Norhisham lega kemelut berakhir


NORHISHAM (kanan) akan menyertai PDRM akhir bulan ini.


LEGA walaupun disingkirkan.

Perasaan itulah yang dirasai bekas pemain Terengganu, Norhisham Hassan selepas menerima keputusan dilepaskan oleh pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT).

"Itulah keputusan yang terbaik untuk kedua-dua belah pihak," ujar Norhisham.

Kosmo! minggu lalu melaporkan Norhisham dan seorang lagi pemain Terengganu, Mohd. Norfarhan Mohamad terkejut dengan berita bahawa mereka bakal dilepaskan PBSNT.

Hasrat untuk bersemuka dengan pihak pengurusan juga tidak dilayan sehinggalah PBSNT mengeluarkan kenyataan menamatkan kontrak kedua-dua pemain itu setelah mereka didakwa berunding untuk menyertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) musim depan.

Kelmarin segala permasalahan telah diselesaikan apabila PBSNT melepaskan Norhisham dan Norfarhan, sekali gus memberi peluang kepada mereka untuk beraksi dengan PDRM.

Biarpun sedih dengan 'penghabisan' cerita itu, namun jelas Norhisham, dia menerima keputusan tersebut dengan hati terbuka.

"Sedih sangat. Enam tahun saya bersama Terengganu, dah banyak pengalaman dikutip dan peristiwa yang saya alami sepanjang tempoh itu.

"Tapi saya boleh terima hakikat yang kami sudah tidak bersama lagi dan fokus saya sekarang untuk pasukan baru, PDRM," ujarnya yang memberitahu akan bersama PDRM akhir bulan ini.

Mengenai kemelut hubungannya dengan PBSNT, Norhisham berkata, dia menganggap segalanya sudah berakhir dan tiada permusuhan antara mereka.

"Kami berbincang cara baik dan keputusan dibuat atas kehendak masing-masing, jadi tidak perlulah dipanjangkan persengketaan ini.

"Saya tiada masalah dengan mereka, malah saya berterima kasih kerana mereka telah membantu menggilap bakat saya dan memberi peluang untuk saya bersama pasukan ini dalam tempoh yang panjang," tambahnya.

Ketika ditanya kemungkinan akan berkhidmat dengan skuad Penyu lagi, Norhisham berkata: "Mungkin tapi bukan sekarang."