Nassier Wahab dipindah ke ICU


NASSIER sempat menceritakan detik cemas sewaktu rumahnya terbakar sebelum dipindahkan ke ICU semalam.


SUBANG JAYA - Penyanyi terkenal, Nassier Wahab, 46, yang dimasukkan ke hospital yang cedera pada tangan dan tapak kaki ekoran kebakaran di rumahnya kelmarin dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) petang semalam.

Pengurus peribadinya, Ralif Salim memberitahu, penyanyi itu dipindahkan ke ICU berikutan keadaan kesihatannya yang tidak begitu baik.

"Difahamkan paru-paru abang Nassier dijangkiti kuman selepas terhidu asap kebakaran semasa kejadian,'' katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Katanya, setakat ini penyanyi itu masih belum keluar dari ICU dan masih menerima rawatan rapi dari doktor di Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC).

Ujar Ralif, dia juga tidak sangka kejadian kebakaran itu menyebabkan Nassier menghadapi kecederaan serius di bahagian badan lain selain kecederaan pada kedua-dua belah tangan dan tapak kaki.

"Malam tadi (kelmarin) keadaannya lesu dan pucat tetapi saya tidak sangka abang Nassier dipindahkan ke ICU,'' katanya lagi.

Difahamkan, Nassier masih boleh berkomunikasi dengan menggunakan isyarat mata apabila ada tetamu yang mengunjunginya di ICU.

Tambah Ralif, Nassier tidak dapat menghadiri sebarang undangan nyanyian yang telah diatur.

Semalam akhbar melaporkan penyanyi itu disambar api pada tangannya manakala kedua-dua kakinya luka akibat terpijak percikan api ketika cuba membetulkan suis utama rumahnya di USJ yang terpadam ketika sedang menonton televisyen.

Semasa kejadian, isterinya, Fatimah Abd. Rauf, 45, dan anaknya, Intan Najihah, 11, tiada di rumah.