Nassier cadang pindah rumah


FATIMAH dan Intan melawat Nassier yang dipindahkan ke wad biasa di Pusat Perubatan Subang Jaya petang semalam.


SUBANG JAYA - "Saya serik dengan tiga kejadian kebakaran yang berlaku di rumah dan berhasrat untuk pindah, tetapi banyak perkara perlu diambil kira."

Begitulah luahan hati penyanyi terkenal, Nassier Wahab, 46, yang dimasukkan ke Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) selepas cedera ekoran kebakaran di rumahnya Selasa lalu.

Nassier yang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) petang kelmarin bagaimanapun dipindahkan ke wad biasa pukul 4 petang semalam.

Menurut Nassier, kejadian pertama berlaku tahun lepas apabila lampu di bahagian bilik rumahnya di USJ yang telah didiaminya sejak 10 tahun itu terbakar, tetapi tidak serius.

"Kejadian kedua awal April lalu bila suis utama terbakar, tetapi api tak sempat nak merebak kerana suis itu jatuh dalam pasu berair yang berada di bawah..

"Dalam kedua-dua kejadian tersebut, kami sekeluarga tiada di rumah sehingga kejadian kebakaran Selasa lalu yang menyebabkan saya melecur di kedua belah tangan dan kaki," katanya.

Kejadian itu juga menyebabkan Nassier terpaksa membatalkan beberapa acara hiburan yang diterimanya sepanjang minggu ini.

Sementara itu isteri Nassier, Fatimah Abd. Rauf, 45, memberitahu, dia sekeluarga bersyukur kerana tahap kesihatan suaminya itu semakin pulih.

"Dia (Nassier) ada menghidap asma sebab itulah keadaannya bertambah teruk selepas terhidu asap sehingga terpaksa dimasukkan ke ICU, tetapi dia mungkin dibenarkan keluar beberapa hari lagi bergantung kepada kesihatannya," katanya.

Akhbar sebelum ini melaporkan, penyanyi itu disambar api pada tangannya, manakala kedua-dua kakinya luka akibat terpijak percikan api ketika cuba membetulkan suis utama rumahnya yang terpadam ketika sedang menonton televisyen.

Semasa kejadian, isterinya serta anaknya Intan Najihah, 11, tiada di rumah.