Anak angkat diwajib bin, binti Abdullah

KUALA LUMPUR - Kementerian Dalam Negeri semalam mengarahkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) supaya tidak lagi membenarkan pendaftaran nama melibatkan kombinasi nama anak angkat dan bapa angkat.

Menterinya, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata, JPN perlu mematuhi keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan.

"Mereka tidak boleh satukan nama seolah-olah individu itu anak kepada bapa angkat mereka. Ini telah diperbetulkan pada arahan hari ini (semalam),'' katanya kepada pemberita di lobi Parlimen semalam.

Kelmarin, Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Prof. Datuk Dr. Abdul Shukor Husin memberitahu, fatwa mengharamkan penggabungan nama anak angkat dengan nama bapa angkat tanpa menggunakan bin atau binti Abdullah didapati masih belum dipatuhi JPN meskipun ia telah dikeluarkan pada tahun 2000.

Tindakan JPN itu menyebabkan ramai pasangan Islam cenderung menggabungkan nama anak angkat dengan nama penuh bapa angkat tanpa menggunakan bin atau binti Abdullah.

Jelas Syed Hamid, anak angkat yang didaftarkan tidak dibenarkan menggunakan bin atau binti nama bapa angkat dan perlu menggunakan nama bapa asal mereka.

"Sebagai contoh sebelum ini, nama anak angkat Aminah dan nama bapa angkat Zaki. Mereka akan letak nama Aminah Zaki sebagai nama individu itu tanpa binti. Itu tak dibenarkan lagi,'' jelasnya.

Menurut beliau, hal tersebut berlaku kerana keluarga angkat tidak mahu anak angkat itu mengetahui siapa keluarga sebenarnya sehingga tiba satu masa apabila anak angkat itu sudah matang dan boleh menerima statusnya.

"Bagi anak angkat yang ibu bapanya tinggalkan dia begitu saja tanpa diketahui identiti mereka, kes sebegitu akan diletakkan namanya dengan bin atau binti Abdullah," katanya.