Menangkis pesawat asing

Sempena ulang tahun ke-50 penubuhannya, TUDM mengadakan siri jelajah seluruh negara bagi mendekatkan pasukannya kepada orang ramai. Wartawan SUBASHINI RAJANDRA dan jurufoto, ROY AZIS ABD AZIZ melaporkan.




LEWAT kebelakangan ini, peperangan yang meletus di beberapa negara seperti Iraq, Afghanistan dan Lubnan menyaksikan pertempuran hebat di antara pasukan tentera kerajaan negara terlibat melawan musuh atau pemberontak.

Dalam peperangan itu, banyak nyawa melayang termasuk orang awam, wanita dan kanak-kanak.

Melihat senario negara kita, seharusnya kita memanjatkan kesyukuran kerana kita masih bebas daripada sebarang ancaman peperangan.

Namun, itu tidak bermakna pasukan tentera Malaysia leka dan mengambil sikap tidak serius terhadap keperluan melatih dan memahirkan pasukan tentera baik di darat, di lautan mahupun di udara dalam menghadapi sebarang ancaman luar yang muncul tanpa mengenal waktu.




Demikian juga dengan Angkatan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang memikul tanggungjawab besar untuk menjaga keselamatan ruang udara negara. Pasukan ini hakikatnya sentiasa bersiap sedia jika berlaku pergolakan sekali gus memelihara ruang udara negara daripada diceroboh.

Tanpa kita sedari, salah satu cabang pasukan tentera di Malaysia itu kini bakal menginjak usia 50 tahun tidak lagi. Bersempena sambutan ulang tahun jubli emas TUDM pada 1 Jun nanti, tiada apa yang lebih bernilai dan bermakna kepada pasukan tentera itu daripada mempamerkan alat-alat dan model kapal pejuang serta berkongsi pengalaman bersama masyarakat awam.

Sejak Disember tahun lalu, TUDM dan Badan Kesenian Tentera Udara mengadakan pameran bergerak di lima lokasi yang berlainan termasuk Alor Setar, Kedah; Kota Kinabalu, Sabah; Kuching, Sarawak; Ipoh, Perak; Kuantan, Pahang dan akhir sekali di KL Sentral.

Menurut koordinator program yang juga seorang tentera berpangkat Mejar, Zulkiflee Abd. Latiff, katanya penyediaan ruang di KL Sentral merupakan satu penghormatan besar kepada pihak TUDM memandangkan acara sebegini tidak pernah diadakan di sini. Malah, KL Sentral juga menjadi lokasi tumpuan terbaik kerana dalam sehari, ia mampu menerima kunjungan sehingga kira-kira 90,000 orang.


KERUSI lenting semasa pendaratan cemas di dalam pesawat pejuang.


Ini secara tidak langsung membuka peluang kepada orang ramai mendekati dan menghargai pengorbanan angkatan TUDM selama lima dekad. Untuk memeriahkan lagi acara pameran tersebut yang diadakan selama tiga hari berturut-turut sejak 16 Mei lalu, pihak TUDM menganjurkan persembahan tarian seperti tarian lambak, pertunjukan gimnastik dan persembahan TTS atau tempur tanpa senjata.

Lebih daripada 200 tentera terlibat dalam program ini dari seluruh Malaysia dan kesemuanya menampilkan bakat masing-masing tanpa segan dan silu. Meskipun nampak lasak dalam persalinan pakaian seragam, tidak kira wanita atau lelaki, sebaik sahaja naik ke pentas, masing-masing mampu menampilkan sisi 'lembut' mereka.

Dalam pertunjukan TTS pula, seramai 30 orang ahli Pencak Silat TUDM mempamerkan kemahiran mempertahankan diri tanpa senjata, selain menggunakan parang betul. Aktiviti yang paling diminati ialah persembahan gimnastik oleh kumpulan D'Fearless Hawk yang berpakaian serba putih.




Di bawah tunjuk ajar M.S. Balan dari Majlis Kecergasan Kebangsaan (NFC), anak buahnya berjaya menampilkan bakat cemerlang dengan membuat lompatan seperti katak, terbang di udara dengan dua atau tiga orang pelompat pada satu-satu masa.

Pada penghujung persembahan, mereka membentuk satu tugu manusia sambil mengibarkan Jalur Gemilang umpama yang dapat disaksikan di Tugu Negara di Taman Tasik Perdana, Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, ramai pelawat ke pameran tersebut bukan hanya terdiri daripada orang tempatan bahkan warga asing dari India, Arab dan Eropah.

