Dihantar ke HKL buat pemeriksaan kesihatan

KUALA LUMPUR Setelah hampir enam jam memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Datuk Seri Anwar Ibrahim kemudiannya dibawa ke Hospital Kuala Lumpur bagi menjalani pemeriksaan kesihatan.

Difahamkan, Anwar dibawa ke HKL selepas dia mengadu sakit semasa diambil keterangan oleh polis.

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu tiba di pekarangan Wad Diraja pukul 8.45 malam tadi dengan menaiki sebuah kereta dengan diiringi dua kereta peronda polis dan tujuh kenderaan pacuan empat roda.

Dia yang memakai kot kelabu ditemani peguamnya, R. Sivarasa dan dikawal ketat polis. Bagaimanapun Anwar kelihatan tenang malah melambai tangan sambil tersenyum ke arah wartawan.

Dua jam kemudian, dia keluar dari wad tersebut tetapi tidak berkata-kata apa-apa kecuali tersenyum dan melambai tangannya.

Peguamnya, R. Sivarasa berkata, Anwar dibawa ke situ untuk menjalani pemeriksaan kesihatan selepas dia mengadu 'sakit'.

Sivarasa bagaimanapun enggan mengulas apabila ditanya mengenai ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dengan berkata, semua terserah kepada polis.