'Saya tak minum minuman keras'


FAZURA


KUALA LUMPUR - Saya tidak bohong!
Tegas Ahmad Razman Tan Sri Ahmad Razali, bekas kekasih kepada pelakon jelita, Nor Fazura Samsudin di Mahkamah Majistret di sini semalam apabila dia didakwa meminum minuman keras pada malam pergaduhan artis tersebut dengan suri rumah, Geraldine Mariana Wong di sebuah bar, empat tahun lalu.

Terdahulu, Cif Inspektor R. Rukumar yang mengendalikan pendakwaan menuduh ahli perniagaan tersebut berbohong apabila mengatakan dia tidak minum, walhal sebelum itu dia mengaku memberikan Geraldine minuman keras ketika mereka duduk di meja bersama.

"Tak mungkin kamu tidak minum dari kamu sampai pukul 10.30 hingga pukul 12 malam?" tanya Rukumar sinis, namun dijawab lelaki itu bersahaja, "Takkan saya keluar dengan kawan-kawan mesti kena minum."


AHMAD RAZMAN


Pihak pendakwaan menyoal demikian setelah dalam keterangannya sebelum itu, Ahmad Razman, 32, mendakwa dia juga biasa minum minuman keras.

Walaupun tidak dapat mengingati berapa banyak minuman keras yang diminum Geraldine, namun Ahmad Razman pasti wanita itu telah mabuk berdasarkan kelakuannya yang tiba-tiba berubah dan cuba bermesra dengannya.

Dalam keterangan lain, Ahmad Razman menafikan cadangan pihak pendakwaan bahawa Fazura telah menyerang Geraldine dalam pergaduhan kedua.

"Bagi saya serang membawa maksud dia (Fazura) membuka kasut dan memukul Geraldine, namun sebenarnya, Geraldine yang menarik rambutnya dulu dari bela- kang.

"Fazura pula dengan spontan cuba menghalang dengan menghayunkan kasutnya dan dengan tidak sengaja telah memukul muka Geraldine sehingga cedera sedikit," jelasnya yang turut memberitahu pertemuan dengan Geraldine di bar tersebut tidak dirancang.

Ditanya mengapa dia menyebelahi Fazura, Ahmad Razman memberitahu, hubu- ngannya dengan Geraldine pada masa itu hanyalah kawan biasa sedangkan Fazura pula kekasihnya dan datang ke bar untuk berjumpanya.

Dapatkan berita selanjutnya di Kosmo!.