Malam gemilang artis Malaysia di APM 2008


FAIZAL bersama trofi anugerah artis lelaki baru terbaik pada APM 2008 di Kuala Lumpur malam tadi.


KUALA LUMPUR - Barisan artis Malaysia mengharumkan nama negara apabila mendominasi anugerah terbaik dan anugerah popular pada majlis Anugerah Planet Muzik (APM 2008) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) malam tadi.

Daripada 17 kategori yang dipertandingkan, Malaysia mengungguli lapan anugerah, masing-masing didahului dengan Datuk Siti Nurhaliza sebagai artis wanita paling popular sejak lapan tahun berturut-turut.

Faizal Tahir pula menebus kontroversinya menerusi dua gelaran selaku artis lelaki paling popular dan artis lelaki baru terbaik.

Paling mengharukan ialah APM 2008 juga turut menamakan dua kumpulan legenda tanah air iaitu Search dan KRU sebagai penerima Anugerah Cinta Planet Muzik dan Anugerah Khas sebagai penghargaan atas sumbangan mereka selama ini.

Berkongsi kegembiraan juga ialah kumpulan Estranged dengan meraih anugerah iaitu lagu paling popular dan kumpulan paling popular.

Sementara itu kumpulan Gigi dari indonesia membolot tiga anugerah utama iaitu Album Terbaik, Lagu Terbaik dan Artis Duo/Kumpulan Terbaik menerusi album mereka Peace Love and Respect.

Turut melakar kejayaan ialah Farah Asyikin apabila diumumkan sebagai Artis Wanita Baru Terbaik, Anuar Zain (Artis Lelaki Terbaik) dan kumpulan Meet Uncle Hussein (Duo/Kumpulan baru terbaik).

Anugerah ini diadakan sejak tahun 2000 dan merupakan acara terbesar industri muzik bagi memberi penghargaan kepada penggiat seni Malaysia, Indonesia dan Singapura.

APM 2008 menyaksikan 524 pencalonan termasuk 315 pencalonan dari Indonesia, 108 dari Malaysia dan Singapura sebanyak 101 pencalonan.