Ahmad mahmud meninggal dunia




KUALA LUMPUR - Seniman yang popular dengan watak Dr. Ismadi menerusi filem Ibu Mertuaku, Datuk Ahmad Mahmood atau lebih dikenali sebagai Ahmad Mahmud (gambar), 85, meninggal dunia malam tadi akibat penyakit buah pinggang.

Anaknya, Rogayah berkata, seniman tersohor itu meninggal dunia pada pukul 10 malam di rumah keluarganya di Kampung Tunku di sini.

Beliau berkata, Ahmad Mahmud menerima rawatan di Pusat Perubatan Pantai, Bangsar sejak 22 Julai lepas sebelum dibawa pulang ke rumahnya.

"Beliau menghidap penyakit buah pinggang sejak tujuh tahun lepas dan baru sepuluh hari berada di rumah selepas dirawat di Pusat Perubatan Pantai,'' katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Beliau meninggalkan seorang balu, Datin Hadijah Mohamad, tiga orang anak dan sembilan cucu.

Jenazah Allahyarham dijangka dikebumikan selepas solat Zohor di Tanah Perkuburan Bukit Kiara, hari ini.

Ahmad Mahmud, anak kelahiran Rembau, Negeri Sembilan itu memulakan kerjayanya seawal tahun 1951 sebagai pelakon utama dalam filem Matahari.

Dengan memiliki wajah yang tampan, Ahmad Mahmud pernah memegang watak sebagai Hang Jebat dalam filem Hang Tuah pada tahun 1956 bersama Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.

Sehingga kini, Ahmad Mahmud telah berlakon dalam lebih 20 filem, antaranya Istana Impian, Hang Tuah, Ibu Mentuaku, Dayang Senandung, Isi Neraka, Raja Bersiong dan Lela Manja. - Bernama