Filem yang 'menjual' wanita?


SUSUK jika dilihat daripada lapisan dangkal, barangkali dianggap sebagai filem yang menjual aksi erotik wanita jelita seperti Aleeza Kasim.


ADA yang skeptikal dan menganggap selain untuk menakutkan-nakutkan penonton, filem-filem bergenre seram, hantu mahupun mistik tidak ada pengisian lain yang boleh membangunkan minda penonton.

Namun, dalam masa yang sama, filem-filem sebegitulah yang mudah menarik jiwa-jiwa penonton yang sering dahaga hiburan sebegitu untuk menyumbang pulangan modal kepada penerbit apabila ditayangkan di pawagam.

Bukan cerita seram atau hantu namanya kalau tiada wajah-wajah hodoh dan mengerikan serta imej lembaga wanita berambut panjang dan bertaring.

Dan untuk filem seram terbaru ini, walaupun pengarahnya, Amir Muhammad dan Naeim Ghalili berkali-kali menegaskan bahawa Susuk bukanlah cerita hantu, namun filem yang mula berada di pawagam hari ini itu juga tidak ketinggalan menjadikan imej-imej sebegitu sebagai daya penarik untuk menggesa penonton mencari tiket Susuk.

Bukan itu sahaja, seperkara lagi yang menarik perhatian tentang karya ini ialah elemen susuk yang menjadi subjek filem ini. Bukan sahaja susuk yang menjadi amalan untuk menambahkan seri wajah, tetapi susuk tubuh wanita yang mongel dan gebu yang menjadi bahan tatapan, sekali gus menjadi produk sampingan untuk menjual filem ini.

Imej Sofea Jane berkemban dan mandi bunga, Ida Nerina dalam tab mandi yang hanya berselimut bunga dan buih sabun dan Aleeza Kassim yang berbikini dalam kolam mandi menjadi antara babak penting yang digambarkan sang sutradara menerusi Susuk.

Biarpun bukan bermotifkan erotik, adakah ini satu permainan pengarah atau kebetulan yang sengaja ditokok-tambah sebagai bahan eksploitasi dengan tujuan untuk meraih sambutan.

"Semua filem menjual wanita dan rasanya semua filem yang menjual wanita akan berjaya," beritahu Amir, spontan dalam nada berseloroh.

Melanjutkan hujahnya, Amir berpendapat, adanya babak-babak yang telah mendapat pelepasan daripada Lembaga Penapisan Filem (LPF) itu sebagai menepati kehendak skrip.

"Adegan berkemban dan mempamerkan susuk tubuh, itu semua perihal nafsu dan keghairahan wanita untuk kelihatan cantik walaupun terlarang," jelas Amir yang faham sangat sensitiviti budaya Melayu yang dipamerkannya menerusi filem arus perdana pertamanya ini.

Menoleh kepada rekod siapa Amir Muhamad sebelum ini, sedangkan kisah Lelaki Komunis Terakhir yang secara logiknya bakal menimbulkan kontroversi itu berani diterbitkannya, inikan pula setakat adegan wanita berkemban, sudah tentu perkara itu bukan satu isu buatnya.

Apa yang menjadi isunya, apabila filem dinanti-nantikan ini mula menjadi bahan perbincangan. Ada yang terang-terangan menyifatkan ia memang 'misteri' sehingga mengelirukan ramai.

"Filem ini banyak elemen misteri, kalau anda suka filem Batman: The Dark Night, tentu anda akan menyukai filem ini," itu penjelasan Amir kepada pihak media yang 'kebingungan' sesudah pertama kali dihidangkan pratonton Susuk, baru-baru ini.

Walaupun mungkin Amir sekadar berseloroh, saya percaya, sebagai pengarah yang banyak dipengaruhi jiwa pembikin filem bebas, Amir telah menyerapkan semangat-semangat indienya mungkin secara senyap-senyap ke dalam Susuk.


ANTARA adegan mandi bunga dan berkemban Sofea Jane yang mampu bikin kontroversi kepada filem ini.


Amir sekadar tersenyum saat dikerumuni para wartawan yang bertelagah hebat tentang kepastian terhadap andaian-andaian yang berlegar di fikiran masing-masing. Bagi pengarah filem pendek The Big Durian dan Lelaki Komunis Terakhir ini, mungkin itu perkara yang mudah untuk ditanganinya.

Menelaah Susuk kelihatannya seperti para penonton perlu melengkapkan diri dengan suryakanta (kanta besar), agar segala bisik atau simbol yang digunakan bisa beri petunjuk terhadap apa yang cuba digarapkan oleh sepasang pengarah dari dua benua berbeza ini.

Tidak gentar, jauh sekali sekali takut dengan risiko filem yang seperti sebuah permainan susun suai gambar (jigsaw puzzle) ini, Amir tersengih lagi, katanya: "Hidup ini penuh risiko bukan, dan sebenarnya, kalau nak bercakap, filem ini banyak lapisannya yang menuntut penonton agar berfikir.

"Susuk juga mengharapkan perhatian dari segala deria kita. Keseluruhan filem ini juga sebenarnya sangat sinikal dan ada juga diselitkan unsur komedi hitam."

Saya cuba mengingati jalur-jalur cerita dalam Susuk yang bergerak secara non-linear (tidak mengikut urutan waktu) ini untuk menyesuai padankan rentetan itu dengan apa yang terletus dari bibir Amir.

