Belanja RM200 terbeli cekak kulit babi


PEGAWAI Aduan PPIM, Roslina Mokhtar menunjukkan cekak rambut dengan lapisan dalamnya daripada kulit babi baru-baru ini.


KUALA LUMPUR - Cekak rambut daripada kulit babi?

Bukan dakwaan kosong, tetapi sampel kulit pada cekak rambut yang dijual di pasar raya terkenal ini disahkan ada kandungan kulit haiwan tersebut oleh makmal Fakulti Sains Gunaan dan Farmasi Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Mangsa yang terbeli cekak tersebut yang dijual RM199.90, mula meragui keaslian kulitnya yang didakwa diperbuat daripada kulit lembu oleh penjualnya.

Wanita tersebut yang mahu dikenali sebagai Mahani berkata, dia tidak pernah meragui untuk membeli apa sahaja barangan yang dijual secara terbuka terutama di dalam pasar raya besar.

Namun kali ini berbeza apabila Mahani berasa ragu-ragu melihat ada tiga bintik pada cekak tersebut yang dibeli pada 17 April lalu kepada Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

Pengarah Projek PPIM, Noor Nirwandy Mat Nordin berkata, mereka telah menghantar sampel kulit itu ke makmal Fakulti Sains Gunaan dan Farmasi UiTM untuk dianalisis.