Sekadar cuti umum?

Tanggal 1 Mei merupakan Hari Pekerja. Adakah ia sekadar menambah bilangan cuti am yang tertera dalam kalendar? Wartawan ADHAM SHADAN mengupas topik ini.


SUMBANGAN pekerja dihargai dalam membangunkan negara.


HARI ini adalah hari buat para pekerja. Tidak kira sama ada anda seorang guru, doktor, pemandu teksi, operator pengeluaran, kerani atau seorang bapa, ibu mahupun anak, selagi anda seorang yang bekerja, hari ini adalah hari untuk anda.

Hari yang jatuh pada 1 Mei ini memang istimewa. Kita mempunyai pelbagai hari di dunia seperti Hari Ibu, Hari Bapa, Hari Wanita, Hari Pengguna dan sebagainya tetapi jarang sekali hari-hari seperti itu dinobatkan sebagai cuti umum. Malah, ada negara pernah memanjangkan cuti umum sehingga tiga hari. China pernah melakukannya pada tahun 1990-an semata-mata untuk menghargai pengorbanan golongan pekerja.

Ada yang menyebutnya sebagai Hari Pekerja, ada yang menggelarnya sebagai Hari Buruh dan ada juga yang selesa menamakannya sebagai Hari Mei. Yang mana satu lebih tepat? Kita lupakan seketika persoalan itu. Ada baiknya anda sebagai pekerja bertanya kepada diri sendiri mengenai maknanya hari ini bagi anda?

Kenyataannya, ramai di antara kita tidak dapat menjawab apakah signifikannya hari ini kepada kita. Apa yang terlintas pantas di fikiran kebanyakan kita ialah hari ini ialah hari untuk bercuti dan merehatkan diri dan minda. Memang itulah hasil tinjauan pendapat yang dilakukan Kosmo! baru-baru ini.

Daripada 10 responden yang ditemui, lebih separuh daripadanya mengaitkan Hari Pekerja dengan hari untuk bercuti dan berehat. Jawapan mereka tidak salah. Memang benar, hari ini ialah cuti umum tetapi ia bukanlah berkenaan cuti semata-mata. Mereka tidak seharusnya membiarkan hari ini berlalu 'kosong'.

Memang senario di negara kita berbeza dengan keadaan di kebanyakan negara-negara luar terutamanya yang bergolak. Kita tidak perlu menjadi seperti mereka yang mengambil kesempatan menggunakan hari ini untuk melakukan kekacauan dan rusuhan jalanan bagi menunjukkan protes agar suara mereka didengari. Ia bukan cara kita kerana di sini, jalan perundingan sentiasa terbuka. Justeru, apakah perkara terbaik yang boleh kita lakukan?


SELAGI mana anda bekerja, Hari Pekerja adalah hari untuk anda.


Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Omar Osman yang dihubungi Kosmo! berkata, hari ini patut digunakan oleh pekerja untuk mengenang kembali perjuangan pekerja terdahulu.

"Ini hari yang amat penting. Bukan hanya untuk cuti, berehat dan berkelah. Kita seharusnya mengimbas perjuangan pekerja dahulu.

"Apa yang kita kecapi hari ini adalah hasil daripada apa yang telah mereka perjuangkan. Mungkin tanpa perjuangan mereka, kita pada hari ini masih mendapat gaji mengikut hari, perlu ambil gaji secara tunai, bekerja melebihi lapan jam sehari, tidak ada peluang kenaikan pangkat, tidak ada elaun perumahan, elaun sara hidup dan sebagainya," kata Omar seraya menyebut beberapa nama tokoh pejuang pekerja dalam sejarah negara seperti A. Ragunathan, A.H Ponniah dan Datuk Nordin Abdul Hamid.

Selain itu, Omar juga menggesa para pekerja agar mengikuti aktiviti-aktiviti sambutan yang diadakan oleh persatuan-persatuan sekerja dan kerajaan untuk mengeratkan hubungan dan saling bertukar pandangan. CUEPACS misalnya bakal mengadakan sambutan Hari Pekerja secara besar-besaran di Dewan Jubli Intan, Johor Bahru hari ini pada pukul 9 pagi.

"Kita di Malaysia tidak patut menggunakan cara agresif. Kita tidak memerlukan perhimpunan konfrontasi dan pemberontakan sebagai cara melepaskan geram. Kita ada saluran perundingan. Tuntutan kita turut diambil perhatian oleh kerajaan," katanya.

Omar turut menjelaskan keadaan sektor awam di negara ini juga kian baik seiring dengan pencapaian 50 tahun kemerdekaan.

"Efisiensi sektor awam juga semakin baik dan dijangka bakal berada dalam 10 negara terbaik pada tahun depan sebagai mana yang dilaporkan oleh Pasukan



Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah), baru-baru ini. Statistik kesalahan tatatertib seperti penyalahgunaan kuasa juga memperlihatkan penurunan. Misi CUEPACS kini ialah untuk mewujudkan sifar kesalahan tatatertib," katanya.

