Tidak gentar kereta berpusing

Tidak gentar memecut kelajuan sehingga 190km/j, wanita-wanita biasa ini mewakili Red Bull Female Rookies Team untuk mempersiapkan diri menghadapi cabaran Merdeka Millennium Endurance.




LEBIH lama kita perhatikan gelagat empat wanita ini di litar lumba Sepang, lebih yakin bahawa merekalah pilihan tepat creme of the creme untuk bertanding dalam acara Merdeka Millennium Endurance (MME). Ternyata latar belakang setiap wanita ini tidak penting tetapi yang paling mustahak adalah komitmen dan akauntabiliti masing-masing dalam menampilkan kehebatan mengendalikan stereng kereta lumba.

Terdiri daripada Norlina Johor Zainal Abidin, 27; Puteri Ayu Jasmin Abdul Hamid, 24; Leona Chin Ly Weoi, 22, dan Norbaizura Ruslan, 24; wanita-wanita ini diserap masuk mewakili Red Bull Female Rookies Team setelah menjalani sesi temu duga yang menilai personaliti seseorang, kekuatan mental dan fizikal, pengetahuan dalam dunia pemotoran, kemahiran pemanduan kereta lumba dan kriteria-kriteria lain.

Berdasarkan pungutan markah dan kelulusan ujian yang tertinggi, mereka disaring daripada sejumlah 600 peserta yang kemudiannya ditapis kepada 45 orang, 12 orang dan akhirnya empat wanita dinamik dari tiga kawasan di bahagian utara, selatan dan tengah dipilih.

Sejak MME dianjurkan pada tahun 2000, inilah kali pertama kumpulan Red Bull memperkenalkan barisan pelumba wanita yang terdiri daripada wanita biasa tanpa pengalaman berlumba profesional bagi menyahut cabaran MME pada bulan Ogos ini.


NORLINA (kiri) berbincang sesuatu dengan Norbaizura sebelum memecut laju di litar.


Uniknya ialah ia tidak mendiskriminasi wanita dari segi kerjaya dan status perkahwinan. Dengan syarat minimum yang terbuka kepada semua wanita bukan selebriti dan berusia 18 tahun dan ke atas, Norlina secara semula jadi terdorong untuk menyertai perlumbaan tersebut meskipun sibuk dengan kerjayanya sebagai seorang usahawan yang kini bercadang membuka sebuah rumah produksi.

Dengan seramai empat orang staf yang bekerja di bawah penyeliaannya di Shah Alam, Selangor, Norlina memastikan perniagaan dobi tidak menganggu gugat keinginannya untuk menjadi seorang pelumba kereta profesional.

"Saya ingin menjadi pemandu kereta lumba wanita Malaysia yang menjadi tauladan kepada remaja," ujarnya yang sentiasa teruja dengan benda-benda laju.

Dilahirkan dalam sebuah keluarga yang kecil dengan tiga orang adik-beradik yang kesemuanya perempuan, Norlina atau lebih manja dipanggil Lina merupakan adik kembar kepada kakaknya yang telah menempah nama dalam dunia lakonan industri Melayu tempatan.


KENVIN merakamkan masa perlumbaan kereta di litar lumba Sepang.


Kurang berminat dalam dunia perfileman, Lina bagaimanapun menunjukkan minat yang mendalam dalam dunia pemotoran sejak kecil lagi. Pada usia 13 tahun, Lina belajar memandu kereta di bawah telunjuk bapanya. Sebaik tamat 'pengajian', Lina meneruskan hobinya memandu kereta go-kart di litar sekitar Lembah Klang.

"Saya dapati ramai juga golongan wanita zaman sekarang menanamkan minat dalam sukan pemotoran berbanding dengan zaman ibu bapa kita dulu. Mereka tampil lebih yakin, berani dan tidak mudah mengalah tanpa memberi satu perlawanan yang sengit," jelasnya ketika ditemui di Subang Jaya, Selangor.




"Bagi saya, bukan kerana mengejar status glamor tetapi keghairahan yang sukar dipadamkan. Setelah menimang seorang cahaya mata, Kifaayat Putra Mohd. Julian, 2 tahun, saya tetap mencari masa untuk diluangkan di litar lumba," ujarnya yang tidak teragak untuk melatih anaknya berlumba kereta apabila sudah cukup umur.

Memegang tali pinggang hitam dalam taekwando, Lina bertuah kerana mendapat restu dan dorongan daripada suami tersayang. Jika sebelum ini, dia kerap berulang-alik ke Shah Alam untuk menguruskan hal-hal berkaitan kerja, kini tugas itu diambil alih oleh suami dan Lina hanya pergi apabila ada keperluan.

Dalam masa terluang inilah, dia menyibukkan diri dengan melakukan senaman di gimnasium, mengawal diet pemakanan dan membanyakkan aktiviti pengenalan teori pemanduan kereta lumba. Dia meminati Karamjit Singh di arena tempatan dan Lewis Hamilton, pemandu Mclaren Mercedes F1.

"Orang menganggap memandu kereta laju ini mudah. Tekan minyak sahaja. Sebenarnya seorang pelumba kereta profesional perlu mengetahui selok-belok pemanduan yang tidak membahayakan diri dan orang lain, tahu mengawal kereta semasa membuat lencongan, hari hujan dan lain-lain," ujarnya yang tidak begitu gembira dengan persembahannya pada sesi latihan yang lalu.