Mereka dibenarkan menyentuh model pesawat MiG-29NC yang menggunakan peluru berpandu untuk mengelak pesawat asing daripada memasuki ruang udara. Di sini juga dipamerkan jenis peluru berpandu jarak dekat dan jauh.

"Skuadron 19 MiG 29 biasanya terlibat dalam operasi memintas dan memusnahkan sasaran," kata Mejar Abd. Rahman Lazim yang menambah terdapat 18 buah pesawat jenis itu. Sambil itu, beliau sempat memperkenalkan beberapa juruterbang yang berpakaian kemas dalam rona biru kepada penulis.




Katanya, terdapat 13 orang juruterbang di bawah skuadron ini dan mereka menjalani latihan sepanjang tahun dengan negara Amerika Syarikat, Singapura, Australia, New Zealand, Eropah dan sebagainya. Latihan ini juga dijalankan di Laut China Selatan dan Butterworth tetapi enggan menjelaskan secara lanjut jenis operasi yang pernah terbabit.

Kapten Nazrul Hafiz Zaini pula dari skuadron 15 menunjukkan beberapa buah bom palsu yang mempunyai berat dan saiz sama seperti bom sebenar tetapi digunakan bagi tujuan latihan. Para pengunjung juga boleh mencuba kerusi lenting dan membeli koleksi model pesawat miniatur yang berharga RM19 hingga RM89 sebuah.

Selain itu, salah sebuah pasukan khas di bawah payung TUDM dikenali sebagai pasukan khas udara (Paskau).

Paskau ditubuhkan pada tahun 1970-an selepas pangkalan TUDM Kuala Lumpur diserang oleh anasir pengganas dari Parti Komunis Malaya. Dengan memasang sepucuk mortar pada lori, serangan itu berjaya memusnahkan sebuah pesawat DHC-4 Caribou.


PIHAK TUDM turut menganjurkan persembahan tarian seperti tarian lambak, pertunjukan gimnastik dan persembahan TTS atau tempur tanpa senjata.


Bagaimanapun, dari segi tugasan dan tanggungjawab, Paskau berbeza dengan pasukan khas tentera darat. Anggotanya terdiri daripada rejimen TUDM yang terpilih bagi mengikuti kursus peperangan khas seperti mencari dan menyelamat tempur CSAR serta penandaan sasaran menggunakan peralatan penanda seperti sinar infra merah atau laser.

Paskau bukan hanya berdepan dengan masalah ancaman pengganas tetapi akan turut dipanggil untuk menangkis pesawat yang telah dirampas, close quarter battle, pembebasan tahanan dan pemusnahan. Mereka juga pakar menembak di mana kepakarannya diasah dari semasa ke semasa dengan pembelian unit pemusnah dan senjata baru.

Kapten Rahmad Lasman yang telah berkhidmat dengan TUDM sejak lapan tahun lalu, merupakan salah seorang ahli dalam kumpulan tersebut. Selain menjalani latihan biasa yang didedahkan kepada tentera, Rahmad juga selama tiga bulan mengikuti latihan khas yang memperkasakan diri dengan taktik mempertahankan diri, mengagalkan ancaman dan pelbagai jenis latihan lain yang tidak dapat dikongsi bersama.




Bagaimanapun, latihan-latihan ini diadakan di dalam dan luar negara serta berkolaborasi dengan skuadron dari Amerika Syarikat, Singapura dan New Zealand.

"Selama tiga bulan, kami akan berlatih beberapa taktik asas di dalam bangunan dan beberapa tempat lain tetapi latihan tambahan akan diadakan pada bila-bila masa untuk meningkatkan lagi pengetahuan dan skil," ujarnya.

Semasa menerangkan kepada khalayak ramai, beliau juga mengenakan baju seragam khas berwarna hitam geliga. Ia nampak seakan-akan seperti baju khas yang dipakai oleh tentera elit yang dipaparkan di kaca televisyen. Dengan topeng muka yang tidak menampakkan wajah dari luar dan bercorong gas, Rahmad menyatakan baju ini bukan sebarangan.

Diperbuat daripada fabrik tahan lama dan mempunyai ciri-ciri keselamatan, satu sut lengkap sahaja bernilai RM25,000. Rahmad juga menambah kerajaan dan angkatan tentera Malaysia memberi lebih banyak tumpuan ke atas keperluan melatih pasukan taktik khas selepas tragedi 11 September.