Kumpulan Aisunam menang Rentak Juara 2008


KUMPULAN Aisunam menjuarai Rentak Juara 2008 menewaskan tujuh kumpulan lain yang berlangsung di Shah Alam malam tadi.


SHAH ALAM - Kumpulan Aisunam dinobatkan sebagai juara rancangan Rentak Juara - Rhythm of Champions sekali gus menewaskan tujuh kumpulan yang lain dan membawa pulang wang tunai berjumlah RM50,000 berserta sijil dan trofi di Stadium Malawati, Shah Alam, malam tadi.

Rancangan yang disiarkan secara langsung menerusi RTM 1 itu menyaksikan kumpulan Aisunam mendendangkan dua buah lagu sendiri iaitu Kedamaian Terakhir dan Bisikan.

Tempat kedua diraih oleh kumpulan Cherish 2000 yang mempamerkan persembahan bertenaga dengan lagu ciptaan sendiri iaitu Haru Biru.

Mereka berjaya membawa pulang wang tunai berjumlah RM30,000, sijil dan trofi kemenangan manakala tempat ketiga yang menawarkan wang tunai berjumlah RM20,000, sijil dan trofi dimenangi oleh Carbolic Smoke- balls.

Mereka menyanyikan tiga buah lagu iaitu Engkau Pergi, Sempurna dan The Pretender, kumpulan itu tetap bersyukur walaupun hanya berada di tangga ketiga.

Kumpulan ini turut memenangi kategori Kumpulan Paling Popular yang dipilih seratus peratus menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) dan membawa pulang wang tunai RM5,000 berserta trofi dan sijil.

Bagi pemenang sagu hati pula, mereka diberi habuan sebanyak RM3,000 untuk setiap kumpulan di samping trofi dan sijil penyertaan.

Hadiah kemenangan disampaikan oleh Datuk A. Rahman Hassan.