Bukan sahaja hari hujan malah kereta yang dibawa mempunyai sedikit masalah teknikal. Lina tidak takut kereta yang dipandunya laju melebihi 190km/j yang boleh berpusing atau spin tetapi dia merasakan dirinya mampu membuat lebih daripada apa yang ditunjukkan tempoh hari.

Sementara itu, Leona Chin memiliki sebuah kereta drifting sejak berumur 20 tahun. Dunia drifting dan dirinya hampir tidak boleh dipisahkan. Pada hujung minggu, dia dan beberapa kawan-kawannya akan melakukan beberapa aksi berani untuk mencabar kehebatan masing-masing mengawal kereta yang menggelongsor.


KIRI: NORBAIZURA bersedia untuk berlumba dalam MME.


Kereta Nissan 200SX yang dibeli pada harga RM45,000 dipandu mengelilingi sebuah kon mengikut arah jam dan sebaliknya. Leona juga belajar memandu kereta drifting dalam bentuk 8. Apa pun, dia tidak menyangka apa yang menanti semasa mencuba nasib dalam saringan ujian Red Bull di The Curve pada bulan Julai 2007.

"Pemilihan saya bagaikan batu loncatan untuk mewakili negara dalam sukan bertaraf dunia ini. Saya mempraktikkan semua aspek pemanduan yang dipelajari ke dalam latihan di litar bagi mempersiapkan diri menghadapi pertandingan MME nanti," kata Leona yang juga seorang pemain zilofon di sekolah menengah dan kini mengikuti kelas bahasa Jepun di Kolej Damansara Utama selepas menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda dalam Pengurusan Perniagaan.

"Minat saya dalam sukan drifting berlaku secara kebetulan dan sekarang, saya bertukar arah kepada lumba kereta. Saya yakin dan serius untuk mengembangkan peluang kerjaya dalam bidang berkaitan sukan lumba pada masa depan," ujar Leona yang ditemui Kosmo! di Litar Sepang.

Berbintangkan Leo, dia yang meminati raja drifting, Keiichi Tsuchiya dari Jepun dan Kimi Raikkonen dari F1 kini memberi penumpuan 100 peratus semasa latihan dan semakin bijak mengimbangkan tekanan minyak dan brek. Pernah beberapa kali, keretanya berpusing pada hari hujan tetapi bernasib baik kerana tidak ada kereta yang lalu ketika itu.


BAHAGIAN dalaman kereta lumba Red Bull.


"Kereta lumba sangat ringan kerana kerusi belakang dan sebelah dicabut keluar dan diubahsuai untuk pemanduan laju. Kalau saya rasa ada sesuatu yang tidak kena dengan pemanduan, saya segera memberitahu ketua tenaga pengajar, Kenvin untuk pemeriksaan," tambahnya yang merupakan peserta termuda dalam kumpulan Red Bull.

Kenvin Low Chin Ooi dari Asia Advanced Driving Academy (AADA) mengajar wanita-wanita ini sejak Januari lalu dan setakat ini, mereka telah menghadiri kira-kira 10 sesi latihan di Litar Sepang. Dalam tempoh tiga jam setiap sesi, Kenvin memastikan pelumba-pelumba wanita ini memahirkan diri menukar gear, teknik membelok di selekoh litar lumba dan sebagainya.

"Mereka menunjukkan perkembangan yang baik, sabar dan patuh pada arahan. Cuma, mereka masih belum cukup agresif dan perlu tingkatkan aspek itu."


LEONA memeriksa keadaan tayar kereta lumba.


Bagi Puteri dan Norbaizura pula, peluang ini dianggap sebagai satu penghargaan yang diberi kepada wanita. "Wanita tidak perlu takut kerana sukan ini bukan didominasi oleh lelaki. Sebagai wanita, kita perlu memaparkan kemampuan masing-masing ke tahap maksimum," ujarnya yang berjiwa aktiviti lasak seperti gemar menyelam skuba.

Meskipun ibunya melahirkan rasa kebimbangan, namun Norbaizura atau Zura percaya penglibatannya dalam MME akan memberi kepuasan yang berbaloi.


RED BULL memperkenalkan barisan pelumba wanita yang terdiri daripada wanita biasa tanpa pengalaman berlumba profesional bagi menyahut cabaran MME pada bulan Ogos ini.


Puteri pula yang giat dalam lakonan teater seperti Bukit Kepong, Bawang Merah Bawang Putih dan Raden Galoh sewaktu remaja, tidak menyesal dan merungut apabila terpaksa 'berurusan' dengan keadaan kereta yang panas tanpa penghawa dingin. Dia mendekatkan diri dengan dunia pemotoran setelah berpeluang menaiki kereta drifting yang dibawa oleh pemandu pujaan ramai, Keiichi Tsuchiya beberapa tahun lalu di Malaysia.

"Seluruh keluarga saya memberi sokongan termasuk abang dan adik lelaki. Selagi ia tidak menjejaskan kesihatan dan kerjaya, saya tetap berlumba untuk pencapaian peribadi," katanya.