BUKA TIRAI




STADIUM Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, Terengganu bermandikan percikan bunga api apabila Sukan Malaysia (Sukma) XII 2008 membuka tirainya secara rasmi semalam.

Upacara perasmian pembukaan Sukma XII telah disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dengan disaksikan lebih 50,000 penonton.

Aturcara perasmian bermula dengan persembahan pembukaan selamat datang dan seterusnya perarakan masuk kontinjen dari negeri-negeri yang bertanding termasuk kontinjen undangan, Brunei.

Kemuncak acara perasmian semalam ialah titah pengisytiharan perasmian Sukma XII oleh Tuanku Mizan.

Ia disusuli dengan gimik pelancaran perasmian penuh simbolik dengan kehadiran 15 pemanah yang melakukan panahan ke satu sudut sebelum berlakunya percikan bunga api.

Serentak itu, kerang gergasi yang direka khas terbuka dengan kilauan bercahaya sebagai menggantikan upacara nyalaan obor.

Majlis diteruskan dengan upacara menaikkan bendera Sukma sebelum ikrar temasya dilaungkan oleh jaguh lumba basikal negara kelahiran Terengganu, Azizulhasni Awang.

Temasya Sukma XII di Terengganu tahun ini dianggap yang terbesar dalam sejarah penganjuran sejak edisi pertama tahun 1986 di Kuala Lumpur.

Pada temasya kali ini, seramai 7,316 atlet dari 15 kontinjen bertanding bagi memburu 404 pingat emas, 404 perak dan 505 pingat gangsa yang ditawarkan.

Perak muncul negeri yang menghantar jumlah teramai iaitu 523 atlet diikuti Selangor (510) dan Wilayah Persekutuan (509).

Selain menyaksikan penyertaan paling ramai dari kalangan atlet, Sukma edisi ke-12 ini juga mempertaruhkan sebanyak 34 jenis sukan termasuk tiga acara demonstrasi iaitu Formula Future, silambam dan kabaddi.

Selain itu, temasya yang berlangsung hingga 9 Jun ini turut mempertandingkan dua acara baru iaitu ekuestrian dan petanque selain memperkenalkan semula acara kenu.

Acara pada temasya kali ini dilangsungkan di semua tujuh daerah di Terengganu iaitu Kuala Terengganu, Hulu Terengganu, Marang, Besut, Dungun, Setiu dan Kemaman.