Gaya rambut biar sesuai

Memang banyak faktor yang mempengaruhi kesesuaian gaya rambut lelaki, namun bentuk wajah tetap memainkan peranan utama.


DIKURNIAKAN wajah berbentuk empat segi atau petak, David Beckham memang sesuai dengan kebanyakan gaya rambut.



DEWASA ini, gaya rambut untuk lelaki begitu rencam dan tidak lagi seperti dulu yang nampak terhad. Lihat sahaja di majalah-majalah, di televisyen, di laman-laman internet mahupun di sekeliling anda, pelbagai rupa fesyen rambut boleh disaksikan. Tambah pula jika anda melihat kepada penyanyi, pelakon, model dan tidak lupa juga ahli sukan.

Baru sahaja mengenali potongan rambut buzz, crew dan flattop, muncul pula potongan yang lain seperti ivy league, burr, faux hawk dan bermacam-macam lagi.

Keadaan ini membuatkan memilih gaya rambut yang bersesuaian menjadi kompleks. Maka ramailah yang tertanya-tanya... "Sesuaikah potongan atau gaya rambut sebegitu dengan saya?". Jika anda tersilap pilih, anda mungkin tergolong dalam kalangan 64 peratus lelaki yang tersalah memilih potongan rambut seperti yang dilaporkan laman Men On Venus. Tidak pasti pula akan kesahihan angka itu, tetapi yang nyata, ia satu topik yang menarik untuk diperkatakan.

Memang banyak faktor yang mempengaruhi kesesuaian gaya rambut, misalnya usia, karektor dan pakaian yang disarung di badan. Tetapi, seperkara yang sebenarnya amat mempengaruhi ialah bentuk wajah individu itu. Bukan semua wajah sesuai berpadu dengan sesuatu gaya rambut.

Secara asasnya, bentuk wajah menjadi panduan kepada penggayaan rambut. Lelaki memiliki pelbagai bentuk wajah, empat segi, lonjong (oblong), bujur, bulat, segi tiga, berlian dan pear.


POTONGAN rambut melekap rapat dengan kepala dan potongan nipis di bahagian pelipis sesuai untuk Justin Timberlake.


Majoriti lelaki mempunyai wajah berbentuk empat segi. Demikian menurut seorang pakar pendandan rambut selebriti, Robert Hallowell. Ini kerana lelaki kebiasaannya mempunyai garis rahang yang kuat dan ia nampak paling klasik, rugged dan maskulin.

Berikut adalah panduan bentuk-bentuk wajah lelaki, contoh selebriti dan gaya rambut yang bersesuaian dengan bentuk wajah berkenaan.

n Empat segi (petak): Bentuk wajah ini paling lazim dalam kalangan lelaki dan merupakan wajah paling versatil selepas bujur. Jika anda memiliki wajah ini, anda boleh dianggap bertuah kerana berwajah maskulin dan agak versatil. Anda sesuai menggayakan hampir apa sahaja gaya rambut termasuk keriting. Anda boleh membuat rambut spikey (cacak), flat dengan gaya messy. Seeloknya, lakukan potongan clean cut pada sekitar telinga. Selagi mana ia tidak menyembunyikan kemaskulinan wajah anda, anda digalakkan menggayakannya. Elakkan rambut melepasi dagu.

Contoh selebriti: David Beckham, Nick Lachey, Enrique Iglesias, Matt Damon

n Bujur: Bentuk wajah seperti telur ini, agak feminin tetapi bertuah kerana boleh disesuaikan dengan apa jua gaya rambut. Anda sesuai untuk berambut pendek atau panjang. Ini kerana, anda mempunyai garis rambut pada dahi yang versatil. Potongan rambut bertingkat serba sedikit menyuntik ciri maskulin.


WAJAH bujur Kid Rock nampak sesuai dengan rambut panjang.


Contoh selebriti: Kid Rock

n Bulat: Muka bulat sering dilambangkan sebagai bermuka penuh dengan garis dahi dan garis dagu yang bulat serta nampak ketara pada pipi. Anda perlu memilih potongan rambut yang dapat mengurangkan 'kelembutan' pada garis rahang anda. Menipiskan bahagian tepi dan belakang nampak lebih baik. Elakkan memilih potongan rambut yang membuatkan wajah anda lebih bulat seperti keriting atau bob. Elakkan juga potongan rambut yang menutup dahi.

Contoh selebriti: Alec Baldwin, David Boreanaz

n Tiga segi: Wajah ini amat tirus di dagu tetapi dengan kombinasi wajah berbentuk petak. Agak sukar untuk memilih gaya rambut kerana gaya rambut yang dipilih perlulah tidak memperlihatkan dagu lebih tirus. Sebaiknya ikut seperti Justin Timberlake yang memotong rambut serapatnya dengan kepala serta berdekatan pelipis tetapi rambut di bahagian belakang biarkan panjang dan lebat.

Contoh selebriti: Justin Timberlake

n Berlian: Wajah ini mempunyai bahagian yang paling luas di tulang pipi tetapi menirus di dahi dan rahang. Jadi, anda seharusnya memilih potongan rambut yang dapat memberikan ilusi lebar. Anda sesuai berambut panjang dan sebenarnya sesuai bermisai atau janggut untuk menyeimbangkan bahagian wajah anda yang tirus. Potongan menutup dahi juga membantu. Elakkan potongan yang menambah ketinggian rambut seperti spikey atau terlalu pendek seperti potongan buzz.

Contoh selebriti: Dave Navarro

n Pear: Wajah ini menirus di bahagian atas tetapi melebar di bahagian bawah. Rahang dan dagu kelihatan lebih bersifat membulat. Wajah sebegini patut diseimbangkan dengan gaya rambut lebat di bahagian atas kepala dan sekitar pelipis.

Contoh selebriti: Stevie Wonder

n Lonjong (empat segi panjang): Wajah ini mempunyai dahi yang tinggi dan dagu yang panjang. Wajah jenis ini juga tidak mempunyai banyak masalah. Anda boleh berambut panjang dengan potongan bertingkat atau potongan amat pendek buzz seperti Wenworth Miller. Potongan menutup dahi yang messy juga kelihatan baik untuk anda. Cuma, digalakkan anda tidak menambah panjang di bahagian atas rambut. Jika anda tambah, wajah anda akan kelihatan lebih panjang.

Contoh selebriti: Ben Affleck