Menyentuh mengenai istilah Hari Pekerja atau istilah Hari Buruh yang sewajarnya digunakan, Omar berpendapat, Hari Pekerja lebih sesuai dalam konteks masa kini.

"Perkataan buruh digunakan pada tahun 1960-an dan 1970-an. Ia sudah tidak relevan lagi, apatah pada zaman milenium seperti hari ini. Buruh juga merupakan satu pekerjaan yang sering dikaitkan dengan buruh kasar, sedangkan pekerja meliputi semua status. Majikan juga adalah pekerja," ujarnya.

Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Syed Shahir Syed Mohamud juga menyeru para pekerja menjadikan hari ini untuk hari mengimbas perjuangan pekerja silam di dalam negara serta menyorot sejarah kelahiran Hari Pekerja itu sendiri.

"Sejarah perjuangan pekerja telah bermula di Eropah, Amerika Syarikat dan Kanada lebih 100 tahun lalu. Mereka berkorban nyawa demi kepentingan kita pada hari ini," katanya yang lebih gemar menggunakan perkataan Hari Mei kerana walaupun rata-rata negara menjadikan 1 Mei sebagai Hari Pekerja, namun kenyataannya ada juga negara menyambut Hari Pekerja pada bulan September (Amerika Syarikat) dan Oktober (New Zealand).

Sejarah perjuangan pekerja tercetus sejak tahun 1856, apabila sekumpulan pekerja yang dinamakan Stonemasons dan pekerja bangunan di Melbourne, Australia mendesak agar bekerja lapan jam sehari. Desakan mereka membuahkan hasil dan ia merupakan kali pertama desakan pekerja berjaya dalam sejarah tanpa perlu membayar apa-apa ganti rugi.

Kemudian, pada tahun 1884, Federation of Organized Trades and Labor Unions di Amerika Syarikat dan Kanada menggesa agar tempoh khidmat pekerjaan yang sah dalam sehari adalah selama lapan jam sahaja bermula 1 Mei 1886. Dengan pekerja ketika itu dikerah bekerja sehingga 10,12 atau 14 jam sehari, gesaan persatuan itu telah mendapat sokongan yang padu daripada para pekerja yang berminat dengan gesaan 'lapan jam kerja, lapan jam berekreasi dan lapan jam rehat'. Sehingga April 1886, kira-kira 250,000 pekerja terlibat dalam pergerakan Hari Mei.


PEKERJA perlu menyedari hak-hak mereka sebagai pekerja.


Syed Shahir Syed Mohamud juga berharap para pekerja prihatin terhadap hak-hak mereka sebagai pekerja.

"Kita perlu sedar hak kita sebagai pekerja seperti tidak boleh dipecat sewenangnya, tidak boleh dipaksa bekerja lebih lapan jam sehari, hak menerima gaji, tidak dinafikan cuti sakit, rehat, bersalin dan sebagainya. Kita bukan komputer," katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Noraini Ahmad berkata, Hari Pekerja diadakan untuk mengiktiraf golongan pekerja di negara ini yang sama-sama bertanggungjawab membangunkan negara.

"Usaha membangunkan negara adalah tanggungjawab semua. Sumbangan pekerja dalam menghasilkan idea diterima pakai, seterusnya mewujudkan negara yang berdaya saing. Sesuailah dengan slogan Hari Pekerja pada tahun ini, 'Pekerja Inovatif Negara Kompetitif'.

"Di negara ini, sektor pekerjaan kita lebih baik kerana suara pekerja didengari kerajaan. Kerajaan sedia membuka ruang perundingan. Kami akan buat yang terbaik untuk para pekerja," katanya.

Sejarah Hari Pekerja di Malaysia

SAMBUTAN Hari Pekerja di negara ini bermula apabila bekas Timbalan Perdana Menteri, Allahyarham Tun Dr. Ismail Abdul Rahman, mengumumkan 1 Mei sebagai hari pelepasan am bagi pekerja pada awal tahun 1970-an.

Pengumuman itu dibuat ketika beliau merasmikan Seminar Kesatuan Sekerja Biro Buruh dan Kesatuan Sekerja UMNO di Dewan Belia, Kampung Pandan, Kuala Lumpur pada 20 Mei 1972.

Dr. Ismail menyatakan, keputusan itu dibuat dengan harapan pergerakan buruh akan menganggap 1 Mei sebagai satu hari dedikasi buat pekerja sesuai dengan cita-cita kebangsaan.

Pengumuman itu dianggap penting kerana ia bukan sahaja mengiktiraf sumbangan pekerja, malah secara tidak langsung menunjukkan Malaysia turut bersetuju dengan keputusan Konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) yang meluluskan 1 Mei sebagai Hari Pekerja atau Hari Mei.