Hadiah perkahwinan Maya? - Bakal pegang trofi Pelakon Wania Terbaik FFM21


MAYA dilihat masih cemerlang dalam karektor sebagai wanita kasar dan lasak dalam Anak Halal.


KREDIBILITI dan keindahan Festival Filem Malaysia (FFM) tidak seharusnya diperlekeh begitu sahaja, atau ditafsirkan sebagai festival picisan yang tiada signifikan kepada negara.

Sejak FFM bermula pada tahun 1980, kewujudan pelakon wanita terus bercambah dari semasa ke semasa, malah beberapa aktres yang muncul ini, terus menggoncangkan seni tanah air pada hierarki teratas.

Bagi membangkit kehangatan FFM21 yang bakal berlangsung beberapa hari lagi, Kosmo! menyenarai lima calon akhir untuk kategori Pelakon Wanita Terbaik pada tahun ini.

Lima pelakon bertanding di atas tiket Pelakon Wanita Terbaik FFM21 terdiri daripada Maya Karin menerusi filem Anak Halal, Nasha Aziz (Otai), Vanidah Imran (Akhirat), Erra Fazira (Anak) dan Fazura (Kayangan).

Kosmo! mempunyai intuisi sendiri dan meramal kemenangan anugerah Pelakon Wanita Terbaik FFM21 berpihak kepada aktres jelita yang bakal bergelar isteri orang, Maya Karin.


JIKA trofi dalam genggamannya, Vanidah menganggap ia sebagai perkongsian rasa yang terbaik untuk golongan yang menghidap HIV.


Sukar untuk menidakkan, Maya berjaya mempersembah lakonan mantap dan cukup berkesan di hati khalayak tatkala kelibatnya muncul di layar perak menerusi Anak Halal yang ditayangkan penghujung Disember lalu.

Lihat sahaja aksi Maya yang membenarkan wajahnya dioles sederhana, malah banyak memakai pakaian lusuh semasa memegang karakter Johanna dalam filem tersebut.

Maya dilihat berjaya keluar daripada kepompong karakter puntianak jelita yang hinggap pada diri sebelum ini. Dia juga berjaya meluah interpretasi gadis tomboi dengan baik melalui Anak Halal.

Bukan itu sahaja, Johanna ditangan Maya dapat mengadaptasi dirinya dengan kumpulan lelaki jalanan ditambah senario Anak Halal yang berkisar masalah sosial di kalangan muda-mudi di zaman moden.

Lantaran itu, khalayak dapat membuat perbandingan ketara terhadap dua watak yang dijayakan Maya. Tiada apa perlu diragui, Maya selayaknya ditempatkan di dalam kategori Pelakon Wanita Terbaik kali ini. Jika ini menjadi kenyataan, tentunya ia adalah hadiah perkahwinan ‘termahal’ untuk pelakon yang akan mengakhiri zaman solonya pada 14 Ogos depan.

Pun begitu, kehebatan wanita yang digelar Primadona Filem Melayu, Erra Fazira juga tidak sewenang-wenangnya disanggah.

Lakonan Erra sebagai Nita dalam filem jalur seram itu ternyata memperlihat banyak perbezaan berbanding lakonan-lakonan klise Erra sebelum ini.


LAKONAN Fazura dalam Kayangan dikatakan kurang membantu pelakon ini untuk mengungguli kategori Pelakon Wanita Terbaik.


Putaran watak Erra benar-benar berubah dalam Anak. Tiada lagi karakter cantik setiap masa, wajah ayu yang terkawal, sebaliknya Nita dalam diri Erra bijak bermain dengan banyak emosi kurang stabil akibat menjadi mangsa rogol.

Erra dilihat selesa melahirkan pelbagai riak sama ada sedih, seram, takut mahupun penyesalan tanpa lontaran skrip daripada bibirnya melalui Anak.

Barangkali keputusan Erra berlakon di dalam genre lain yang benar-benar berbeza daripada liganya sebelum ini bakal memberi kejutan tidak terjangkau dalam FFM21.

