Insomnia penyakit moden

Insomnia yang meragut waktu tidur masyarakat moden bukan sahaja menjejaskan kesihatan fizikal dan mental penghidapnya, malah turut mendorong keinginan penghidap untuk membunuh diri. Wartawan YEO LI SHIAN merungkai permasalahan ini.




MANUSIA pada lumrahnya menghabiskan sekurang-kurangnya satu pertiga daripada kehidupan ini untuk tidur. Malangnya, kini dalam kecanggihan dunia digital dan kesibukan gaya hidup moden, kenyataan itu mungkin tidak lagi relevan.

Modenisasi yang sepatutnya memberi transisi positif kepada kehidupan manusia bagaimanapun telah 'meragut' waktu tidur kita. Jangankan memiliki rutin tidur tetap, memperoleh tidur yang berkualiti pun payah! Semua ini benar, lebih-lebih lagi jika anda seorang warga kota.

Apa tidaknya dengan waktu kerja yang meleret-leret, pertukaran syif dan peningkatan tekanan emosi yang tidak bernoktah sama ada berkisar tentang hubungan peribadi, konflik keluarga mahupun soal kewangan.

Hasil daripada ini, manusia tidak lagi dapat mengecap nikmat tidur secukupnya. Malah, pakar-pakar kesihatan menganggarkan kira-kira 10 hingga 35 peratus daripada jumlah sesebuah populasi umum adalah penghidap insomnia. Namun, persoalannya ialah bilakah kali terakhir anda mendapat tidur malam yang berkualiti?

Berasal dari perkataan Latin, 'no somnus' yang membawa maksud 'tidak boleh tidur', insomnia bukan lagi fenomena baru dalam kalangan masyarakat negara maju seperti Jepun, Amerika Syarikat (AS) dan Britain.

Berdasarkan laporan Institut Kesihatan Kebangsaan AS, lebih daripada 70 juta warga negara tersebut adalah penghidap insomnia.

Satu tinjauan oleh Yayasan Tidur Kebangsaan Britain baru-baru ini pula mendedahkan kira-kira dua pertiga daripada keseluruhan populasi orang dewasa di negara itu mengalami masalah tidur selama beberapa hari dalam seminggu. Kadar kelaziman insomnia dalam kalangan tenaga pekerja di Jepun juga dikatakan hampir menyamai populasi umum masyarakat AS dan Eropah.


DALAM sesetengah kes serius, pesakit insomnia mungkin mengambil jalan pintas dengan membunuh diri. - Gambar hiasan.


Melihat senario ini, mungkin ramai yang tertanya-tanya bagaimana pula situasinya di negara membangun seperti Malaysia? Dalam konteks negara kita, insomnia kini menjadi penyakit moden yang serius menyerang golongan muda. Lebih membimbangkan, satu dalam setiap tiga warga Malaysia dilaporkan mengalami masalah tidur.

Pengerusi Bahagian Psikiatri Swasta, Persatuan Psikiatri Malaysia, Dr. Nor Hamidah Mohd. Salleh yang ditemui Kosmo! baru-baru ini berkata, insomnia yang berlanjutan bukan sahaja memberi impak negatif kepada produktiviti dan fungsi kognitif manusia. Malah, ia juga menjejaskan kesihatan fizikal dan mental penghidapnya sehingga menjurus kepada keinginan membunuh diri.

"Orang perlu faham bahawa insomnia bukan perkara remeh. Ia boleh menjadi simptom kepada sesuatu kesakitan mental atau fizikal yang tersembunyi. Malangnya, sebilangan besar penghidap hanya berjumpa doktor selepas masalahnya bertambah teruk.

"Misalnya, dalam satu kes, seorang pesakit muda mengambil keputusan membunuh diri kerana tertekan dan murung akibat mengalami insomnia sejak sekian lama. Bagi situasi seperti ini, pesakit dikaburi oleh kesukaran untuk tidur biarpun telah mencuba pelbagai kaedah. Tetapi, nasib baik, dia berjaya diselamatkan," katanya yang juga pakar perunding psikiatri di Pusat Perubatan Gleneagles Intan, Kuala Lumpur.

Menurut Dr. Nor Hamidah, biarpun insomnia adalah masalah universal yang boleh melanda sesiapa sahaja, golongan muda dilihat lebih lemah dalam pengurusan disiplin waktu tidur. Di manakah silapnya dan mengapa ini berlaku?

"Tidur adalah satu keperluan biologi. Tetapi, masalah insomnia meningkat seiring dengan kemajuan sesebuah negara. Inilah harga yang perlu dibayar. Namun, adakah ini bermakna kita sudah tiada hak kawalan ke atas jam biologi kita?

"Tengok sahaja gelagat orang muda kita. Ramai yang suka tidur lewat. Telefon bimbit dibiarkan beroperasi 24 jam dan kerja sampai lewat malam. Makan malam pula sekitar pukul 9 atau 10 malam serta suka bersembang kosong di kedai mamak. Tanya diri sendiri, bagaimana nak pulihkan jam biologi kalau tidak ubah sikap terlebih dahulu?" ujarnya.


