Edrie si arjuna penyelamat




WANITA mana yang tidak cair hatinya bila didampingi lelaki yang baik hati, selalu memberikan semangat agar kekecewaan yang dihadapi hari ini bukanlah penentu takdir hari esok.

Kala hatinya remuk dilanda taufan, kala hidupnya bergoncang melawan arus dan kala itulah sang arjuna itu datang membawa harapan. Kalaupun bukan kekasih, pastinya, situasi itu menyuntik satu rasa yang maha besar.

Hidup dan karier wanita bernama Pat, 34, atau nama islamnya Nurul Nadhira Patricia Robert ini pernah hampir menjunam. Harapannya pernah punah dan jiwa luluh dek segala tohmahan dan kritikan yang dihadapi.

Sekiranya ada yang masih samar, saya perkenalkan, inilah Pat yang satu masa dahulu pernah popular dengan lagu Akan Ku Tunggu bersama kumpulan Candy. Mereka adalah satu-satunya kumpulan rock wanita di sini. Masih ingat bukan?


KETIKA mengecap bahagia bergelar raja sehari, enam tahun dahulu.


Ramai yang sudah tahu, Edrie Hashim, 35, gitaris yang juga komposer lagu-lagu rock ini pernah menulis lagu yang indah khas buat suri hatinya ini berjudul Iris, nyanyian Awie.

Tertarik dengan romantis hubungan dua jiwa rock ini, Intuisi Cinta bertamu ke teratak mereka, mengungkit kisah untuk dikongsi bersama.

"Ketika saya sakit tekak dulu, teruk saya kena kritik, kena kata macam-macam. Semua orang semacam menghina saya, kononnya tidak boleh menyanyi dan macam-macam lagi.

"Masa itu saya hampir putus asa. Tapi Edrie banyak membantu dan dia sahaja lelaki yang baik dengan saya. Dia banyak nasihatkan supaya sabar. Saya terharulah, rupa-rupanya ada juga orang yang sayangkan saya," ujar Nurul Nadhira yang selesa membahasakan diri sebagai Pat sambil ketawa.

Sesungguhnya, setiap yang berlaku pasti ada hikmah. Bertitik-tolak daripada situasi itu, hubungan hanya kawan antara komposer dengan artis, Edrie Hashim dan Pat bertukar rentak.

Tidak sekadar berkongsi cerita bahkan di hati mereka semakin berputik bunga-bunga kasih yang ingin mekar.

Edrie tersenyum kala Pat bercerita kisah lama. Romantikus rupanya pasangan rock ini.


PERMATA hati Edrie dan Pat, Darren Haikal yang semakin bijak dan pandai bergaya.


Sambil minum petang, Edrie pula membuka muka surat yang lama tersimpan rapi.

"Kami tak pernah kenal sebelum Pat bersama Candy datang KL untuk rakam album. Bila album sudah siap, Candy pula sudah popular. Barulah kami mula berkawan. Kalau keluar mesti ramai-ramai.

"Masuk setahun kenal barulah kami mula serius. Lima tahun kami berkawan. Lama tu. Kemudian famili nasihatkan suruh kahwin.

"Saya pun fikir juga, saya memang tiada wanita lain. Jadi kami pun kahwinlah," kata Edrie tergelak.

Nampak rock, tapi mendekati Edrie dan Pat di luar dimensi rock mereka, melucukan juga pasangan ini.

Paling lucu dan agak kasar kedengaran di cuping telinga, Edrie menyifatkan wanita yang dinikahinya hampir enam tahun ini sebagai wanita yang diklasifikasikan 'stok bini'.

Apa maksud Edrie, selamba sahaja dia melabelkan kekasihnya dulu sebagai stok bini, usik saya.

"Bukan apa, dia rockers, saya pun rockers juga. Jadi sepanjang kenal, saya tengok dia bukan jenis yang suka keluar berpeleseran. Kalau tiada show, tiada kerja, dia suka duduk rumah saja. Kira layak jadi 'orang rumah', 'stok bini'lah kiranya," beritahu Edrie terjerat dengan kata-kata sendiri.