Sebelum coretan ini belayar lebih jauh, janganlah dilupakan kredibiliti pemenang kategori yang sama FFM20 iaitu Vanidah Imran atau Vee.

Barangkali ‘badi’ filem The Red Kebaya bakal menghantui Vee semula. Filem yang mengangkat Vee sebagai Pelakon Wanita Terbaik FFM20 itu kurang mendapat sambutan di pawagam, namun siapa sangka, kejutan berlaku kepada Vee.

Sesuatu yang mengejutkan telah berlaku di FFM20 tahun lalu di Pulau Pinang kerana nama Vee tidak diuar-uarkan sebagai penerima Pelakon Wanita Terbaik. Namun tuah Vee siapa yang nampak, akhirnya dia melangkah penuh bangga ke pentas mengambil trofi.

Kepada Kosmo! Vee mengaku punya pilihan hati sendiri dan meramalkan sama ada Erra atau Maya yang akan membawa pulang trofi Pelakon Wanita Terbaik.


OTAI melahirkan karektor nakal Nasha yang selama ini sering terikat dengan filem cinta.


Vee juga menganggap calon yang tersenarai dalam kategori akhir semuanya hebat-hebat belaka, malah memiliki keunikan tersendiri.

“Saya baru dapat tahu dicalon dalam kategori Pelakon Wanita Terbaik menerusi Akhirat. Saya jangka kemenangan berpihak kepada Erra atau Maya disebabkan mutu lakonan yang mereka persembahkan.

“Bukan nak kata yang lain tak bagus, Fazura juga melakukan yang terbaik dalam Kayangan, cuma watak yang dia pegang barangkali kurang menonjol dan tidak cukup kuat.

“Nasha juga ada tonjolkan kelainan melalui Otai dengan mempamerkan lakonan bercorak komedi,” jelas Vee lagi.

Menyambung bicara, Vee mengaku andai rezeki berpihak kepadanya sebagai Pelakon Wanita Terbaik FFM21, pasti dia berasa cukup gembira.

“Saya bukan bercakap Akhirat secara total, tapi saya lihat watak saya sebagai wanita yang dijangkiti penyakit HIV miliki signifikan sendiri.

“Saya bukan sekadar melakonkan watak Mira, sebaliknya saya memperjuang golongan ibu dan anak yang menghidap HIV dalam dunia sebenar.

“Dalam Akhirat, saya meminjam segala pengetahuan tentang penyakit berjangkit ini melalui teman-teman yang menghidap masalah sama.

“Secara tidak langsung saya dapat menukar stigma rakyat Malaysia yang selalu berfikiran negatif kepada pesakit HIV dan menyalur gambaran tidak tepat mengenai HIV.


ERRA keluar daripada klise gaya lakonannya dalam filem Anak.


“Kalau menang, saya anggap kemenangan itu memang berbaloi kerana dapat curahkan sedikit perjuangan buat penghidap HIV,” kata Vee sedikit beremosi.

Pelakon generasi baru yang berbakat besar, Fazura atau nama sebenarnya Nor Fazura Sharifuddin, 24, turut tersenarai dalam nominasi bersama empat wanita hebat lain.

Fazura tercalon menerusi Kayangan dan memegang peranan sebagai Maseira, gadis desa yang cintanya bertamu dengan putera raja.

Lakonan Fazura kelihatan biasa-biasa sahaja, tiada yang menarik atau istimewa untuk diketengahkan. Impak watak Maseira juga nampaknya tidak terlalu kuat andai mahu dibanding dengan karakter aktres lain yang bertanding.

Sementara itu, Nasha Aziz pula tercalon menerusi filem Otai yang bergenre komedi arahan sutradara terkenal Prof Madya A. Razak Mohaideen.

Nasha yang memegang karakter Azura kelihatan berjaya menumpahkan sisi lain Nasha pada corak komedi. Atau kemungkinan Nasha juga bakal mencipta kejutan malam itu?

Tidak dinafikan, langkah FFM dari setahun ke setahun kekal bergaya, tiada sebarang sumbangnya. Malah, jarang sekali mengundang cakap-cakap belakang daripada penggiat seni ataupun orang ramai.