Rahsia spesies burung


BURUNG kakak tua merupakan antara burung yang paling sukar untuk diketahui susur galur revolusinya.


BURUNG merupakan antara haiwan yang paling banyak dikaji, tetapi saintis baru-baru ini telah menemui beberapa fakta baru mengenainya. Demikian keputusan kajian selama lima tahun yang telah dilakukan.

"Dalam kajian ini, kami mempelajari dua perkara utama," kata pengkaji Sushma Reddy, seorang pengkaji di Fields Museum di Chicago, Amerika Syarikat (AS). "Pertama, rupa boleh menipu daya. Burung-burung yang kelihatan sama pada rupa atau tabiat tidak semestinya mempunyai susur galur hubungan yang rapat. Kedua, kebanyakan klasifikasi burung terhadap perkaitan evolusinya adalah salah."

Kajian tersebut mendedahkan 10 perkara baru tentang burung yang mungkin tidak pernah diketahui ramai:

1. Burung madu (sejenis burung kelicap pemakan madu) yang berwarna-warni pada waktu siang adalah evolusi daripada burung tukang yang rupanya membosankan.

2. Burung-burung bertenggek (kumpulan burung paling besar termasuk kardinal, oriol, gagak, layang-layang, pipit dan sebagainya mempunyai hubungan rapat dengan burung kakak tua dan falcon (helang kecil).

3. Flamingo dan beberapa burung akuatik seperti burung penangkap ikan grebe bukanlah terevolusi daripada burung-burung air.

4. Belatuk, hawk (helang sederhana), burung hantu dan burung enggang mempunyai rupa yang sangat berbeza tetapi kesemuanya mempunyai hubungan yang rapat dengan burung-burung daripada kategori burung bertenggek.

5. Burung hering yang sebelum ini difikirkan mempunyai hubungan yang rapat dengan burung bangau sebenarnya berasal daripada burung daratan.

6. Falcon (dikenali sebagai helang kecil) tidak mempunyai hubungan yang rapat dengan hawk dan helang (eagle) seperti yang difikirkan sebelum ini.

7 Burung pantai bukanlah burung paling purba sekali gus menolak tanggapan bahawa ia merupakan jenis burung yang melahirkan burung-burung moden.

8. Burung hantu, kakak tua dan merpati merupakan antara burung yang paling sukar untuk diketahui susur galur revolusinya.

9. Burung-burung tropika tidak mempunyai hubungan yang rapat dengan burung undan dan burung air.

10. Burung mempunyai sejarah evolusi yang kompleks selepas perkembangan terlalu banyak spesies burung antara 65 juta hingga 100 juta tahun yang lalu.