'Inilah anugerah Allah'




Kosmo! Ahad: Apa perasaan kamu dipilih sebagai antara Tokoh Maulidur Rasul?

Nor Umairah: Bercampur antara terharu dan bangga. Terharu sebab terpilih menerima anugerah itu bersama empat tokoh lain iaitu Ketua Pembedahan Kardiotorasik Institut Jantung Negara, Tan Sri Dr. Yahya Awang; pakar ekonomi, Senator Prof Datuk Dr. Ismail Md Salleh; Angkasawan Negara, Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha; dan pendaki wanita pertama negara yang menawan puncak Everest, Marina Ahmad.

Bangga pula kerana menerima pengiktirafan tersebut daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Mizan Zainal Abidin.

Bagaimana kamu menyesuaikan diri tanpa tangan?

Inilah anugerah Allah. Dia berhak menghilangkan fungsi tangan saya namun Dia Maha Adil dengan menukarkan kebolehan itu kepada kaki pula.

Ibu selalu bercerita kebolehan memegang pelbagai objek dengan kaki ini terjadi sejak saya kecil lagi. Tetapi saya tahu selain kuasa Allah, ia berkat ketabahan ibu dan ayah tanpa rasa jemu dan putus asa mendidik, melatih saya berdikari menggunakan kaki.

Saya masih ingat lagi, ibu melatih saya pegang pensel bagi menulis menggunakan kaki ketika saya berusia lima tahun. Sebenarnya saya mampu memegang pelbagai objek dengan menggunakan kedua-dua belah kaki namun saya cuma menulis dengan kaki kiri.

Kesedaran diri ini kurang sempurna berbanding insan lain menyebabkan saya selalu tanamkan tekad untuk sentiasa lebih berusaha dan kerja lebih kuat.


NOR UMAIRAH


Bagaimana pula keadaan kamu di sekolah?

Sama sahaja seperti pelajar lain. Malah saya tidak ditempatkan di kelas khas sebaliknya belajar di kelas biasa bersama rakan sebaya.

Cuma yang berbeza, ketinggian meja tulis saya di dalam kelas, rendah sedikit berbanding pelajar lain. Sebenarnya meja tersebut ialah meja tulis biasa yang separuh daripada empat kakinya dipotong oleh ayah bagi membolehkan saya selesa menulis dengan kaki.

Ayah membuat sendiri meja tulis itu ketika saya berada di tingkatan satu dan sehingga kini ia akan 'mengikut' saya apabila saya bertukar kelas setiap tahun. Namun saya guna kerusi biasa yang lazim dipakai pelajar lain.

Dalam ujian dan peperiksaan pula, walaupun dibenarkan menjawab dengan tambahan masa, saya tidak pernah gunakannya baik dalam UPSR mahupun PMR. Setakat ini memang tiada masalah, saya punya cukup waktu untuk menjawab setiap soalan.

Saya juga berazam untuk melakukan perkara yang sama pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bakal diduduki tahun depan.

Selain akademik, adakah kamu aktif dalam kegiatan kokurikulum?

Sudah semestinya. Saya menyertai persatuan beruniform, Puteri Islam. Saya juga ahli Kelab Catur. Saya minat bermain catur kerana ia memerlukan kita berfikir bagi merancang taktik.

Saya turut bergiat aktif dalam Persatuan Bahasa Inggeris dan menyertai setiap aktiviti persatuan terbabit. Tidak ketinggalan aktiviti perbahasan sama ada bahasa Malaysia atau Inggeris.

Semasa di tingkatan dua dan tiga, saya pernah mewakili sekolah dalam pertandingan bahas peringkat daerah. Walaupun tidak menang tetapi saya positif dengan pengalaman itu.

Sekurang-kurangnya ia menjadi batu loncatan kepada saya untuk melatih keyakinan diri bagi melontarkan hujah dan pendapat selaras dengan cita-cita saya untuk menjadi seorang peguam sivil yang disegani suatu hari nanti.

Peguam? Kenapa nak sertai profesion itu?

Itulah cita-cita saya sejak kecil. Mungkin pengaruh televisyen agaknya (ketawa kecil). Saya sebenarnya peminat setia pelbagai drama siri bercorak perundangan seperti Law and Order.


TOKOH Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan, Nor Umairah berterima kepada kedua-dua ibu bapanya yang mengajarnya menulis dengan kaki sejak kecil.


Malah baru-baru ini, ketika Astro Ria menayangkan drama Cinta dan Keadilan yang memaparkan kegigihan dan kepayahan dua graduan undang-undang melakukan amali di firma guaman, saya antara salah seorang peminat setia siri tersebut.

Melihat watak peguam berkenaan bertungkus tumus untuk menegakkan keadilan, ia amat menyentuh hati saya. Doakan saya berjaya mencapai cita-cita tersebut.