Iktibar daripada kesusahan


BUAH cinta yang menyatukan kasih sayang ND Lala dan Fauziah.



BERKALI-KALI personaliti popular ini bertegas, 'Janganlah gambarkan kami pasangan bahagia, takut apa yang sedang dilalui hari ini tidak sama dengan hari esok.

"Kami sudah lalui bermacam-macam cabaran, rasanya perkara itu sama juga dengan pasangan-pasangan yang lain. Masalah adalah pakaian dalam hidup, kalau asyik pakai yang sama, tentulah bosan," ujar lelaki bernama Amir Hamzah ini optimis.

Sudi berkongsi perihal hidup, lelaki yang dikenali dalam industri sebagai ND Lala ini berkata lagi.

"Saya bukan berada dalam keadaan yang tepat jika anda mahukan nasihat atau rahsia yang menjamin kebahagiaan sesebuah keluarga, tapi kalau diminta untuk berkongsi, itu boleh."


DI WAKTU gadisnya, Fauziah tidak pernah meminati ND Lala, namun, diwaktu hari perkahwinan, kasih yang telah tersemai terserlah.


Mahu tidak mahu, dari gerak-geri dan bahasa yang menyatukan mereka sekeluarga, dalam hati sesiapapun dapat mengagak, langit yang memayungi mereka hari ini sedang tersenyum.

Kereta pernah kena tarikDi bibir dua jiwa ini, senyuman tidak pernah pudar. Kalau boleh mereka ingin berkongsi segala-galanya tentang anak-anak, tentang cinta dan tentang hidup yang sedang diisi dengan benih-benih kebahagiaan.

"Syukurlah, hidup saya lebih baik daripada lima tahun sebelum ini. Ini juga satu fenomena dalam kehidupan saya. Siapalah yang tahu erti hidup saya sebelum ini, saya pernah gagal dalam perniagaan tapi gagal bukan bererti saya buat jenayah. Kita sebenarnya tidak pernah gagal, kita cuma belum berjaya," luah ND Lala mendefinisikan kehidupan yang sedang dilalui bersama isteri dan anak-anak.


FAUZIAH sentiasa di sisi ND Lala ketika susah dan senangnya dan meringankan apa jua ujian yang mendatang.


Si isteri, Fauziah Sarman, 40, tersenyum mengangguk. Sekadar membahasakan dirinya, Kak Zie, wanita ini menyambung bicara.

"Dulu kami pun pernah susah. Kereta kena tarik masa tengah memandu di jalan raya, malunya bukan kepalang. Rasanya, hampir 12 hari saya tak keluar ke laman depan rumah kerana malu dengan jiran-jiran. Kereta yang baru dibeli dua bulan, tiba-tiba hilang. Macam-macam lagi masalah lain.

"Alhamdulillah, sekarang barulah saya tahu, Tuhan beri kami ujian kerana mahu beri kami kesenangan hari ini," ujar Kak Zie perlahan-lahan.

Rasanya, populariti dan nama yang pernah ditempa ND Lala dalam karier seni sejak lebih 20 tahun lalu, sudah diketahui umum. Dia pernah bergelar hero filem, penyanyi dan pengacara yang disegani lawan dan kawan.




Biarpun seni yang menjulang namanya, tapi percaya atau tidak, bisnesnya yang diusahakan hari ini adalah titik kepada keselesaan sebenar yang sedang dinikmati oleh enam beranak ini.

Isteri tulang rusuk suamiHampir 19 tahun melayari bahtera berumahtangga, ND Lala dan Fauziah mengikat cinta dengan empat cahaya mata, Nur Shahila (19 tahun), Amir Syafiq (16), Amir Syahir (13) dan Nur Syuhada (10).

Ditanya, apa yang terus menyatukan mereka, jawab ND Lala mudah: "Bagi saya, isteri adalah tulang rusuk suami, pelengkap dan perlu dilindungi oleh suaminya. Kalau isteri sudah tidak perlukan perlindungan seorang suami, rumah tangga akan habis.

"Selagi saya rasa selesa dan seronok ingin pulang ke rumah selepas habis kerja, rasanya selagi itulah kami akan bertahan."

Sekali lagi ND Lala menekankan, hidup tidak semudah dan seindah yang disangka. Dia tiada teori atau kaedah untuk menjayakan rumah tangga.

"Soal keluarga adalah kerja hati, jika hati rasa sayang pada isteri dan selesa dengan keluarga, rumah tangga akan kekal," kata ND Lala yang sentiasa mahu mengisi ruang hidup keluarganya dengan suasana yang bermanfaat.

Bola sepak erat ikatanKebetulan pula, Kejohanan Bola Sepak Eropah (Euro 2008) sudah bermula, inilah masanya ND Lala meluangkan banyak masa dengan anak-anak.

Dua anak lelakinya, Syafiq dan Shahir peminat bola, Syafiq pernah bermain dalam pasukan bawah 15 tahun Kuala Lumpur manakala Shahir juga pernah wakili sekolah.

"Mereka semua minat bola. Bagusnya, kerana bola dapat menyatukan mereka.

"Akak sendiri, kena jadi tukang servis. Kena buat air dan sediakan makanan untuk mereka. Saya tak tengok sangat sebab saya jenis yang disiplin bab jadual tidur. Kalau dah tidur, mereka nak bersorak riuh-rendah pun saya tak hirau," cerita kak Zie sambil tergelak mengenai kerenah keluarganya.

Ada lagi yang lebih menarik mengenai pasangan ini. Pengalaman mengandung amat memeritkan bagi Fauziah kerana dia mengalami alahan yang sangat teruk. Setiap kali mengandungkan keempat-empat orang anak, empat bulan, ND Lala tidak boleh mendekatinya.

"Saya tak boleh tengok muka dia, bahkan nak duduk dekat, bau badan dia pun buat saya nak muntah. Masa mengandungkan Shila dan Syafiq, kami terpaksa tinggal berasingan. Saya duduk kampung di Banting, abang ND pula duduk KL, tapi dia penyabar dan setiap hari balik jenguk saya!" cerita kak Zie yang bersyukur kerana berkahwin awal, apabila usia sudah 40 tahun, anak-anak sudah besar dan boleh dijadikan kawan.