Patin tempoyak hutan lipur


HAMIDAH menjanjikan keenakan masakan kampung untuk berbuka pada Ramadan ini.


Tanyalah kepada sesiapa sahaja tentang cita rasa juadah berbuka puasa. Tentu majoriti daripada mereka akan memilih hidangan kampung. Dalam fikiran, sudah terbayang menu daging, ayam atau ikan yang dimasak mengikut cita rasa kampung yang disediakan menggunakan rempah ratus dan kaedah tersendiri. Apatah lagi jika ia disediakan oleh mereka yang pakar dalam masakan tersebut.

Misalnya di D'River Cafe, Riverstone Eco Resort (RER). 'Pertaruhan' itu diletakkan pada menu patin tempoyak. Kuah gulai yang tidak terlalu pekat bukan sahaja menyenangkan peminat tempoyak, malah mencuri perhatian sesiapa sahaja yang mahu mencuba masakan tempoyak buat kali pertama.

"Keistimewaan patin tempoyak ini terletak pada pemilihan ikan yang segar, selain menggunakan tempoyak yang diproses sendiri. Di kawasan resort ini sahaja, kami mempunyai beberapa batang pokok durian yang memberikan hasil bila tiba musimnya," kata Pengurus Besar RER, Hamidah Asararuddin.


AYAM masak lemak cili api.


Selain patin tempoyak, terdapat banyak lagi menu tarikan yang membuatkan tetamu tidak sabar untuk memenuhkan pinggan mereka. Sajian utama lain adalah seleksi seperti pecal lele (ikan keli), ayam masak lemak cili api, semur daging, sambal goreng dan terung goreng berlada. Semua sajian kampung ini bertambah lengkap dengan iringan seleksi ulam-ulaman kampung, sambal belacan dan ikan masin.


PENGAT ubi yang enak.


Tidak lupa juga, satu lagi signatur D'River Cafe yang popular ialah tempe goreng dan tauhu sumbat. Sebagai juadah sampingan, jangan ketinggalan menjenguk ke gerai-gerai khas yang menyediakan snek tradisi seperti cekodok, pisang goreng dan roti jala.

"Lazimnya pengunjung akan berhenti sebentar selepas menikmati juadah berbuka untuk menunaikan solat Maghrib di surau yang kami sediakan. Surau berkonsep terbuka ini membolehkan mereka menunaikan ibadah dalam kedinginan suasana rimba. Selepas solat, pengunjung akan menikmati semula juadah yang tersedia," jelas Hamidah yang seronok berbicara tentang kemudahan berbuka puasa di resortnya itu.


MENU berasaskan ikan di Riverstone Resort.


Sementara menunggu perut berasa selesa sebelum memandu pulang, alangkah elok jika kunjungan berbuka ini disudahi dengan pencuci mulut seperti kuih-muih tradisional dan aneka pengat. Pengat ubi sentuhan Hamidah memang melayangkan nostalgia keringkasan rasa hidangan menyambut tetamu di serambi rumah kampung.

Hanya dengan membayar harga RM35 bersih untuk dewasa dan RM18 bersih untuk kanak-kanak (empat hingga 12 tahun), semua ini boleh dinikmati dalam suasana rimba di hutan lipur. Ini kerana resort ini terletak di dalam rimba hutan lipur Sungai Tua, Selangor.

Di mana lagi untuk menikmati hidangan berbuka dalam kedamaian persekitaran alam semula jadi, kalau bukan di Riverstone Eco Resort? Jangan lupa untuk membuat tempahan awal sebelum berkunjung, bimbang nanti tiada tempat duduk!

Tentu yang menyoal iaitu adakah mudah ke lokasi ini? Jawapannya mudah. Dari Kuala Lumpur, gunakan Lebuh Raya Lingkaran Tengah Kedua (MRR2), atau menyusuri Jalan Kuching menuju ke Batu Caves. Ambil susur keluar ke arah Ulu Yam di Kuil Sri Subramaniyar Swami, Batu Caves dan ikut papan tanda ke arah Hutan Lipur Sungai Tua.


PATIN TEMPOYAK


Saat melewati tasik Empangan Batu yang luas di sebelah kiri, anda tinggal beberapa kilometer sahaja lagi untuk tiba di resort ini yang terletak di sebelah kiri jalan raya jika memandu dari arah Batu Caves.