Aznil cari selebriti cilik




SELEPAS 'tugas rasminya' mengacarakan pentas Akademi Fantasia (AF) diserahkan pula kepada AC Mizal, masa terbuka untuk Aznil meneruskan kecintaannya terhadap skop pengacaraan yang berbeza.

Bukan kemilau pentas glamor seperti AF yang menjadi fokus Aznil ketika ini, selain program Kring-Kring dan Macam-Macam Aznil, fokusnya sekarang adalah program kanak-kanak Tom Tom Bak yang kini masuk tahun ke-2.

"Saya ingin lahirkan ramai lagi kanak-kanak seperti adik Haziq, (selebriti cilik yang menjadi artis tetap menerusi program Tom Tom Bak). Sebenarnya ramai lagi kanak-kanak di luar sana yang berbakat, merekalah fokus saya sekarang," kata Aznil yang baru sahaja menghabiskan sesi uji bakat program hiburan kanak-kanak Tom Tom Bak yang bermula sejak 26 April dan berakhir pada 11 Mei lalu.

Selepas empat lokasi termasuk di Kota Kinabalu, Sabah, Kuching (Sarawak), Pulau Pinang dan Pusat Pelancongan Malaysia, Kuala Lumpur (MTC), uji bakat Tom Tom Bak kendalian Aznil telah dibanjiri lebih 3000 kanak-kanak.

Rata-rata datang dengan bakat yang bervariasi. Ada yang mahu menyertai segmen nyanyian, lakonan, miming lagu ataupun jom borak. Pendek kata, bermacam ragam kanak-kanak sudah disaksikan Aznil sepanjang uji bakat kali ini.

Lebih penting lagi katanya: "Paling saya kagum adalah kesanggupan ibu-bapa yang meluangkan banyak masa demi anak-anak mereka. Bukan bakat yang menjadi ukuran segelintir mereka, tetapi bagaimana ibu-bapa menjadikan Tom Tom Bak sebagai salah-satu cara untuk menunjukkan kepercayaan mereka terhadap kebolehan si anak."

"Ada juga yang datang ke sesi uji bakat ini semata-mata kerana nak bawa anak-anak jumpa Aznil. Ini yang bagus, kerana di situ keyakinan diri anak-anak akan terserlah. Ada juga ibu-bapa yang bawa 'anak istimewa' mereka untuk di uji bakat," tambah Aznil ketika ditemui pada sesi uji bakat Tom Tom Bak di MTC, baru-baru ini.


AZNIL senang dengan kepetahan dua beradik, Haziq dan Alisha Hana.


Bukan mahu berbangga setidak-tidaknya penglibatan jenama susu, Anmun Assential sebagai penaja utama Tom Tom Bak musim kedua cukup membuktikan penerimaan masyarakat terhadap kreativiti program berkenaan. Kerana itulah, untuk musim baru ini, program ini dikenali sebagai Anmum Assential Tom Tom Bak.

Walaupun berbentuk hiburan, program ini memberi rangsangan terhadap kreativiti kanak-kanak, cara mereka bercakap dan berhubung. Itu yang menarik perhatian Anmum kerana slogan mereka juga terhadap perkembangan otak kanak-kanak.

"Bagi saya, ini petanda yang cukup bagus. Bagaimana program kanak-kanak yang asalnya bermula dengan satu slot dalam Macam-Macam Aznil, kini boleh saya kembangkan menjadi satu program khusus dan mendapat tempat di hati ramai.

"Dulu ramai orang kata, kanak-kanak Malaysia tidak sepetah atau sebijak kanak-kanak di luar negara khususnya ketika berdepan kamera. Saya mahu membuktikan perkara itu sudah berubah. Saya mahu rancangan ini jadi medan dan buka ruang kepada kanak-kanak untuk menonjolkan kreativiti mereka," kata Aznil. Pengacara popular ini optimis mahu Tom Tom Bak yang disiarkan di saluran Ceria Astro ini, bukan sekadar pengisi permintaan stesen tetapi lebih kepada tanggungjawabnya menjana minda kreatif di kalangan kanak-kanak.

Menyentuh mengenai adik Haziq atau nama penuhnya Muhamad Haziq Hazem, 8, Aznil tidak teragak-agak untuk mengekalkan kanak-kanak kreatif itu menerusi Tom Tom Bak musim akan datang.

"Dia dah besar, dulu dia kecil lagi. Melihat kepada bakatnya, saya rasa dia patut ada rancangan sendiri. Tapi buat masa ini, dia akan tetap bersama saya dalam Tom Tom Bak, begitu juga dengan adiknya, Alisha Hana, 5. Kanak-kanak macam mereka yang saya cari. Saya tanya sepatah, tapi mereka balas panjang lebar," jelas Aznil yang kelihatan ceria walaupun bersengkang-mata melayan bakat-bakat cilik yang datang kepadanya.

Hasil kreativiti Aznil yang menghidupkan Tom Tom Bak, rancangan kanak-kanak itu kini antara tiga buah program saluran Ceria yang telah dibawa masuk ke Indonesia selain Gerak-Geri Gasing dan Afi dan Abah.

"Di Indonesia judul Tom Tom Bak ditukarkan kepada Hom Pim Pa mengikut kesesuaian penonton di sana. Yang jelas, format rancangan kanak-kanak Malaysia kini sudah mula ditiru oleh pihak luar," jelas Pengurus saluran Astro Ceria, Azlin Azmin yang bersama-sama dengan Aznil mengendalikan uji bakat Tom Tom Bak.

Tom Tom Bak musim baru dijangka akan ke udara menjelang 13 Julai nanti, setiap Ahad pukul 12.30 tengah hari di saluran Astro Ceria.