Anak hanyut dalam gelap


WANITA yang mendukung anak kecil ini merupakan antara ribuan mangsa yang pilu melihat sambil melihat sisa kediaman mereka dimusnahkan ribut.



KETIKA pihak berkuasa Myanmar bertungkus lumus menyelamat dan menghitung mayat lebih 100,000 rakyatnya yang terkorban akibat dibadai Taufan Nargis yang berkelajuan 190 kilometer sejam baru-baru ini, segelintir penduduk di Sabah sudah terlebih dahulu merasai betapa dahsyatnya kesan dilanda ribut.

Peristiwa awal pagi 26 Disember 1996 itu di luar jangkaan sama sekali. Ribut Greg yang sudah pun berlalu di barat laut perairan Sabah, tiba-tiba berpatah balik selepas bertembung dengan Taufan Fern berdekatan Kepulauan Filipina.

Biarpun ribut tropika itu hanya berkelajuan 50 kilometer sejam, ia bukan saja memusnahkan beratus-ratus kediaman malah menyebabkan banjir besar khususnya di daerah Kota Kinabalu, Tuaran, Papar dan Keningau.

Tanda ingatan tragedi itu cukup memilukan. Seramai 238 orang terkorban dan kira-kira 7,600 penduduk hilang tempat berteduh.

Mangsa bukan sahaja dipalit dengan kedukaan kehilangan orang tersayang bahkan kerugian akibat bencana itu mencecah lebih RM100 juta.

Namun dalam setiap malapetaka, wang ringgit dan harta sebenarnya bagaikan tidak bernilai berbanding nyawa.

Walaupun cuma tiga jam melanda, ribut Greg telah membawa kesengsaraan yang besar bagi mereka yang masih hidup.

Kejadian itu menyebabkan beberapa kawasan landaan ribut berubah pemandangannya bak padang jarak padang tekukur.


BANJIR besar pada penghujung Disember tahun 1996 itu meranapkan banyak petempatan di sekitar Kota Kinabalu, Tuaran, Papar dan Keningau.


Kebanyakan mangsa ditemui di dalam lumpur dan runtuhan bangunan oleh anggota penyelamat yang terdiri daripada Pasukan Polis Hutan (kini Pasukan Gerak Am), Polis Marin, Rejimen Askar Melayu Diraja, pengakap sempadan dan Pasukan Khas Mencari dan Menyelamat (Smart) serta penduduk sekitar.

Empat batang sungai utama iaitu Sungai Bayoyo, Pampang, Sinagang dan Liawan turut menjadi saksi kepada peristiwa menyayat hati itu.

Ketua Kampung Kampung Limbawan, Rosdee Razalee memberitahu, peristiwa ngeri itu biarpun sudah berlalu, ia masih menghantui penduduk selama beberapa bulan berikutnya.

"Dalam tempoh tiga bulan selepas bencana, penduduk tidak dapat tidur selesa kerana bau busuk mayat yang tertimbus di dalam lumpur. Malah pada malam tertentu seakan-akan ada suara orang menjerit meminta tolong," akui Rosdee.

Bagi Abdul Rajab, salah seorang mangsa yang terselamat dalam amukan ribut itu, beliau kehilangan 19 ahli keluarganya.

"Ketika kejadian pukul empat pagi itu, semua ahli keluarga sedang tidur. Saya terjaga semasa hujan lebat," katanya.

Ujarnya lagi, dalam sekelip mata, rumah saya senget dan air tiba-tiba naik secara mendadak. Angin pula bertiup kencang.

"Saya cuba menyelamatkan anak-anak yang menangis di ruang tamu yang terkejut dan ketakutan. Malangnya ketika itu jugalah rumah saya roboh," katanya.

Sambil menitiskan air mata, Abdul Rajab menceritakan dia sempat meloloskan diri melalui tingkap yang separuh tenggelam itu. Dalam tempoh beberapa minit, dia sudah tidak melihat lagi rumahnya.

"Suara tangisan anak-anak hilang dibawa arus Sungai Liawan," katanya.


ORANG ramai turut membantu pasukan penyelamat mencari mayat yang banyak tertimbus di dalam lumpur dan di bawah runtuhan bangunan.


Seorang lagi mangsa yang terselamat, Petrus Ali Papu, 40, berkata dia kehilangan isterinya, Esther Pulung, 28, dan anak lelakinya, Peter, empat bulan serta lima sepupu selepas rumah mereka dihanyutkan air.

Ketika kejadian beliau sempat berenang dengan seorang anak lelakinya, Penney, 13, dengan berpaut pada sebatang pokok tumbang.

"Saya tidak sempat menyelamatkan isteri dan anak-anak lain kerana ia berlaku sangat pantas dan saya panik... tak tahu apa yang perlu dibuat... tiba-tiba isteri dan anak saya hilang dari pandangan..," katanya sayu.




Hampir semua mayat mangsa ditemui dalam keadaan menyedihkan. Ada yang terbenam di dalam timbunan tanah, lumpur dan pasir sedalam dua meter, ditemui di bawah timbunan batu dan kayu, dan ada ibu yang masih memeluk bayinya. Malah ada mangsa yang ditemui hanyut hingga ke Sungai Pegalan, anak Sungai Pampang, 50 kilometer dari Keningau.