggir Kuala Berang.

“Mungkin dia berasal dari sana tetapi belajar di sekolah di bandar Dungun. Dah ramai orang tahu kes ini, dah bukan rahsia sangat pun,” katanya yang memberitahu kejadian itu berlaku pada bulan lalu.

Beliau yang ditemui bersama dua rakannya di Paka, di sini, juga tidak keberatan menayangkan aksi klip video itu yang terdapat dalam telefon bimbitnya kepada KOSMO!.

Pemerhatian menunjukkan, kandungan dan tempoh tayangan itu sama dengan klip video yang diterima KOSMO! dari seorang pembaca kelmarin.