Visual hidup yang lengkap - Sekitar Muzikal Ibu Zain


KISAH penderitaan wanita Melayu saat Tanah Melayu porak-poranda diserbu penjajah gelandangan.


SEBELUM melabuhkan punggung dan bersedia meluangkan masa dua jam setengah untuk menyaksikan malam penutup Muzikal Ibu Zain di Istana Budaya, 18 Ogos lalu, ungkapan nakal 'mari belajar sejarah' yang muncul di minda seperti yang diluahkan seorang teman terhadap karya Rosminah Tahir ini cuba dibuang jauh-jauh.

Sementelah judulnya, Muzikal Ibu Zain, sudah tentu pengisiannya sarat fakta sejarah dan biografi tulen tentang perjalanan hidup seorang wanita, guru, isteri, ibu dan pejuang kemerdekaan yang disegani ramai ini.

Buat mereka yang tidak kenal siapa Ibu Zain, masih belum terlambat kerana masih banyak fakta di luar sana yang mencatatkan susuh hidup wanita terbilang ini yang kekal sebagai wadah sepanjang zaman.

Secara dasarnya, muzikal ini sudah berjaya memperkenalkan kepada semua penontonnya tentang siapakah Ibu Zain, bukan sahaja secara verbal dan bertulis melalui sinopsis yang dilampirkan, teater ini secara visual menggambarkan secara tepat dan terperinci kepada semua, tentang peribadi unggul milik anak Malaya yang bernama Zainun Munsyi Sulaiman ini.


KISAH pengaruh Kristian di Tanah Melayu antara elemen penting Muzikal Ibu Zain.


Kisah muzikal ini bercantum dari dalam buaian, zaman kanak-kanak, remaja meningkat dewasa sehinggalah Zainun menjadi cekal mendepani arus untuk melangkah menjadi wanita sejati, berkahwin dan memiliki anak.

Walaupun hanya mengambil titik-titik penting, semua tahap dan fasa yang dilalui Zainun ini terkumpul dalam rentetan yang lengkap, cukup untuk penonton menemukan sesuatu yang tersimpan di jiwa Ibu Zain itu sendiri.

Kecekalan Ibu Zain melalui saat getir zaman penjajahan Inggeris, Jepun, komunis, darurat dan kebangkitan Malayan Union sehinggalah Tanah Melayu (Malaya) mencapai kemerdekaan harus dijadikan iktibar dan sumber semangat kepada wanita moden hari ini.


ELEMEN muzikal banyak menyelamatkan Muzikal Ibu Zain daripada dibandingkan dengan fakta sejarah Ibu Zain.


Dari segi lakonan, kecuali Nur Fatimah yang tidak terbeban dengan elemen nyanyian memandangkan dia seorang penyanyi, tuntutan muzikal ini mewajibkan kesemua pelakon khususnya pemain utama yang memegang watak Ibu Zain haruslah boleh menyanyi dengan baik.

Selain lakonan yang mengesankan, empat generasi berbeza iaitu Liza Othman yang memainkan peranan Ibu Zain ketika dewasa, Nur Fatimah (muda), Tengku Iezahdiyana Nurhanie Tengku Alauddin (remaja) dan Nurul Syariza Nor Azim (kecil) memperlihatkan nyanyian yang boleh dipuji.

Siapa dan bagaimana lakonan Liza Othman kali ini, tidak mahu disentuh panjang lebar. Cemerlang, itu sahaja.

Selain filem dan drama TV, wanita yang sememangnya bertudung ala Ibu Zain ini sudah banyak menjayakan pentas lakonannya menerusi Misunderstanding, Salina, Wira Bukit, Caught In The Middle, For The Time Being dan The Visits.

Kemunculan Catriona Ross sebagai Miss Ruth, pengetua Sekolah Perempuan Methodist, Melaka dan Avaa Vanja, mubaligh Kristian yang bernama Shellebear, iaitu pengasas sekolah Inggeris yang menjadi sekolah pertama Ibu Zain, nyata posisi berani yang dikemukakan si penulis dan pengarah teater ini.

Tentang bagaimana muslihat Inggeris yang kononnya mahu memberikan pendidikan kepada anak Melayu tetapi dalam masa yang sama, Inggeris juga mahu mengkristiankan semua orang Melayu.


DARI wanita, tentang wanita. Muzikal Ibu Zain sarat dengan elemen femenisme.


Hal ini ditangani dengan baik oleh para pelakon mahupun isi muzikal ini sendiri.

Memetik kata-kata Ibu Zain ketika remaja, 'saya sudah belajar Bible dan Al-Quran dengan sempurna, maknanya saya lebih pandai daripada Shellebear'.

Ungkapan ini sebenarnya memberi simbolik yang cukup besar - kalau orang Melayu sanggup keluar kepompong, orang Melayu akan lebih pandai daripada orang Inggeris!

Pelengkap muzikal ini tentulah pelakon baru, Farah Adila Apandi yang melakonkan watak Jemaah dan Ramlah serta rakan-rakannya, Sharifah Mariam Syed Abdullah (Jumilah) dan Tania Zainal (Munah) yang menyerlah dan paling banyak memberi impak humor di kalangan penonton sepanjang persembahan.

Tanpa keletah dan dialog lucu mereka ini, barangkali muzikal ini berat untuk ditelan sehingga ke babak penghabisan.

Selain mereka, pementasan anjuran Persatuan Penulis Wanita Malaysia ini yang turut menampilkan ramai pelakon terkenal antaranya Datuk Rahim Razali, Sahronizam Noor, Mazlan Tahir, Hisham Ahmad Tajuddin dan Zaefrul Nadzarine Nordin.

Terfikir juga, muzikal ini memang daripada penerbit wanita, ditulis oleh penulis wanita, diarahkan pengarah wanita dan tentang seorang wanita, namun idea dan pandangan yang dilontarkan menerusi muzikal wanita ini bukanlah semata-mata untuk wanita bahkan juga untuk lelaki, anak kecil, remaja adan orang tua.

Sebelum kisah dari Panggung Sari ini ditinggalkan, ungkapan 'mari belajar sejarah' tadi melintas lagi di benak fikiran.

Memang sah, ini kisah sejarah, elemen fiksyen dan improvisasinya mungkin tidak lebih 40 peratus kerana ini kisah benar. Nasib baik genrenya muzikal, kalau teater pentas biasa, rasanya banyak perkara yang perlu diperkemaskan.

Biarpun muzikal, ia sedikit meleret dan ada juga babak yang sepatutnya boleh dicantas, tetapi pengarahnya, Rosminah Tahir nampaknya memilih untuk menyifatkan muzikal ini berlanjutan dan berkesudahan sedemikian rupa.


LIZA OTHMAN sebagai Ibu Zain tampil cemerlang.


Pengarah memilih majlis pertemuan Ibu Zain bersama pelajar-pelajar Kolej Tunku Mariam, di Johor sebagai babak akhir. Majlis bergambar kenangan beramai-ramai pula sebagai isyarat kepada pelakon-pelakon lain keluar ke pentas sebagai tanda habisnya muzikal ini.

Memang berkesan apa yang dimahukan Rosminah agar teater ini tiada cela dalam memperihalkan siapa sebenarnya Tan Sri Zainun Munshi Sulaiman.

Namun untuk lebih jujur dengan peribadi sendiri, rasanya muzikal ini bukan muzikal terbaik tahun ini (Musical Of The Year). Biarpun begitu, ia tidak mengecewakan sesiapa sahaja yang telah menyaksikannya.