Fazura hayun kasut pertahan diri


FAZURA (kanan) bersama Shahrizan selepas perbicaraan di Mahkamah Majistret Jalan Duta semalam.


KUALA LUMPUR - Rakan kepada pelakon jelita, Fazura memberitahu bahawa suri rumah yang terlibat dalam pergaduhan dengan artis berkenaan di sebuah bar empat tahun lalu kelihatan mabuk dan tidak seperti biasa.

Menurut Shahrizan Mohd. Rodzi, 35, wanita tersebut, Geraldine Mariana Wong, 33, dilihat meminum minuman keras sambil bermesra dengan teman lelaki Fazura, Ahmad Razman Tan Sri Ahmad Razali dan bergelak ketawa dengan rakan-rakannya.

"Selain itu, saya juga diberitahu oleh beberapa kawan yang berada di bar tersebut bahawa Geraldine telah pun mabuk sebelum itu," kata saksi yang lebih dikenali sebagai Shereen Shah di Mahkamah Majistret di sini semalam.

Shahrizan memberi keterangan sebagai saksi pembelaan kedua bagi perbicaraan kes saman terhadap Fazura atau nama sebenarnya, Nur Fazura Shamsudin, 24, yang didakwa memukul Geraldine Mariana Wong di Bar Luna Pacific Regency Hotel & Apartments, Jalan Kia Peng di sini pukul 1.20 pagi, 19 Disember 2004.

Jelas saksi yang kerap ditegur kerana bercakap terlalu laju itu, sebaik melihat Geraldine bermesra dengan Ahmad Razman, Fazura pergi bersemuka dengan Geraldine walaupun telah ditegah olehnya sebelum itu.

"Tujuan Fazura adalah untuk mengetahui mengapa Geraldine mengutuk dan memperlekehkan dia kepada rakan lain.

"Namun tidak lama kemudian berlaku pergaduhan dan mereka berdua saling tolak-menolak serta menarik rambut masing-masing," beritahunya.

Kata Shahrizan, dia tidak melihat dengan jelas apa yang berlaku kerana perlu menjelaskan pertanyaan orang ramai yang berkerumun di situ, tetapi mengaku dia ternampak sebelah satu kasut Fazura tercabut dan rakan Geraldine membuangnya ke dalam kolam.

Selepas beberapa ketika, tambahnya, Fazura pergi ke arah pintu keluar sambil memegang sebelah kasut namun Geraldine datang dari arah belakang dan menarik rambut Fazura.

Tindakan wanita itu menyebabkan Fazura terus menghayun kasut yang dipegangnya ke arah belakang wanita itu beberapa kali bagi mempertahankan diri.

Perunding teknologi maklumat (IT) itu mengaku mereka tidak membuat laporan polis selepas kejadian dan terus pulang ke rumah kerana selain kepenatan, pakaian heroin filem 'Kayangan' itu juga terkoyak di bahagian depan serta hanya berkaki ayam.

"Tapi sehari atau dua hari kemudian, Fazura ada dipanggil untuk beri keterangan di Balai Polis Dang Wangi kerana laporan polis telah dibuat Geraldine," katanya.

Perbicaraan bersambung 22 Mei depan.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.