KL Plus terus pimpin liga


PEMAIN ATM, Nazri Akui (kanan) ATM melepasi halangan permain KL Plus pada perlawanan Liga Perdana di Stadium Selayang malam tadi.



KL Plus terus mengungguli takhta bola sepak Liga Perdana dengan kelebihan empat mata daripada pesaing terdekat, Kuala Muda Naza selepas perlawanan liga malam tadi.

Skuad bimbingan Mat Zan Mat Aris itu kini mengutip 40 mata selepas mengharungi 16 perlawanan.

Manakala Kuala Muda Naza meraih 36 mata, Johor dan Sabah masing-masing dengan 30 mata diikuti Kelantan dengan 29 mata.

Kecuali KL Plus, pasukan lain yang menduduki tangga kedua hingga kelima bagaimanapun hanya bermain 15 perlawanan.

Terbaru, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menjadi mangsa KL Plus pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

KL Plus menang 4-1 menerusi jaringan hatrik oleh penyerang import dari Nigeria, Alex Agbo pada minit ke-52, ke-86 dan ke-90.

Satu lagi gol KL Plus adalah hasil sumbangan G. Saravanankumar.

Gol tunggal ATM dijaringkan oleh Suhaimi Ishak pada minit terakhir perlawanan.

Di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur Cheras, Kuala Lumpur sekadar mencatatkan keputusan seri 1-1 dengan Kelantan.

Tuan rumah terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Mohd. Ivan Yusof pada minit ke-29 sebelum Mohd. Ramzul Zahini menyamakan kedudukan pada minit ke-63.

Di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Kuala Muda Naza turut meraih tiga mata penuh selepas menumpaskan Protoc FC 4-2.

Dua gol daripada Jose Antonio Vega pada minit ke-39 dan ke-78 serta dua gol, masing-masing jaringan K. Santhia (49) dan Ngoku Emeka (53) memboleh Kuala Muda kekal di tangga kedua liga.

Charles Gaye Wright menyumbangkan dua gol Proton FC, pada minit ke-27 dan ke-84.

Di Stadium Darul Makmur, Shahzan Muda gagal memanfaatkan peluang bermain di gelanggang sendiri apabila tewas 1-2 kepada Melaka.

Gawang Shahzan Muda mula dibolosi seawal minit ketiga menerusi sepakan percuma Mohd. Hafas Abdullah sebelum George Opoku Weah menambah jaringan pada minit ke-66. Namun Shahzan Muda berjaya merapatkan jurang pada minit ke-84 apabila rembatan Mohd. Shahrizan Mohd. Salleh dari dalam kotak penalti gagal diselamatkan oleh penjaga gol pelawat.

Di Stadium Likas, tuan rumah, Sabah membelasah Felda United 4-1.

Salvester Sindih menjadi wira muncul Sabah apabila menjaringkan hatrik pada minit ke-38, ke-42 dan ke-54 sebelum Jamie Lawrence Phonix menambah satu lagi gol pada minit ke-45.

Gol saguhati Felda United dijaringkan pemain import, Eric Arsene Bayemi pada minit ke-39.