BAHAGIA dengan cara tersendiri. Walaupun sibuk dengan show dan kerja muzik yang tidak pernah selesai, Edrie memastikan masa berkualiti untuk isteri dan anak.


Kasar didengar tapi sebenarnya itu satu penghormatan daripada Edrie untuk Pat. Rock la katakan.

"Jahatkan dia nie?" celah Pat sambil mencubit bahu suaminya.

Cinta yang direstuiItu kisah lama. Pat dan Edrie kini bahagia dengan kehadiran bukti cinta mereka, Darren Haikal yang sudah berusia empat tahun.

Menyelongkar apa yang tersurat, sebelum keputusan hidup bersama diputuskan, Pat terlebih dahulu harus mengukuhkan pegangan diri. Soal agama adalah perkara paling utama baginya kerana mahu hidup sebagai isteri Edrie.

"Saya dan keluarga saya penganut agama Kristian. Tetapi dalam keluarga saya bukan saya seorang sahaja yang memeluk Islam. Jadi, perkara ini bukan luar biasa. Cuma. ibu-bapa saya sedih dan risau takut saya akan tinggalkan keluarga buat selama-lamanya, tukar nama dan tidak boleh menjenguk mereka.

"Bila saya terangkan semuanya barulah mereka faham. Mereka okey. Dalam hal ini, saya kagum dengan Edrie. Walaupun berbeza agama, dia tetapkan hormati keluarga mertua. Kami berketurunan Iban, tapi dia tidak pernah membezakan keluarga saya dengan keluarganya di sini," beritahu Pat panjang lebar.


BUKAN setakat berkongsi kasih, Edrie dan Pat bersatu atas rasa cinta dan minat yang sama dalam muzik yang sealiran.


Masih dengan penampilan seperti ketika bersama Candy, wanita beranak satu ini masih rugged dan ringkas dalam bergaya. Edrie mungkin masih memberikan ruang kepada Pat memilih penampilan yang selesa dengan imejnya.

Optimis seorang suamiJangan tidak tahu, walaupun tugasnya kini sebagai suri rumah sepenuh masa, seminggu sekali Pat akan berlatih menyanyi bersama ahli kumpulan Candy yang lain.

Candy bakal muncul dengan album ketiga mereka tidak lama lagi. Proses rakaman telah siap cuma Candy masih mencari syarikat yang sesuai untuk bertindak sebagai pengedar.

Kata Edrie, dia hanya terlibat sebagai penasihat bukan sebagai penerbit seperti dua album terdahulu.

"Mulanya saya nak terbitkan album mereka, tetapi banyak kerja, tak sempat. Lagipun, lebih baik artis itu ambil tahu dan rasa sendiri selok-belok untuk terbitkan album. Bagi dia rasa bagaimana susahnya nak keluarkan album," jelas Edrie serius.

Tidak menghalang jauh sekali melarang isterinya mahu kembali aktif, Edrie lebih bersikap optimis dan memahami minat muzik yang berakar di jiwa Pat.

"Itulah baiknya kahwin dengan wanita sejiwa dengan kita. Kami faham kerja dan minat masing-masing. Jadi, jarang bergaduh jika saya dilihat lebih utamakan kerja.

"Mungkin ada yang beranggapan kami sekadar berkongsi dunia yang sama dan tidak tahu tentang dunia luar selain muzik. Mungkin mereka betul, tapi kami tidak peduli. Kami bahagia," kata Edrie jujur.

Saling berkongsi kemanisan hubungan mereka, Edrie menambah lagi. Beritahunya, kerana sudah terbiasa dengan rentak hubungan sebagai kawan baik, mereka masih membahasakan diri masing-masing 'aku' dan 'kau' sehingga kini. Bagi mereka, itu yang lebih mesra.