Kurang zat punca kematian

Di Afghanistan, kira-kira 1,600 wanita meninggal dunia akibat komplikasi daripada setiap 100,000 kes bersalin secara normal. Kadar ini adalah antara yang terburuk di dunia.


lima wanita Afghanistan menunggu giliran untuk menjalani pemeriksaan doktor di sebuah klinik di Eshkashem.


APA yang dimakan oleh Gada Mohammad pada tengah hari itu sama dengan kebanyakan sajian penduduk miskin lain di utara Afghanistan iaitu roti kering bersama teh.

"Kami hidup dengan mengumpul dan menjual herba ini," kata Mohammad, lelaki berusia 45 tahun yang merupakan bapa kepada empat orang anak sambil menunjukkan selonggok akar di lantai bilik yang hitam akibat asap.

Badakhshan, bersempadan dengan Tajikistan di sebelah utara. Jauh daripada pertempuran pemberontakan Taliban di selatan tetapi masih merupakan salah satu wilayah Afghanistan yang termiskin.

Mereka yang hidup dalam keadaan lebih teruk tinggal di kawasan pergunungan di mana salji akan turun selama enam bulan dalam setahun.

Di daerah-daerah yang jauh seperti Raghistan, Kohistan dan Darwaz, terdapat sedikit kawasan subur dan penduduk di situ hidup dengan memakan mulberi dan makanan liar lain, kata pekerja bantuan.

Mereka memelihara beberapa ekor kambing, bebiri dan lembu untuk makanan dan produk tenusu tetapi apabila musim sejuk tiba, keadaan teruk akan melanda.

"Pemakanan yang tidak seimbang sangat serius. Mereka tidak memakan buah-buahan atau sayuran. Adalah sukar untuk mereka menikmati makanan normal seperti roti," kata Rona Azamyan, koordinator Program Pendidikan Perbidanan di Faizabad, bandar utama di Badakhshan.

Disebabkan malnutrisi, kebanyakan wanita meninggal dunia semasa bersalin dan kebanyakan kanak-kanak gagal melepasi usia lima tahun untuk terus hidup.

Di Afghanistan, kira-kira 1,600 wanita meninggal dunia akibat komplikasi daripada setiap 100,000 kes bersalin secara normal. Kadar ini adalah antara yang terburuk di dunia.


lima wanita Afghanistan menunggu giliran untuk menjalani pemeriksaan doktor di sebuah klinik di Eshkashem.


Dalam setiap 1,000 bayi yang baru dilahirkan, sebanyak 128 tidak akan hidup melampaui usia setahun.

Malnutrisi menyebabkan anemia dan secara umumnya, tahap kesihatan yang teruk, menyebabkan manusia mudah terdedah terhadap jangkitan dan penyakit seperti tuberkulosis.

Kanak-kanak yang tidak cukup zat besar kemungkinan akan mengalami pertumbuhan yang terbantut.

Di Afghanistan, golongan wanita lebih cenderung mengalami malnutrisi dalam keluarganya kerana faktor kemiskinan dan kurangnya pengetahuan.

"Dalam budaya kami, wanita lebih cenderung memberikan makanan yang baik seperti daging, telur, keju dan produk tenusu lain kepada suami, kemudian anak lelaki dan diikuti anak perempuan sebelum mereka menjamahnya," kata Karima Mayar, ketua pasukan unit perancangan keluarga di Kementerian Kesihatan Awam.

"Oleh yang demikian, golongan wanita lebih kerap mengalami anemia dan melahirkan bayi yang anemia, berat badan yang rendah dan kekurangan nutrisi. Selain itu, bayi juga lebih cenderung membentuk spina bifida," katanya sambil merujuk satu keadaan di mana saraf tunjang tidak terbentuk dengan sempurna dan menyebabkan kelumpuhan jika tidak dirawat.

Asid folik yang didapati dalam kekacang kering, sayuran hijau dan buah membantu mengelakkan perkara ini.


seorang kanak-kanak ditimbang beratnya di sebuah klinik di Eshkashem.


"Atas sebab ini, kami cuba mendidik golongan lelaki. Kami memberitahu mereka bahawa si isteri perlu memakan makanan yang mencukupi seperti sayur-sayuran, telur, yogurt, kekacang, daging dan iodin," kata Mayar sambil menambah kekurangan iodin merupakan isu yang serius di wilayah-wilayah utara. Ia menyebabkan penyakit goiter, masalah penglihatan dan kulit.

Kumpulan-kumpulan bantuan sedang mengedarkan bahan makanan penting ke bahagian-bahagian termiskin di Badakhshan, sementara kakitangan kesihatan kerajaan cuba untuk mendidik orang ramai mengenai zat makanan.

"Kami tidak menemui sebarang buah-buahan atau sayuran, dan orang ramai kekurangan vitamin yang diperlukan.

"Kami mahu mendidik masyarakat tentang zat makanan," kata Abdi Mohammad, ketua klinik kerajaan di Eshkashem, utara Badakhshan.

Badakshan dibantu oleh banyak organisasi bantuan dunia tetapi strategi pembangunan jangka masa panjang dan jalan penyelesaian diperlukan untuk membantu mengubah cara hidup masyarakat dan bagaimana mereka mendapatkan sumber pendapatan.

"Ya, kami menyelamatkan nyawa, mengelakkan mereka daripada meninggal dunia, tetapi untuk berapa lama kami mampu lakukannya?" tanya seorang pakar bantuan yang enggan dikenali.

"Ia adalah masalah akar umbi, keadaan makanan yang tidak terjamin tidak ada kaitan dengan malapetaka jangka pendek. Jalan penyelesaiannya ialah membawa pembangunan, projek mapan jangka panjang, memperbaiki pengairan, haiwan ternakan dan memperkenalkan tanaman yang memberikan pulangan yang tinggi,"ujarnya. - Reuters