OIAM sekadar biasa


Empat peserta yang masih tinggal untuk meneruskan perjuangan pada minggu hadapan.


Tiada kejutan untuk program One In A Million (OIAM) yang disiarkan di 8TV semalam. Bagai sudah dijangka peserta kelahiran Kota Kinabalu, Sabah, Mark Glenn Malim B. Lorin merupakan peserta yang tersingkir selepas dia terselamat pada minggu sebelum ini.

Dia yang dilihat gagal memberi persembahan hebat semasa berduet bersama Farah Ashykin dengan lagu Sempurna pada minggu lepas terpaksa akur dengan keputusan undian penonton.

"Saya sedih tetapi dalam masa yang sama saya berbangga kerana dapat sampai ke tahap top 5. Saya sedar setiap minggu persembahan saya dikritik dan ia sedikit sebanyak telah memberi tekanan kepada saya.

"Memang saya tahu hari ini (penyingkiran) akan tiba juga dan saya selalu merasakan saya yang akan terkeluar saban minggu sebelum ini dan hari ini penonton telah memberi jawapan," katanya dalam nada kecewa.

Bagaimanapun, kekalahan ini tidak akan menjadi halangan untuknya terus mara dalam dunia seni yang sangat dicintainya.

Katanya lagi, selepas ini dia akan berusaha untuk menerokai peluang buatnya dalam industri seni tempatan selain cuba menjinakkan diri dalam bidang peragaan.

"Saya bercadang untuk mengambil kelas vokal bagi memantapkan lagi persembahan nyanyian saya di masa akan datang," ujar graduan Universiti Teknologi MARA (UiTM) ini lagi.


Mark akhirnya tersingkir jua.


Sementara itu, pengkritik tetap Syafinaz Selamat dan Paul Moss memberitahu, persembahan terakhir Mark dengan lagu If You Were My Baby sebelum meninggalkan pertandingan ini merupakan persembahan terbaiknya.

"Jika dia tahu lebih awal di mana kesesuaian vokal dan lagu untuknya mungkin dia akan terselamat, malangnya sudah terlambat," jelas Paul.

Pujian dan kritikan untuk Sarah

Dan seperti biasa persembahan daripada Siti Sarah tidak pernah mengecewakan. Dia yang menyanyikan lagu romantis mengikut tema malam itu, Kasih Sayang dan Percintaan, berjaya mendendangkan lagu dengan baik.

Tetapi Sarah tidak terlepas daripada dikritik. Paul dan Syafinaz menyifatkan Sarah seorang penyanyi yang bagus tetapi persembahannya malam itu, adalah sangat biasa berbanding dengan minggu sebelum ini.

"Saya tahu Sarah penyanyi yang bagus, tetapi kami ingin melihat lebih daripada itu, kami inginkan apa yang orang tidak pernah lihat dalam persembahan Sarah sebelum ini kerana saya yakin kamu boleh buat lebih lagi," ujar Syafinaz.

Sarah yang ditemui selepas persembahan mengambil segala kritikan sebagai satu yang positif untuk memajukan lagi dirinya.

Namun, jika dilihat dengan teliti situasi Sarah minggu ini ia pernah terjadi kepada salah seorang peserta bertaraf artis profesional musim lalu, Dayang Nurfaizah.

Walaupun punya suara yang bagus tetapi kerana kritikan yang mempengaruhi penonton, Dayang tidak muncul sebagai juara.

Mungkinkah perkara yang sama bakal berlaku pada Sarah?

Ayu hilang fokus, Shila terbaik

Selain Sarah, tiga lagi peserta turut memberi saingan yang hebat. Ayu yang menyanyikan lagu My All dilihat seperti hilang fokus, malah sebutannya juga tidak jelas.

Berlainan pula dengan Shila, walaupun mendendangkan lagu berjudul Contigo En La Distancia dalam bahasa Sepanyol, tetapi nyanyiannya seolah-olah dapat difahami kerana penghayatan yang diberikan oleh gadis berusia 18 tahun ini.

Minggu ini, Shila boleh tersenyum puas apabila dia telah dipuji oleh pengkritik dan mereka menganggap persembahannya merupakan persembahan terbaik antara peserta yang lain pada malam itu.

Abraham seperti penguin

Seorang lagi peserta yang berasal dari Sabah, Abraham Edwin Dungot atau AB turut dikritik dengan cukup hebat oleh juri tetap.


Ab dikritik hebat oleh pihak juri.


Malah agak melucukan apabila AB dikatakan kelihatan seolah-olah seekor penguin semasa di atas pentas ketika menyanyikan lagu Swear It Again oleh Syafinaz.

Pastinya Syafinaz mengeluarkan kata-kata itu bukan dengan tujuan untuk menghina, tetapi sekadar gurauan. Pun bukan tiada ketegasan di dalam nada gurauan itu, sebaliknya Syafinaz memberi peringatan kepada AB bahawa penampilan juga memainkan peranan yang penting. Pentas OIAM bukan hanya untuk peserta yang memiliki suara yang bagus sahaja, tetapi pakej lengkap, imej hebat dan bergaya profesional.

Mahu siaran langsung

Kerana nila setitik rosak susu sebelanga. Umum mengetahui akibat perbuatan menayang badan oleh Faizal Tahir pada majlis sambutan ulang tahun stesen televisyen ini bulan lalu, 8TV dilarang mengadakan siaran langsung untuk program terbitan mereka.

OIAM sendiri terkena tempias tidak boleh bersiaran secara langsung. Program ini harus mematuhi larangan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang tidak membenarkan stesen berkenaan menyiarkan sebarang siaran langsung berbentuk hiburan selama tiga bulan berkuat kuasa 15 Januari lalu.

Namun memandangkan program realiti ini bakal memasuki minggu kemuncaknya, banyak pihak yang berharap agar OIAM ditayangkan secara langsung sewaktu final pada 29 Februari ini.

Seperti mana para peserta mahu merasa kehangatan mengadakan persembahan secara langsung, begitu juga penonton yang ingin melihat kredibiliti peserta kesayangan mereka beraksi tanpa rakaman.

Ini kerana kehangatan yang bakal dirasakan cukup berbeza jika pertandingan itu bersiaran secara langsung, bukan rakaman seperti sekarang.

"Jika diberi kesempatan untuk bertanding pada pertandingan akhir, lebih baik kalau OIAM final boleh diberi kelonggaran bersiaran secara langsung.

"Ini kerana kita akan berasa lebih bersemangat dan aura siaran langsung itu lain. Namun itu pun jika diberi pilihan atau kelonggaran oleh pihak berwajib," kata salah seorang peserta, Shila yang kini berada pada legasi empat teratas untuk meneruskan perjuangannya merebut RM1 juta.

Sementelah, 8TV pasti sedar untuk memastikan tiada perlakuan terlampau yang akan dipertontonkan sekali lagi tanpa pemantauan mereka.

Mana mungkin mereka mahu sekali lagi digantung hanya kerana kekhilafan orang lain. Bukankah begitu?


PESERTA wanita mendominasi pentas OIAM kali ini.