Tidak benci lelaki


MAHU meraih cinta baru secara senyap-senyap.


DUA tahun bersama, perpisahan Jue Aziz dan Jehan Miskin menimbulkan pelbagai tanda tanya dan kejutan. Sebagai pihak luar, kita menghormati keputusan mereka dan tidak mahu lagi mengungkit atau bertanya sebab perpisahan mereka.

Setelah lebih dua bulan kembali solo, Jue yang ditemui baru-baru ini mengaku bahawa dia ada kalanya masih merindui bekas kekasihnya itu. Namun, jangan salah faham kerana dia cuma rindukan saat-saat mereka bersama dulu.

“Sudah lama berteman, kadang-kadang saya rindu juga. Namun, kini saya menganggap dia sebagai kawan dalam industri sahaja. Kita tidak pernah terserempak selepas itu.

“Hakikatnya, kami berdua masih memerlukan ruang dan masa bersendirian,” kata Jue yang ditemui semasa majlis pratonton drama Jangan Main Belakang.

Sepatutnya dijadualkan berlakon bersama Jehan dalam sebuah drama muzikal, gandingan ini tidak akan terlaksana kerana Jue telah menarik diri.


JUE bimbang menaruh harapan kepada orang yang tidak dikenali.


Bukan disebabkan kecil hati ataupun marah, tetapi disebabkan drama ini telah banyak kali ditangguhkan sejak Januari lalu, Jue terpaksa melepaskan watak yang disukainya itu. Lagipun Jue sendiri mempunyai komitmen kerja yang lain.

Apabila ditanya sama ada dia boleh menerima jika disuruh untuk berlakon bersama Jehan pada masa akan datang, Jue dengan senyuman memberitahu, “Jika ada potensi untuk bekerjasama, saya tidak kisah. Saya tidak mahu berdendam. Apa yang sudah berlaku biarlah.”

Lebih selesa solo

Sungguhpun begitu, ini tidak bermaksud Jue sudah bersedia untuk menerima teman hidup baru. Dia ingin mencari calon secara perlahan kerana tidak mahu melakukan kesilapan lagi dan dilukai. Namun, ini tidak bermaksud dia serik ataupun benci kaum lelaki.

“Jika mahu bercinta pada masa akan datang, saya perlu kaji dahulu. Saya rasa sebagai artis kita tidak boleh terlalu jujur (terutamanya kepada pihak media). Kita perlu menjadi hipokrit untuk mendapatkan ruang peribadi.

“Dulu memang saya ingin berkongsi cerita gembira bersama orang ramai tetapi kami tidak 'direstui'. Kami melalui pelbagai tekanan. Lepas ini, saya mahu bercinta secara senyap-senyap dan bila anda semua mendapat tahu, saya sudah kahwin,” kata Jue, 25 tahun.

Mungkin disebabkan luka yang mendalam dan menganggap Jehan sebagai lelaki terakhir dalam hidupnya, Jue memberitahu dia dan Jehan tidak mungkin ada peluang kedua untuk kembali bersama.

“Biarkan saat-saat kami bersama dibukukan dalam memori saya sahaja. Saya mahu menyimpannya sebagai pengalaman kerana masih rasa sakit. Kami tidak mungkin bersama semula,” tegas Jue.




Tidak melihat secara negatif atas perpisahan ini, Jue berasa bertuah kerana meraih sokongan daripada keluarga dan juga peminat untuk mengharungi ujian ini.

Tidak mampu bercerita mengenai hubungan cinta, Jue tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak atas kejadian yang sudah berlalu.

“Nasib baik kami belum bertunang atau berkahwin. Ataupun sudah bercinta lebih lima tahun. Pastinya ketika itu saya lebih perit,” ujarnya.

Lebih selesa bergerak solo tanpa pengurus mahupun pembantu, kehidupan Jue terutamanya aspek kerjayanya kini dijaga oleh telefon bimbitnya. Bukan tidak mahu mendapatkan khidmat orang lain, Jue takut untuk mempercayai orang yang tidak dikenali.

“Sebenarnya saya risau untuk mendapatkan khidmat pengurus atau pembantu kerana perjalanan seni saya sedang meningkat naik. Saya tidak mahu disebabkan mereka, karier saya terganggu.

“Sebagai pengurus, mereka mengetahui banyak rahsia peribadi. Jadi bukan senang untuk mempercayai orang. Oleh itu, saya memilih untuk membuat jadual sendiri,” jelasnya lagi.

Hos Gedik Samba

Memberitahu pengalaman pahit itu telah memberikan dia semangat dalam industri terutamanya untuk berjaya dalam karier, Jue kini tampil lebih matang dan yakin.

“Mungkin perpisahan yang berlaku ada hikmah di sebaliknya. Memang diakui ketika itu saya berasa amat sedih dan kini Tuhan pulangkan dengan rezeki,” tambahnya.

Namun, dia bukan 'sengaja' bekerja keras untuk melupakan duka lepas. Cuma Jue mengakui kehidupan solonya amat bermakna kerana diisi penuh dengan jadual kerja. Rezeki datang melimpah-ruah bukan sahaja untuk bidang lakonan tetapi juga pengacaraan.

Baru menghabiskan rakaman drama bersiri komedi Jangan Main Belakang yang bakal ditayangkan setiap Khamis bermula 5 Jun ini, pukul 6.30 petang di saluran Astro Ria (Astro 104), Jue kini sedang terlibat dengan drama Sebuah Ilusi.

Turut membabitkan diri dalam dua telefilem, Jue turut menerima tawaran untuk berlakon dalam dua buah filem.

Jika tiada aral melintang, dia akan memulakan penggambaran pada sekitar bulan Ogos dan sebuah filem lagi selepas Hari Raya.

Namun, apa yang membuatkan dia berasa seronok adalah tawaran sebagai hos program mengenai gajet, fesyen dan stail remaja terkini, Gedik Samba.

Sungguhpun belum memulakan rakaman, Jue sendiri sudah tidak sabar untuk mencabar dirinya.

“Saya memang suka bidang pengacaraan terutamanya program jenis santai dan selamba. Cuma selama ini rezeki lebih berpihak kepada bidang lakonan. Stesen televisyen sendiri yang menawarkan tugas ini.

“Pada mulanya saya ingat mereka akan gandingkan saya dengan hos lelaki tetapi saya akan bekerjasama dengan Rafidah Ibrahim (juara program Pencarian Siti Nurhaliza Bintang Pantene). Mereka mahukan dua wanita berperwatakan berlainan untuk mendapatkan keseimbangan,” jelasnya lagi.

Masih baru bergelar pelakon, Jue yang mula meraih popular selepas menyertai program realiti Malaysia Most Beautiful berasa bertuah kerana sentiasa diberi peluang untuk mencuba pelbagai watak.

Jika diberi peluang, aktres jelita ini ingin mencuba watak tomboy. Dia tidak kisah jika disuruh untuk menggunting rambutnya atau melakukan perubahan lain untuk menjayakan watak itu.

“Ini satu cabaran kerana muka dan bentuk badan saya agak sukar untuk ditukarkan menjadi tomboy. Lebih-lebih lagi saya yang sentiasa menjayakan watak lebih bersifat kewanitaan. Jadi jika saya mampu mengubah diri dengan perwatakan lelaki tetapi berwajah wanita, ia pasti menyeronokkan,” katanya yang memiliki suara serak-serak basah.