Ada imej ayam kampung yang mendahului adegan kematian, jarum emas dan butir berlian yang menjadi susuk. Juga imej lembaga yang mengintai dan ilmu hitam sebagai jalan pintas untuk meraih sesuatu, mungkin itu semua bukan sekadar pengisi Susuk bahkan ada maksud lain yang cuba disampaikan oleh Amir dan sekutunya, Naeim Ghalili dalam kolaborasi pertama mereka ini.

Persoalannya, apa sahaja nilai artistik, sinikal, mistik dan teknikal yang mereka masukkan ke dalam Susuk boleh diterima ramai asalkan impaknya dapat dirasai dan membentuk satu kefahaman yang jelas setelah penantian satu jam 50 minit menyaksikan Susuk berakhir.

Nampaknya, imaginasi Amir dan Naeim yang tidak mahu penonton pulang kosong tanpa sebarang minda yang tercerna selepas menikmati Susuk sudah berjaya.

"Rasanya penonton filem sekarang sudah bijak dan untuk menonton Susuk tak perlu pun jadi sangat bijak. Tak salah rasanya saya mencuba cara yang begini dan kalau ada yang keliru sampai tak faham langsung, saya minta maaf.

"Apa yang boleh saya kata dan harapkan, filem Susuk tidak akan berakhir apabila kredit nama tertera pada skrin di akhir cerita.

"Saya tidak mahu, penonton yang habis menonton filem ini, boleh melupakan ia begitu sahaja, bersenang-lenang sambil minum-minum dan bercakap tentang perkara lain," beritahu Amir optimis selepas mendengar komen teman-teman wartawan yang kurang arif dengan bahasa filem dalam Susuk.

Umumnya, Susuk bercerita tentang Soraya lakonan Diana Rafar, gadis biasa yang bertugas sebagai jururawat pelatih di sebuah hospital. Dia yang taksub dengan kecantikan dan berkeinginan untuk bergelar penyanyi terjebak dengan amalan pemakaian susuk selepas mendekati dunia artis, namun Soraya harus menerima akibat yang memakan diri.


BOLEH dikatakan sebagai filem pertama yang mengambil amalan pemakaian susuk dalam masyarakat Melayu sebagai subjek.


Dalam kisah yang berasingan, Suzana (Ida Nerina) pula seorang diva di persada nyanyian yang berselindung di sebalik kebatilan ilmu hitam. Susuk keramat yang diamalkan daripada Dukun Dewangga (Adlin Aman Ramlie) menuntut korban yang dahsyat setiap kali Suzana melanggar pantang.

Walaupun dua tahun terperap sesudah memulakan produksi pada 2006, sebagai pengarah bersama, Naeim berharap itu bukan satu isu. Naeim berpegang kepada alasan bahawa filem baik harus ada kawalan kualiti dan aspek itu menuntut satu jangka masa yang agak lama.

Dan kalau di luar negara, ada juga filem yang mengambil 4 hingga 5 tahun untuk disiapkan. Di Malaysia sendiri, filem Johnny Bikin Filem karya cendekiawan filem, Dr. Anuar Nor Arai juga mencipta rekod kerana terperap selama 12 tahun sebelum disiapkan untuk tayangan pada 2008.

Dalam pengarahan Susuk, Amir mengakui dia cenderung terhadap aspek penceritaan, manakala Naeim pula disifatkan pakar dalam bab teknikal dan kesan khas.

"Kami banyak berbincang dalam segala aspek tapi bukan bermakna kami bertelagah. Kalau buat seorang pengarah ambil masa setahun, ini dua pengarah, mestilah ambil masa dua tahun," kata Amir berseloroh.

Meneliti karya ini, Susuk boleh dikatakan sebagai filem pertama yang mengambil amalan pemakaian susuk dalam masyarakat Melayu sebagai subjek dan dunia artis sebagai latar. Situasi ini sedikit memberi gambaran negatif, bahawa artis untuk berjaya dan cantik harus ada azimat dan pelaris.

Cermat dan tidak mahu disalah anggap, Naeim memberi hujah.

"Susuk memang wujud dalam budaya orang Melayu tetapi dalam filem ini sengaja susuk dikaitkan dengan dunia artis untuk memberi contoh yang lebih ekstrem," katanya.

Tahu apa yang cuba diajukan oleh para media, pelakon utama filem ini, Ida Nerina mencelah dengan alasan yang lebih konkrit.

"Orang dulu-dulu guna susuk sebagai pelaris. Mungkin makcik-makcik isteri kepada nelayanpun ada yang pakai susuk, cuma untuk menjadikan motif susuk itu lebih hidup, susuk dalam filem ini dikaitkan dengan artis.

"Adakah kami (artis), khususnya yang berlakon dalam filem ini kelihatan seperti pemakai susuk, kalau tak percaya, berilah kami makan apa-apa yang menjadi pantang susuk, sate misalnya, kami akan makan," kata Ida yang tertawa apabila kisah rekaan dalam filem lakonannya ini diambil berat oleh pemerhati.


KEJELITAAN wanita menjadi taruhan utama dalam filem yang bercerita tentang amalan pemakaian susuk dan bomoh ini.


Walaupun mengambil susuk, satu daripada realiti kehidupan, khususnya dala+m budaya orang Melayu sebagai subjek penceritaan, secara dasarnya, filem ini bukan dokumentari.

"Ia masih lagi sebuah fiksyen, kami tetap memuatkan banyak improvisasi contohnya mengenai ritual dan jampi serapah yang digunakan. Saya tidak mahu Susuk menjadi satu sesuatu yang instrumental," kata Amir yang menujukan khas filem ini buat salah seorang krew produksi, Allahyarham Fauzi Abdullah yang ditimpa kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan ke lokasi penggambaran Susuk, dua tahun lalu.