Parti Pervez belot


KUMPULAN aktivis dan penyokong parti pemerintah Pakistan mengadakan demonstrasi mendesak Presiden Pervez Musharraf meletak jawatan di Islamabad semalam.


ISLAMABAD - Presiden Pakistan, Pervez Musharraf berhadapan tekanan untuk meletak jawatan berikutan parti politik yang selama ini menyokongnya belot.

Seorang anggota parlimen Parti Liga-Q Islam (PML-Q), Sardar Bahadur Khan berkata, beliau bersama 25 lagi anggota parti sekutu Pervez mahu beliau meletak jawatan.

"Pervez perlu letak jawatan sebelum proses pendakwaan di parlimen bermula. Negara ini tidak mampu untuk berkelahi sepanjang masa," kata Sardar.

Anggota-anggota parlimen yang membentuk kerajaan campuran di Pakistan sebelum ini menuntut Pervez supaya meletak jawatan.

Mereka berkata, Pervez tidak akan berupaya melawan dakwaan-dakwaan yang dikemukakan dalam satu usul di parlimen untuk mendakwa beliau.

Menurut beberapa pegawai, tuntutan itu disuarakan ketika satu jawatankuasa kerajaan bersidang untuk memuktamadkan senarai dakwaan terhadap Pervez sebelum dewan rakyat memulakan prosiding pendakwaan hari ini.

"Satu senarai pendakwaan sedang disediakan," kata Menteri Undang-Udang, Farooq Naek kepada para pemberita.

"Dakwaan-dakwaan itu termasuk salah laku dan melanggar perlembagaan. Semua dakwaan itu kukuh dan Pervez tidak akan berupaya melawannya," tambah menteri berkenaan.

Ketua kerajaan campuran, Asif Ali Zardari iaitu duda kepada bekas perdana menteri Benazir Bhutto yang mati dibunuh dan seorang lagi bekas perdana menteri, Nawaz Sharif pada Khamis lalu mengumumkan akan menyingkirkan Pervez.

Di bawah perlembagaan Pakistan, proses pendakwaan memerlukan majoriti dua pertiga dalam persidangan dewan rendah dan dewan tinggi parlimen.

Pervez yang memperoleh sokongan padu Amerika Syarikat (AS) menggulingkan kerajaan Nawaz pada 1999 melalui satu rampasan kuasa tentera yang dipimpinnya. - AFP