Lawat dunia

Tropical Village di Ayer Hitam menghimpunkan semua ikon dunia.




MAHU mengelilingi dunia dan menyaksikan keajaiban antarabangsa dalam masa satu hari seperti dalam filem Around the World in 80 Days lakonan Jackie Chan?

Sebenarnya, impian itu dapat direalisasikan sekiranya anda berkunjung ke Tropical Village di Ayer Hitam, Johor.


ARCA Genggaman Dunia menjadi simbolik kepada pembinaan monumen.


Meskipun hanya replika, kawasan taman seluas 32 hektar itu menempatkan pelbagai binaan yang berasaskan reka bentuk sebenar tetapi dalam saiz yang kecil.

Penjelajahan anda yang berharga RM8 pasti berbaloi dengan keunikan monumen yang dibina melingkari kawasan berbukit setinggi 50 meter itu.


TAJ MAHAL


Bagi mereka yang dilamun cinta, replika Taj Mahal yang menjadi kebanggaan Shah Jehan dan Mumtaz di India hinggalah Menara Eiffel di Paris, Perancis, akan memberi makna yang mendalam.

Keutuhan Tembok Besar China membawa anda merasai sendiri gahnya pemerintahan empayar maharaja China suatu waktu dahulu.


NAGA sepanjang lima meter pasti menarik perhatian sesiapa sahaja.


Bagi mereka yang mahu merasai glamor pelakon filem antarabangsa, jangan lupa abadikan kenangan di papan tanda HOLLYWOOD.

Selain itu, monumen piramid dan patung Spinx yang menjadi simbol kebanggaan penduduk Mesir, turut dihasilkan sebaik mungkin.

Lanjutkan lagi pengembaraan anda dengan melawat Statue of Liberty yang menjadi mercu New York.


MENARA EIFFEL


Taman mini ini juga dilengkapi dengan rumah hantu, aktiviti berkenu di tasik buatan dan menunggang kuda yang boleh dijadikan aktiviti keluarga.

Hendak melancong ke sini? Pengunjung yang datang dari Kuala Lumpur perlu melalui Lebuhraya Utara-Selatan menuju ke arah selatan dan keluar di Plaza Tol Machap.