Dapat pingat bagai mimpi – Nicol


NICOL menunjukkan pingat DSPN yang diterima kepada bapanya, Desmond David di Pulau Pinang semalam.


GEORGE TOWN – "Bagai mimpi." Demikian reaksi jaguh skuasy wanita dunia, Datuk Nicol Ann David apabila mendapat berita tentang penganugerahan Darjah Setia Pangkuan Negeri (DSPN) sempena ulang tahun ke-70 Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Rahman Abbas.

Menurutnya, beliau tidak menyangka akan menerima pangkat itu kerana pada usia 24 tahun, beliau adalah penerima pangkat Datuk termuda di Malaysia setakat ini.

"Saya amat terharu apabila diiktiraf oleh kerajaan negeri yang menghargai sumbangan saya dalam bidang sukan yang amat saya minati ini," katanya ketika selepas Majlis Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan negeri Pulau Pinang semalam.

Atlet yang dilahirkan pada 26 Ogos 1983 itu sebelum ini mendapat penghormatan sebagai penerima pertama Darjah Bakti (DB) sempena Hari Keputeraan Yang Dipertuan Agung, Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Sempena ulang tahun Yang Dipertua Negeri, seramai 497 individu menerima darjah kebesaran serta pingat yang didahului Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamed, 66, yang dianugerahi Darjah Utama Pangkuan Negeri (DUPN) yang membawa gelaran Datuk Seri Utama.

Dapatkan berita selanjutnya di Kosmo!.