Pesta liar berakhir dalam lokap


SEBAHAGIAN daripada 38 peserta pesta liar yang ditahan dan dibawa ke Mahkamah Majistret Jasin untuk direman semalam.


JASIN - Keseronokan 21 lelaki dan 17 wanita termasuk 15 pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) meraikan malam minggu di sebuah banglo di Taman Orna, Gapam berakhir di dalam lokap apabila semuanya ditahan polis setelah sambutan bertukar menjadi pesta liar.

Dalam serbuan yang dibuat pukul 5.45 pagi kelmarin, polis turut menemui enam biji pil ekstasi dan 33 orang daripada mereka dikesan positif dadah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Supritendan Tio Kian Peng berkata, ketika serbuan dilakukan, semua di dalam rumah berkenaan sedang menari dengan muzik yang begitu kuat.

"Ada yang seperti lupa diri ketika serbuan dibuat disebabkan terlalu asyik menari.

"Walaupun tiada arak yang ditemui, namun sebahagian besar daripada mereka mengambil dadah dan pil ekstasi," katanya semalam.

Kian Peng berkata, daripada 33 yang didapati positif dadah itu, 15 daripadanya merupakan pelajar IPT.

"Enam daripada pelajar IPT ini merupakan pelajar asing.

"Dua orang yang menganjurkan pesta liar tersebut turut ditahan dalam banglo yang disewa RM350 sehari," katanya.

Penganjur pesta liar berkenaan akan didakwa mengikut Seksyen 13(c) Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala mereka yang positif dadah akan didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) akta yang sama.

Semua mereka ditahan reman selama empat hari mulai semalam bagi membantu siasatan.