Melaka ikat pendahulu Kumpulan A


KOFI ESTIBA (tengah) diasak dua pemain Kelantan pada aksi Kumpulan A saingan Piala Malaysia di Stadium Hang Jebat semalam.



PASUKAN tercorot, Melaka melakar kejutan apabila berjaya mengikat pendahulu Kumpulan A, Kelantan 1-1 pada saingan bola sepak Piala Malaysia di Stadium Hang Jebat semalam.

Turun selaku pasukan tuan rumah, Melaka jelas mempamerkan permainan menakjubkan menerusi beberapa gerakan untuk menghasilkan gol.

Pada minit ke-46, Melaka berjaya menyentak semangat melawan Kelantan menerusi gol pendahuluan.

Gol pasukan tuan rumah itu dijaringkan menerusi pemain importnya, Kofi Estiba Shaw.

Begitupun, saingan babak kedua kembali dikuasai Kelantan yang menyaksikan pasukan pelawat itu lebih banyak menyerang ke kubu lawan.

Hasilnya, gol penyamaan Kelantan hadir pada minit ke-68 menerusi jaringan Enock Bentil.

Dengan keputusan itu, Kelantan kekal selaku pendahulu Kumpulan A dengan 14 mata selepas pencabar terdekat, Negeri Sembilan tewas 0-2 kepada Terengganu.