Fendy A To Z meninggal dunia


EFFENDIEY


ALOR STAR - Niat seorang adik perempuan bekas penyanyi kumpulan A To Z mengadakan majlis bacaan Yasin petang semalam bagi mendoakan abangnya itu pulih semula setelah diserang angin ahmar terpaksa dibatalkan sebaliknya mengatur persiapan menunggu ketibaan jenazah bekas penyanyi tersebut.

Menurut Zailawati Zainon, 32, pada mulanya dia merancang mengadakan majlis tersebut di rumahnya pukul 3 petang semalam memandangkan abangnya, Effendiey Zainon, 39, atau lebih dikenali sebagai Fendy A To Z semakin tenat sejak tiga hari lalu.

"Walaupun hajat saya mengadakan kenduri Fendy tidak kesampaian namun saya reda pemergiannya," kata Zailawati ketika ditemui di Taman Harapan, di sini semalam.

Fendy yang pernah popular bersama kumpulan A To Z dengan lagu Itik Gembo Gembo dan Iyo Ko menghembuskan nafas terakhir pukul 9.30 pagi semalam di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini.

Allahyarham dipercayai mengalami bengkak otak sebelum diserang angin ahmar pada Disember tahun lalu dan menerima nasib serupa Ahad lalu sehingga terpaksa ditahan di ICU HSB.

Jenazah Fendy selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kuala Kedah di sini pukul 5 petang semalam.