Fazura mengaku dia cemburu


Fazura semasa hadir di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Pelakon filem Gol & Gincu, Nur Fazura Sharifuddin semalam memberitahu Mahkamah Majistret di sini bahawa dia tidak membuat laporan polis berhubung pergadu- han melibatkan dirinya dan seorang suri rumah di sebuah bar, kira-kira tiga tahun lepas.

Sebaliknya Fazura berkata, dia membuat laporan polis berhubung ugutan yang diterima daripada suri rumah tersebut iaitu Geraldine Maria- na Wong, 33, yang menyatakan kepadanya (Fazura): "You are gonna be dead by tomorrow."

Dalam pergaduhan itu, Fazura didakwa mencederakan Geraldine di Bar Luna, Pacific Regency Hotel dan Apartments, Jalan Kia Peng di sini pada pukul 1.20 pagi, 19 Disember 2004.

Menjawab soalan Pegawai Pendakwa, Cif Inspektor R. Rukumar, Fazura berkata, dia merasa cemburu dengan tindakan dan sikap Geraldine yang di- katakan memegang tangan, bahu, pipi, dan rambut teman lelakinya, Ahmad Razman Ahmad Razali yang juga anak kepada bekas Menteri Besar Selangor.

Fazura menafikan dia berniat untuk bergaduh dengan suri rumah tersebut ketika kejadian itu, sebaliknya dia datang ke arah Geraldine hanya untuk mendapatkan kepastian mengenai apa sebenarnya berlaku.

Dia mengaku menyedari Ahmad Razman adalah bekas teman lelaki Geral- dine tiga tahun lepas sebelum kejadian itu.

Pelakon yang pernah memenangi anugerah Pelakon Harapan pada Festival Filem Malaysia melalui filem Bicara Hati itu didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Majistret Aizatul Akmal Maharani akan disambung 27 Mac ini untuk keterangan tiga lagi saksi pembelaan.

Fazura diwakili peguam Fakrul Azman Abu Hassan. - Bernama