DR. MOHAMAD HUSSAIN HABIL


Satu tinjauan yang mengkaji tabiat tidur dalam kalangan penduduk dunia oleh syarikat perabot terkemuka, IKEA menerusi Gallup International pada tahun 2005 mendapati, rakyat Malaysia merupakan kelompok masyarakat dunia yang menikmati waktu tidur paling sedikit dengan purata hanya 6.6 jam sehari.

Walaupun setiap individu mempunyai keperluan biologi berbeza iaitu pada purata enam hingga lapan jam sehari, masalah kurang tidur telah terbukti mengundang bahana seperti melakukan pelbagai kesilapan bekerja dan risiko mendapat kemalangan.

Contoh terdekat termasuklah kes-kes kemalangan jalan raya yang melibatkan pemandu-pemandu bas mengantuk sewaktu menjalankan tugas.

Pola harian secara naturalnya telah menyediakan tubuh untuk berehat pada sebelah malam manakala aktif di siang hari. Namun, bagi orang yang gila bekerja atau pekerja mengikut syif, konsistensi waktu tidur telah terganggu.

Ketua Jabatan Perubatan Psikologi, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Profesor Dr. Mohamad Hussain Habil ketika dihubungi Kosmo! mengakui golongan pekerja mengikut syif terdedah kepada risiko mendapat insomnia tertinggi meskipun belum terdapat data tempatan yang mengkhusus tentang topik ini. Antara golongan pekerja mengikut syif termasuk jururawat, pekerja kilang, pengawal keselamatan dan juruterbang.

"Tidur malam paling berharga kerana ia waktu terbaik 'mengecaj semula tubuh' selepas sehari suntuk bekerja. Itu sebabnya rutin tidur tidak boleh diganggu. Biarpun jika anda hanya tidur tepat tengah malam dan bangun seawal pukul 7 pagi setiap hari, itu sudah cukup ideal.


MASALAH insomnia meningkat seiring dengan kemajuan sesebuah negara.


"Keperluan tidur setiap orang berbeza. Ada yang perlukan tidur berjam-jam, selebihnya pula mungkin hanya perlu tidur selama empat jam tetapi tetap segar dan memiliki konsentrasi yang baik. Ini masih dianggap tidur yang berkualiti," jelasnya.

Gangguan pada kitaran tidur akibat bekerja mengikut syif sekali gus mempengaruhi keupayaan fisiologi tubuh manusia.

Jelas Dr. Hussain, tubuh bertindak balas terhadap kegelapan atau waktu malam dengan membebaskan sejenis hormon, melatonin agar kita menjadi penat dan ingin tidur.

Namun, bagi mereka yang tidur lewat atau bekerja pada syif malam, tubuh mungkin mendapat isyarat salah bahawa ia masih siang hari sekali gus meningkatkan paras hormon siang iaitu kortisol. Apabila kita akhirnya masuk tidur, melatonin mungkin tidak lagi sempat menjalankan tugasnya sebelum fajar menyinsing.

Para saintis percaya melatonin merupakan sejenis antioksida yang hebat. Selain mampu bertindak dalam persekitaran berair atau berlemak, peranan primer melatonin pada waktu malam adalah menyerap semua radikal bebas sebelum ia merosakkan tisu-tisu lain di dalam tubuh. Penjelasan ini agaknya sudah cukup menerangkan mengapa bekerja mengikut syif malam boleh mengundang bahana kepada kesihatan.

Selain tekanan, pengaruh atau ketagihan terhadap dadah dan alkohol, ada kalanya juga ia dikaitkan dengan kesukaran untuk tidur.

Beliau yang juga Presiden, Persatuan Permasalahan Tidur Malaysia (SDSM) berkata, meskipun simptom-simptom awal penghidap insomnia boleh dilihat, bukan semua pesakit menunjukkan tanda.

"Simptom-simptom umum termasuk sentiasa kelihatan letih, kusut, mudah naik angin, sukar memberi fokus, mudah sensitif atau terdapat lingkaran mata gelap. Anda akan terkejut jika terdapat pesakit yang datang kepada saya nampak normal sahaja.


DR. NOR HAMIDAH MOHD SALLEH menerangkan bagaimana insomnia boleh menjejaskan kesihatan mental seseorang.


"Jika diamati, pesakit mungkin kemurungan atau mengalami gangguan kesakitan kronik," tambahnya.

Oleh kerana insomnia zaman moden bukan lagi satu jenaka, Dr. Hussain menyarankan agar pesakit tidak melengahkan peluang mendapat rawatan sebaik-baiknya selepas dua minggu berturut-turut dibelenggu masalah tidur.

Dr. Hussain bagaimanapun tidak menggalakkan penghidap insomnia mengamalkan tabiat 'mengubat diri sendiri' menerusi pengambilan pil tidur.

"Apa yang lebih praktikal ialah pesakit perlu berusaha mengubah sleep hygiene atau tabiat tidur yang lebih baik bagi mengatasi insomnia ini," katanya.